Wednesday, October 21, 2009

SISTEM AKHLAK ISLAM (Siri 1)

PENDAHULUAN

Islam adalah din yang syumul dan menyeluruh. Peraturan-peraturan yang ada dalam Islam terbahagi kepada beberapa kelompok dan setiap kelompok mengatur hal-hal tertentu yang dinamakan sistem. Contohnya peraturan yang mengatur hal-hal berkaitan akhlak dinamakan sistem akhlak Islam dan yang berkaitan keluarga dinamakan sistem keluarga Islam.

Antara sistem yang terdapat dalam Islam ialah sistem akhlak Islam, sistem masyarakat Islam, sistem fatwa, sistem hisbah (pengatkuasaan syara’), sistem politik, sistem ekonomi, sistem jihad dan sistem kehakiman serta jenayah. Di sini akan diterangkan mengenai sistem akhlak Islam.

DEFINISI AKHLAK

Al-Khuluq bererti tabiat atau tingkah laku. Menurut Al-Ghazali (dalam Ihya’ Ulumudin) akhlak ialah sesuatu yang sebati dalam jiwa seseorang dan melahirkan tingkah laku secara spontan tanpa dirancang atau disengajakan

Oleh itu dapatlah dikatakan akhlak ialah kumpulan nilai atau sifat yang sebati dalam jiwa seseorang yang menjadi neraca atau kayu ukur bagi menentukan sesuatu perbuatan itu samada baik atau buruk, seterusnya menentukan samada mahu dilaksanakan atau ditinggalkan.

PENTINGNYA AKHLAK

Akhlak sangat penting dan pengaruhnya sangat besar dalam membentuk tingkah laku manusia. Apa saja yang lahir dari manusia atau segala tindak-tanduk manusia adalah sesuai dengan pembawaan dan sifat yang ada dalam jiwanya.

Tepatlah apa yang dikatakan oleh Al-Ghazali dalam bukunya Ihya’ Ulumuddin, “Sesungguhnya semua sifat yang ada dalam hati akan lahir pengaruhnya (tandanya) pada anggota manusia, sehingga tidak ada suatu perbuatan pun melainkan semuanya mengikut apa yang ada dalam hati manusia”.

Tingkah laku atau perbuatan manusia mempunyai hubungan yang erat dengan sifat dan pembawaan dalam hatinya. Umpama pokok dengan akarnya. Bermakna, tingkah laku atau perbuatan seseorang akan baik apabila baik hatinya, sepertimana pokok, apabila baik akarnya maka baiklah pokoknya. Apabila rosak akar, maka akan rosaklah pokok dan cabangnya. Allah Subhanahuwata’ala berfirman yang bermaksud:
“Dan tanah yang baik, tanaman-tanamannya tumbuh subur dengan seizin Allah, dan tanah yang tidak subur, tanaman-tanamannya hanya tumbuh merana. Demikianlah Kami mengulangi tanda-tanda kebesaran (Kami) bagi orang-orang yang bersyukur.”
(Al- A’raf: 58)

Islam adalah ajaran yang benar untuk memperbaiki manusia dan membentuk akhlaknya demi mencapai kehidupan yang baik. Islam memperbaiki manusia dengan cara terlebih dahulu memperbaiki jiwa, membersihkan hati dan menanamkan sifat-sifat terpuji. Islam benar-benar dapat membawa manusia untuk mencapai kebahagiaan, kelapangan dan ketenteraman.

Sebaliknya manusia akan menjadi hina apabila ia merosakkan sifat, pembawaan dan keadaan dalam jiwanya. Allah Subhanahuwata’ala berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.”
(Ar-Ra’d: 11)

Manusia, sebelum berbuat sesuatu atau meninggalkan sesuatu terlebih dahulu mempertimbang dan memikirkannya samada hendak membuatnya atau meninggalkannya. Pertimbangan ini akan mengikut akhlak yang ada dalam jiwanya. Apabila dia telah mengambil keputusan untuk berbuat atau tidak, maka barulah lahir dorongan dan keinginan untuk membuat sesuatu atau meninggalkannya.

Pertimbangan itu kadang-kadang berlaku secara spontan sehingga lahir suatu tindakan tanpa sengaja dan tanpa memikirkannya. Kadang-kadang pula pertimbangan itu berlaku melalui satu proses pemikiran yang mendalam dan mengambil waktu yang lama. Kadang-kadang manusia, dalam pertimbangannya timbul keraguan samada ingin membuat sesuatu atau meninggalkannya. Namun, dalam semua keadaan, tingkah laku atau perbuatan manusia didahului oleh pertimbangan dan penilaian. Ini semua menunjukkan betapa pentingnya akhlak.

Sesungguhnya tingkah laku atau perbuatan manusia bergantung kepada akhlaknya. Akhlak Islam perlu ditanam betul-betul pada jiwa manusia sehingga ia dapat menguasai seluruh tindak-tanduk dan pemikirannya. Dan, sehingga manusia sentiasa tertarik dengan akhlak Islam dan yakin bahawa kehidupan ini semestinya disesuaikan dengan akhlak Islam.

Oleh itu Islam sentiasa mengingatkan manusia agar berpegang dan mencintai akhlak yang baik. Juga berusaha untuk melaksanakan akhlak Islam sehingga tercerna dengan jelas dalam semua amal perbuatannya.

KEDUDUKAN AKHLAK DALAM ISLAM

Akhlak dalam Islam sangat penting. Ini dapat dilihat dari beberapa sudut:

1) Tujuan risalah Islam itu adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia, sepertimana sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:

انما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق
“Sesungguhnya aku dibangkitkan (diutus) untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.

2) Definisi Islam dihubungkan dengan akhlak yang baik. Dalam sebuah hadis diterangkan seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:

يا رسول الله ما الدين؟ فقال الرسول صلى الله عليه وسلم: حسن الخلق

“Wahai Rasulullah, apakah din itu? Ar-Rasul Sallallahu’alaihiwasallam menjawab: Akhlak yang baik”.

Ini menunjukkan bahawa akhlak adalah salah satu tiang din yang penting dan mesti ditegakkan untuk mengukuhkan din. Ia sama seperti pentingnya wukuf di Arafah sebagai salah satu amalan untuk sahnya haji. Dalam sebuah hadis diterangkan bahawa haji adalah wukuf di Arafah. Oleh itu seseorang itu tidak boleh dikatakan sudah berhaji jika tidak berwukuf di Arafah.

3) Akhlak akan memberatkan timbangan kebaikan seseorang di hari kiamat. Dalam sebuah hadis diterangkan:

أقل شيء في الميزان يوم القيامة الخلق الحسن
“Perkara yang paling berat timbangannya di akhirat kelak ialah akhlak yang baik”.

4) Orang-orang yang beriman mempunyai darjat iman yang berbeza-beza dan orang yang terbaik di kalangan mereka ialah yang terbaik akhlaknya. Dalam sebuah hadis diterangkan:

قيل يا رسول الله :أي المؤ منين افضل إيما نا؟ قال أحسنهم خلقا
“Ditanya orang: Wahai Rasulullah, orang mukmin yang manakah yang paling utama? Baginda menjawab: Orang yang akhlaknya paling baik”.

5) Orang yang paling dikasihi dan paling dekat dengan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam di hari kiamat nanti ialah orang beriman yang paling berakhlak baik. Dalam sebuah hadis diterangkan:
ان من أحبكم إلي وأقربكم مني مجلسا يوم القيامة أحا سنكم أخلاقا
“Orang yang paling aku kasihi dan paling dekat denganku pada hari kiamat ialah orang-orang yang baik akhlaknya”.

6) Dengan akhlak yang baik manusia terhindar dari api neraka dan membawanya masuk ke dalam syurga. Nyatalah, sangat tinggi nilai akhlak yang baik dan tidak akan dapat diganti dengan ibadah-ibadah yang lain seperti sembahyang dan puasa. Dalam hadis diterangkan:

“Beberapa orang sahabat berkata kepada Rasulullah mengenai seorang wanita yang berpuasa pada siang hari dan solah pada malam hari, sedangkan akhlaknya buruk dan mengganggu jiran tetangga dengan lidahnya. Maka Baginda bersabda: Tidak ada kebaikan padanya, dia adalah ahli neraka”

7) Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam selalu berdoa kepada Allah agar Allah memperbaiki akhlaknya. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam berdoa:
اللهم كما حسنت خلقي فحسن خلقي
“Ya Allah, perelokkanlah akhlakku sepertimana engkau perelokkan bentuk tubuh badanku.”

Juga doa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:

اللهم اهدني لأحسن الأخلاق فانه لايهدي لأحسنها الا أنت واصرف عني
سيئها فانه لايصرف عني سيئها الا أنت

“Ya Allah, tunjukilah aku kepada akhlak yang baik, tidak ada yang dapat memberikan petunjuk kepada yang lebih baik kecuali Engkau. Jauhkanlah aku dari akhlak yang buruk, kerana tidak ada yang dapat menghindarkan aku dari akhlak yang buruk kecuali Engkau”.
Sebagaimana yang kita maklumi Rasulullah tidak akan meminta kepada Allah kecuali apa yang disukai dan disenangi oleh Allah, dan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah.

8) Allah Subhanahuwata’ala telah memuji Rasul-Nya kerana akhlaknya yang baik dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Dan Sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung”
(Al-Qalam: 4)

Allah Subhanahuwata’ala tidak akan memuji sesuatu itu melainkan ia suatu yang baik. Olen itu akhlak yang baik sangat penting dalam din Islam.

9) Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang berhubung dengan akhlak samada ayat-ayat yang memerintah memperbaiki akhlak, memuji orang-orang yang berakhlak baik ataupun memberi pahala kepada orang-orang yang berakhlak baik.

Terdapat juga ayat-ayat yang melarang berakhlak buruk, mencela akhlak yang buruk dan mengancam orang-orang yang berakhlak buruk.

Ayat-ayat berhubung dengan akhlak bukan saja turun di Mekah bahkan juga turun sesudah Rasulullah berhijrah ke Madinah. Oleh kerana banyaknya ayat-ayat mengenai akhlak, maka tidak diragukan lagi akan kepentingan akhlak dalam Islam.

No comments:

Post a Comment