Sunday, October 18, 2009

TAUHID MENOLAK JAHILIYYAH (Siri 3 - Akhir)

JALAN YANG TERPAKSA MENEMPUH KESUSAHAN

Tiada jalan lain melainkan satu jalan sahaja untuk mengembalikan Islam dan masyarakat Islam, iaitu jalan iman. Jika di permulaan Islam, iman telah menjadi tenaga pembangunan Islam, maka iman juga mesti menjadi tenaga pembangunan Islam pada zaman mutakhir ini.

Jalan untuk sampai kepada pembentukan masyarakat Islam ini terpaksa menempuh kesusahan, rintangan, kesakitan dan sebagainya. Allah Subhanahu Wa Ta'ala Yang Maha Suci, Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana tidak bermaksud menyeksa orang-orang mu'min. Malah Allah Subhanahu Wa Ta'ala Maha Mengetahui bahawa inilah satu-satunya jalan untuk menegakkan masyarakat Islam yang tunduk dan patuh kepada-Nya. Jalan inilah yang dapat membersihkan muka bumi daripada thaghut. Bumi tidak akan bersih melainkan setelah terkibarnya panji-panji Lailaha Illallah ( لا اله الا الله ).

MASYARAKAT AKAN MENDAPATI KEBEBASAN YANG SEBENAR

Apabila aqidah sudah bertapak dan menjadi asas yang kukuh, umat manusia mengenal Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan menyembah-Nya. Setelah manusia memisahkan diri daripada penguasaan hawa nafsu durjana dan iman meresap ke dalam hati dan jiwa manusia, maka Allah Subhanahu Wa Ta'ala akan melakukan apa hendak dilakukan-Nya. Bumi akan bersih daripada kekuasaan taghut seluruhnya. Masyarakat akan menikmati kebebasan daripada sebarang penginayaan dan penindasan sosial, akan terte­gaklah sistem Islam yang adil mengikut perintah Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

KEADAAN YANG SAMA

Angkatan pejuang Islam kini sedang menghadapi keadaan yang sama seperti yang dihadapi oleh angkatan Islam pertama. Umat Islam ketika itu adalah golongan yang kecil. Mereka menghadapi empayar besar iaitu Rom di barat dan Farsi di timur. Kedua-dua empayar itu memiliki kekuatan tentera, senjata, kekayaan, kepandaian berperang, pengalaman dan politik yang lebih hebat daripada umat Islam. Walaupun demikian, suatu yang luar biasa dan paling mengagumkan telah berlaku dalam sejarah. Umat yang kerdil ini telah berjaya mengalahkan dua empayar itu dalam masa tidak sampai setengah abad. Bagaimana hal ini boleh terjadi? Penafsiran sejarah berdasarkan kebendaan dan ekonomi tidak dapat menjelaskannya. Hanya satu sahaja dapat memberi penjelasan yang kukuh, iaitu kekuatan Iman. Iman mendorong umat Islam untuk berjihad dengan penuh keberanian.

PERLUKAN PERSEDIAAN YANG LENGKAP

Bagi mewujudkan umat Islam sedemikian rupa bukanlah boleh dengan pengakuan mulut sahaja. Sebelumnya mesti melalui susur galur dan perencanaan kukuh, sempurna dan mantap. Dengan ini barulah akan lahir kesabaran dan ketahanan untuk menghadapi berbagai rupa rintangan dan ancaman.

Jahiliyyah tidak menjelma dalam bentuk teori semata-mata. Jahiliyyah wujud dalam bentuk gerakan kemasyarakatan yang serba lengkap. Jahiliyyah telah lama bertapak dan berakar umbi dalam masyarakat. Oleh itu usaha untuk menghapuskan jahiliyyah mestilah tidak terbatas sekadar teori semata-mata. Bahkan mestilah dilakukan usaha bersungguh-sungguh dengan persediaan yang rapi dalam semua bidang. Usaha yang teratur dan penyusunan yang kuat perlu diwujudkan agar dapat melumpuh dan menghapuskan pengaruh jahiliyyah yang meluas dan melebar.

Rujukan:
1. Abu al-A'Ala al-Maududi, Nadzariyyah al-Islamiyyah Wa Hadyihi.
2. Asy-Syahid Sayyid Qutb, Ma'alim Fi at-Tariq.
3. Muhammad Qutb, Jahiliyyah al-Qarn al-'Isyrin.

No comments:

Post a Comment