Saturday, October 17, 2009

TAUHID MENOLAK JAHILIYYAH (Siri 1)

TAUHID MENOLAK JAHILIYYAH DAN
MEMBENTUK MASYARAKAT ISLAM

ISLAM NIZAM YANG LENGKAP

Islam adalah nizam atau sistem yang lengkap dan menyeluruh. Islam terbina di atas asas yang kukuh. Islam terdiri daripada rukun-rukun yang besar, cabang-cabang dan ranting-ranting yang kecil saling memaut dan tertegak di atas asas yang kuat. Islam laksana pokok, berasal daripada sebiji benih, kemudian mengeluarkan akar, seterusnya tumbuh batang, dahan, cabang, ranting dan daun sehingga menjadi pokok rendang. Namun setiap helai daun berhubung rapat dengan akar pokok itu.

ISLAM BERERTI PENYERAHAN DIRI

Islam bererti penyerahan diri dan kepatuhan hamba sepenuhnya kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Islam menarik manusia daripada menyembah sesama hamba kepada menyembah Allah Yang Maha Esa. Islam menghen­daki manusia tunduk dan patuh kepada kekuasaan dan peraturan-Nya sahaja dalam semua urusan hidup.

Islam dibawa oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bertujuan untuk memperbetulkan perhambaan manusia sama seperti ia datang melalui para rasul sebelum baginda. Islam datang untuk mengalihkan kepatuhan manusia kepada kehendak dan pemerintahan Allah Subhanahu Wa Ta'ala seperti alam ini yang sentiasa berjalan di atas landasan pemerintahan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Manu­sia adalah sebahagian daripada alam. Justeru itu manusia dan alam mestilah selaras dalam kepatuhan kepada Pencipta.

HAMBA YANG MEMPERHAMBAKAN DIRI KEPADA ALLAH

Semua manusia adalah hamba Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Namun, manusia tidak akan menjadi hamba Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang sebenar melainkan apabila dia tunduk dan patuh kepada kekuasaan Allah dengan memegang panji-panji ‘kalimah syahadah ‘ mengikut fahaman:

Tiada kekuasaan yang lain selain daripada kekuasaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Tiada peraturan yang lain selain daripada peraturan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Tiada syariat yang lain selain daripada syariat Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Tiada kekuasaan seseorang ke atas seseorang yang lain, kerana kekuasaan itu seluruhnya kepunyaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala

Hamba-hamba yang beginilah yang akan membentuk rupa bangsa (ummah) yang dikehendaki Islam. Rupa bangsa aqidah yang menggabungkan seluruh bangsa dan warna kulit di bawah panji-panji Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

TAUHID MENOLAK JAHILIYYAH

Mentauhidkan Allah Subhanahu Wa Ta'ala atau mengesakan Allah Subhanahu Wa Ta'ala sebenarnya menolak jahiliyyah. Ini kerana tauhid membawa implikasi mengabdi kan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala semata-mata dalam semua lapangan hidup, sedangkan jahiliyyah ialah keluar daripada mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, atau tidak melakukan pengabdian kepada-Nya semata-mata.

Aqidah yang tidak betul akan melahirkan jahiliyyah. Juga akan terbina di atasnya segala rupa bentuk penyelewengan dalam konsep hidup, tingkah laku dan aktiviti manusia.

‘AQIDAH YANG BETUL

Aqidah yang betul akan meletakkan manusia pada darjat sebenar dan membetulkan tindak-tanduk manusia pada setiap zaman dan tempat. Aqidah yang betul mengarahkan manusia kepada matlamat hakiki melalui jalan sahih.

Aqidah yang betul hidup dan nampak kesannya yang sempurna dalam perasaan, tingkah laku, pegangan, konsep dan amalan manusia, tanpa terpisah antara satu sama lain.

AQIDAH YANG SALAH AKAN MELAHIRKAN JAHILIYYAH

Sekiranya kesan dalam kehidupan manusia berlaku dalam bentuk yang lain daripada yang dinyatakan di atas, bererti ada ciri-ciri jahiliyyah meskipun pelaku-pelakunya mengaku beriman kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Kesan jahiliyyah itu lambat laun akan terserlah dengan nyata lantaran aqidah yang salah atau tidak tepat. Begitulah sunnah Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Orang Arab jahiliyyah pun mengakui ketuhanan Allah Subhanahu Wa Ta'ala, tetapi natijah jahiliyyah tetap tertonjol dalam kehidupan mereka.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bermaksud:
"Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: ‘ Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?’ Tentu mereka akan menjawab : ‘Allah’. Katakanlah : ‘ Segala puji bagi Allah ‘; tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui."
(Surah Luqman: 25)

"Dan sungguh jika kamu bertanya kepada mereka: ‘ Siapakah yang menciptakan mereka, nescaya mereka menjawab : ‘ Allah ‘, maka bagaimanakah mereka dapat dipalingkan (dari menyembah Allah)?"
(Surah Az Zukhruf : 87)


"Katakanlah: ‘ Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi, atau siapakah yang kuasa (menciptakan) pendengaran dan pengelihatan, dan siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan siapakah yang mengatur segala urusan?’. Mereka mereka akan menjawab ‘ Allah ‘. Maka katakanlah: ‘Mengapa kamu tidak bertaqwa (kepadaNya)?"
(Surah Yunus : 31)

Walaupun orang Arab jahiliyyah mengetahui Allah Subhanahu Wa Ta'ala, mengakui segala sesuatu ciptaan-Nya dan di bawah tadbiran-Nya, tetapi mereka tidak beriman dalam ertikata sebenar. Mereka menolak peraturan dan hukum Allah Subhanahu Wa Ta'ala dalam kehidupan. Mereka tahu tetapi tidak mengikuti apa yang mereka tahu. Mereka memperhamba­kan diri kepada ilah-ilah yang lain daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Mereka melaksanakan syari'at yang lain daripada syari'at Allah Subhanahu Wa Ta'ala. mereka disebut Jahiliyyun (golongan yang jahil).
Rujukan:
1. Abu al-A'Ala al-Maududi, Nadzariyyah al-Islamiyyah Wa Hadyihi.
2. Asy-Syahid Sayyid Qutb, Ma'alim Fi at-Tariq.
3. Muhammad Qutb, Jahiliyyah al-Qarn al-'Isyrin.

No comments:

Post a Comment