Sunday, October 18, 2009

DEFINISI ISLAM (Siri 1)

Berikut dikemukakan beberapa definisi Islam.

DEFINISI PERTAMA

Dalam sebuah hadis, diceritakan bahawa pada suatu hari malaikat Jibril yang berupa seorang arab badwi telah menemui Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Kemudian malaikat bertanyakan baginda tentang Islam, sekaligus sebagai pelajaran kepada sahabat-sahabat yang hadir untuk mempelajari Islam. Dalam hadis itu, sebahagiannya, dinyatakan seperti berikut:

يا محمد أخبرني عن الاسلام فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم:
الاسلام أن تشهد أن لااله الاالله وأن محمدا رسول الله وتقيم الصلاة وتؤ تي الزكاة وتصوم ومضان وتحج البيت ان استطعت اليه سبيلا

Maksudnya:
“Khabarkanlah kepadaku, wahai Muhammad, tentang Islam?. Berkata Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam: Engkau mengakui bahawa tiada ilah melainkan Allah dan bahawa Muhammad Rasulullah, mendirikan solah, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji ke Baitullah jika berkuasa.”

DEFINISI KEDUA

Islam bererti tunduk, menyerah dan mentaati Allah, Rabbul’alamin. Ketundukan itu mestilah lahir dari kesedaran dan kerelaan bukan paksaan. Tunduk kerana terpaksa adalah sifat semulajadi bagi setiap makhluk Allah dan tunduk seperti ini tidak mengakibatkan timbulnya pahala atau siksa. Allah Subhanahuwata’ala berfirman yang bermaksud:
“Maka apakah mereka mencari agama yang lain daripada din Allah, padahal kepada-Nya-lah menyerahkan diri segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan suka mahupun terpaksa dan hanya kepada Allahlah mereka dikembalikan.”
(Ali-Imran: 83)

Kesemua makhluk tunduk di bawah ketentuan Allah, baik dari segi kejadian, kekal dan fananya. Dalam aspek ini manusia sama dengan makhluk-makhluk yang lain.

Adapun tunduk dengan kesedaran adalah hakikat Islam. Ketundukan seperti ini akan mengakibatkan pahala dan dosa. Sebagai bukti seseorang itu tunduk kepada Allah ialah menerima din-Nya dengan penuh kesederan.

Islam dalam pengertian ini merupakan din yang diredhai Allah. Din yang diwahyukan kepada Rasul-Nya untuk disampaikan kepada seluruh umat manusia. Allah Subhanahuwata’ala berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya din (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam.”
(Ali-Imran: 19)

“Barangsiapa mencari agama selain din Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.”
(Ali-Imran: 85)

“Dan barangsiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang kokoh dan hanya kepada Allah-lah kesudahan segala urusan.”
(Luqman: 22)

“Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya'qub. (Ibrahim berkata): "Hai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih din ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk din Islam. Adakah kamu hadir ketika Ya'qub kedatangan (tanda-tanda) maut, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: "Apa yang kamu sembah sepeninggalku?" Mereka menjawab: "Kami akan menyembah Ilahmu dan Ilah nenek moyangmu, Ibrahim, Ismail dan Ishaq, (yaitu) Ilah yang Maha Esa dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya".
(Al-Baqarah: 132-133)

Kalimah Islam dikhususkan untuk menamakan din yang diturunkan oleh Allah Subhanahuwata’ala kepada nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam yang bererti ketundukan dan ketaatan sepenuhnya kepada Allah.

Oleh itu nyatalah bahawa ketundukan manusia kepada Allah bukanlah kerana terpaksa.

Islam, dalam erti yang lebih khusus diterangkan di dalam firman Allah yang bermaksud:
“Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu din kamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu menjadi din bagimu.”
(Al-Maidah: 3)

Dapatlah dikatakan bahawa definisi Islam yang sesuai dengan pengertian di atas ialah: Islam adalah tunduk dan patuh dengan penuh kesedaran kepada Allah. Bukti kesedaran itu ialah dengan mematuhi peraturan-peraturan Allah yang diwahyukan-Nya kepada Rasul-Nya Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam. Manakala Rasulullah pula telah diperintahkan agar menyampaikan ajaran Islam kepada umat manusia.

Rujukan:
Dasar-dasar Ilmu Da’wah (Terjemahan kitab Usul Da’wah) oleh: Dr Abdul Karim Zaidan

No comments:

Post a Comment