Tuesday, May 10, 2011

Mengendalikan Kekuatan Akal

Sabda Rasulullah “…. Orang yang lemah adalah orang yang banyak berangan-angan kepada Allah.” (HR Ahmad dan Tirmidzi dari Syadad Bin Aus)

Potongan hadis ini menunjukkan bahawa akal seseorang seringkali mengalami kelemahan dan ketidakupayaan di depan syahwatnya sehingga ia mengangankan sesuatu yang tidak perlu diangankan.

Oleh kerana itu seorang muslim harus mampu mengendalikan kekuatan akalnya sehingga sehingga memiliki kekuatan untuk mengarah dan mengendalikan syahwat dan amarah nya agar sentiasa disalurkan sesuai dengan tuntutan akal yang sihat dan mengikut syarak.

Kekuatan akal perlu dikawal dengan ta’allum iaitu proses pembelajaran yang berterusan sehingga dapat merealisasikan sasaran hikmah iaitu kemampuan untuk membezakan antara yang haq dan yang batil. Memliki keyakinan yang baik. Mempunyai sifat dan perbuatan yang jujur serta benar dalam perkataan.


i. Meningkatkan ketaqwaan


Meningkatkan ketaqwaan kepada Allah dengan melaksanakan perintahNya dan menjauhi segala larangan-Nya sehingga mendapat pengajaran dari-Nya.


Allah berfirman yang bermaksud:


“Dan bertaqwalah kepada Allah; Allah akan mengajarmu; Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Al Baqarah ayat 282)


ii. Aktif Ta’lim


Menghadiri majlis ilmu yang dikelolakan oleh ulama yang menjadi pewaris para nabi. Dengan menghadiri majlis ilmu, seorang muslim akan mendengar ayat-ayat al Quran dan petunjuk Rasul serta ilmu yang belum diketahuinya.


Firman Allah:

“Sebagaimana Kami telah mengutus kepadamu seorang Rasul di antara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, menyucikan kamudan mengajarkan kepadamu al-kitab dan al hikmah, serta mengajarkan kapadamu apa yang belum kamu ketahui.” (Al Baqarah ayat 151)


iii. Banyak berzikir dan bertafakur.


Melakukan zikir dan tafakur terhadap tanda-tanda kebesaran Allah yang ada di alam semesta ini. Dengan zikir dan bertafakur seorang muslim akan dapat melatih kemampuan akalnya sehingga mampu meraih kecerdasan intelektual yang tinggi dan terarah.


Firman Allah:

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih berganti malam dan siang, terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. Iaitu orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata: “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau ciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” (Ali Imran 190 – 191)


Rasulullah bersabda:

“Berfikirlah kamu tentang penciptaan Allah dan janganlah kamu berfikir tentang zat Allah kerana kamu tidak akan mampu menjangkau kadar-Nya.” (HR Abu Syeikh)


iv. Belajar dan Mengajar Ilmu Secara Konsisten


Mengajarkan ilmu kepada orang lain dan tetap belajar secara konsisten. Allah berfirman yang bermaksud:

“Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbani, kerana kamu selalu mengajarkan al Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya.”

(Surah Ali Imran ayat 79)


Orang-orang Rabbani ialah orang yang sempurna ilmu dan taqwanya kepada Allah Ta’ala. Ertinya ia adalah orang yang cerdas secara intelektual, emosional dan spiritual. Semua ini dapat dicapai dengan mengajarkan ilmu kepada orang lain dan ia tetap mempelajarinya secara konsisten.


Pembelajaran dengan cara mengajar ilmu kepada orang lain jauh lebih efektif daripada terus menerus belajar tanpa pernah mengajar ilmunya kepada orang lain. Allah menyebut mengajar terlebih dahulu sebelum pengkajian terhadap suatu ilmu.


v. Mempelajari Diri Dengan Pengetahuan


Membekali diri dengan pelbagai wawasan dan pengetahuan yang menyingkap segala ilmu tentang manusia, kecenderungan, keinginan, kelemahan dan kekuatannya. Dengan mengenali diri akan cenderung untuk mengenali penciptannya.


Dengan pengetahuan ini akan mampu berinteraksi dengan segenap potensi yang ada pada dirinya dan memanfaatkan untuk perhambaan diri kepada Allah,


Dengan menguasai tiga kekuatan jiwa iaitu kekuatan amarah, syahwat dan akal maka ia akan menjadikan jiwa kita tenteram, bahagia, dan penuh semangat untuk melakukan aktiviti yang baik serta bermanfaat bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Di samping itu kita juga perlu melengkapkan diri dengan keupayaan untuk membaiki hati dan melindunginya daripada perkara yang boleh merosakkannya.

Rujukan:

Fakhruddin Nursyam, Lc, Syarah Lengkap Arba’in Ruhiyah Refleksi 40 hadis Rasulullah saw, Bina Insani Press Solo, Solo, 2007.

No comments:

Post a Comment