Tuesday, October 14, 2008

10 Perkara Yang Sia-Sia

Terdapat sepuluh perkara yang sia-sia;

1. Ilmu yang tidak diamalkan.
2. Amalan yang tidak disertai keikhlasan atau tidak mengikut contoh baik umat terdahulu (sunnah rasulullah dan sahabat).
3. Harta yang ditimbun, kerana pemiliknya tidak dapat memanfaatkannya semasa hidupnya maupun mendapat ganjaran dengannya (harta tersebut) di akhirat.
4. Hati yang tiada perasaan cinta dan harap kepada Allah, dan berusaha menghampirkan diri kepadaNya
5. Tubuh badan yang tidak mematuhi suruhan Allah dan berkhidmat untukNya
6. Mencintai Allah tanpa mematuhi suruhanNya dan mencari keredhaanNya
7. Masa yang tidak digunakan untuk menghapuskan dosa (bertaubat, beramal baik dsb) dan digunakan untuk melakukan amal kebaikan.
8. Akal fikiran yang berfikir perkara sia-sia.
9. Bekerja/berkhidmat untuk seseorang yang tidak mendekatkan diri kita kepada Allah, maupun memberikan manfaat buat kamu di dunia.
10. Mengharap dan merasa takut pada seseorang yang pada hakikatnya tertakluk sepenuhnya pada kekuasaan Allah; sedangkan dia sendiri tidak dapat memberi apa-apa manfaat atau bencana kepada dirinya sendiri; apatah lagi dalam urusan hidup dan mati, dan tidak juga berupaya menghidupkan kembali dirinya sendiri.

Namun, perkara yang lebih besar daripada segala yang tersebut di atas ialah membazir hati/jiwa dan masa. Membazir hati/jiwa ialah dengan mengutamakan kehidupan dunia berbanding akhirat, manakala membazir waktu ialah dengan angan-angan. Kehancuran berlaku apabila seseorang itu bertindak mengikut hawa nafsu dan berangan-angan, sedangkan kebaikan hanya dapat diperolehi dengan mengikut jalan yang benar dan bersiap sedia untuk bertemu dengan Allah.

Tidakkah pelik, seorang hamba itu apabila berhadapan masalah dalam hidupnya (duniawi), dia memohon bantuan Allah, tetapi dia tidak pula memohon pertolongan Allah untuk menyembuhkan hati/jiwanya yang sakit sebelum ia (hati) mati akibat kejahilan, kelalaian, mengikut hawa nafsu dan bergelumang dengan bidaah. Walhal, apabila hati itu mati, maka dia tidak lagi merasa keseriusan kesan dan akibat dosa yang dia lakukan.

Petikan: Ibn Qayyim Al Jauzi
Al-Fawaid
From: Iznan Husainy H