Sunday, May 15, 2011

KIsah Ibnu Taimiyah

Syeikh Ahmad Taqyudin atau lebih dikenali dengan sebutan Ibnu Taimiyah merupakan seorang syeikhul Islam yang tidak pernah beristirehat melainkan selepas menemui ajal di dalam penjara. Kira-kira 100,000 orang menyertai pengkebumian beliau sehingga jalan-jalanraya dipenuhi manusia yang meratapi kematian beliau. Keranda yang diusung hampir-hampir tidak dapat bergerak kerana melalui lautan manusia.

Ibnu Taimiyah adalah seorang ulama yang gigih menentang fahaman sesat, mengusir penjajah, menyemarakkan semangat jihad, penulis yang handal, penyandang ilmu dan amal. Pedang dan pena tidak pernah berhenti disepanjang hidup beliau lantaran tidak pernah berhenti beramal.

Ketika tentera Tartar menyerang Damsyik pada era tahun 680an H, Ibnu Taimiyah pada masa itu berumur 22 tahun. Mereka merompak, membunuh dan menimbulkan malapetaka di setiap jengkal bumi yang dipijak. Kelihatan mayat-mayat bergelimpangan di setiap penjuru kota, terutamanya orang tua, kaum wanita dan kanak-kanak.

Ibnu Taimiyah melihat suasana pada ketika itu dengan perasaan luka yang mendalam. Hatinya terasa seperti disayat-sayat. Beliau segera membangkitkan semangat jihad di kalangan kaum muslimin di Damsyik. Raja Mesir dan tentera khalifah diyakinkan bahawa kemenangan pasti berada di pihak orang-orang yang tertindas kerana mereka yang seharusnya mendapat pertolongan Allah.

Ibnu Taimiyah bergerak ke seluruh pelusuk daerah dan negeri memberi kefahaman kepada umat Islam, kewajipan untuk berjihad. Ketika peperangan meletus, ia bertepatan dengan bulan Ramadhan. Ibnu Taimiyah mengeluarkan fatwa dibolehkan berbuka puasa. Beliau sendiri berkunjung menemui pasukan tentera Islam sambil membawa sebiji kurma yang dimakan sebagai bukti dirinya tidak berpuasa dengan terus membaca dalil Quran dan Hadis.

Pada hari kedua bulan Ramadhan pasukan tentera Islam bertemu dengan pasukan tentera Tartar. Ibnu Taimiyah bersama-sama bertempur dengan semangat jihad bersama-sama pasukan muslimin.

Tidak beberapa lama kemudian tentera Tartar semakin terdesak dan lari bertempiaran. Pada malam harinya mereka cuba meninggalkan pertempuran secara diam-diam, namun pasukan muslimin tidak memberi peluang. Panah-panah menghujani ke atas tentera Tartar. Mereka tewas dan bumi Damsyik kembali aman.

Ibnu Taimiyah meneruskan usaha menyebarkan pengetahuan, mengajar ilmu dan hikmah. Beliau memerangi khurafat dan bid’ah yang merebak di dalam masyarakat Islam. Di samping itu usaha memerangi pemikiran kristianisasi yang secara terang terangan mengejek kitabullah dan sunnah Nabi. Ibnu Taimiyah menghadapi tentangan dalam usaha melawan keras fahaman wahdatul wujud. Padahal, para penguasa mendukung dan mengamalkan ajaran Ibnu Arabi itu. Hal ini menyebabkan Ibnu Taimiyah ditangkap dan dipenjarakan.

Namun demikian, dalam penjara tersebut beliau tetap mengajar, menulis dan member fatwa. Dalam penjara beliau dipujuk supaya menarik balik fatwanya. Tetapi Ibnu Taimiyah tidak pernah berganjak dari kebenaran pendapatnya. Dia tetap bertahan dengan ijtihad dan pemikirannya. Kerana protes para ulamak dan umat yang mencintai beliau penguasa terpaksa membebaskan Syeikh Ibnu Taimiyah. Akhirnya beliau berpindah ke Mesir.

Mesir pada ketika itu adalah pusat fahaman wahdatul wujud. Kelantangan beliau menentang kesesatan fahaman tersebut menyebabkan beliau sekali lagi dipenjarakan. Ketika di penjara ulamak ini tidak pernah beristirehat. Beliau tetap memberi fatwa, mengajar dan menulis.

Melihat keistiqamahan Ibnu Taimiyah, penguasa semakin membatasi kegiatan beliau di penjara. Kertas dan alat tulis dilarang masuk ke penjara. Maka Syeikh Ibnu Taimiyah menulis dengan arang di tembok-tembok penjara. Begitulah ulamak ini tidak pernah mengenal rehat. Kegigihan beliau memelihara kemurnian Islam membuat dirinya digelar Syeikhul Islam. Di penjara itulah beliau menghembuskan nafas yang terakhirnya. Sebuah detik yang benar-benar menghentikannya dari aktiviti amal. Ia telah menemui syahadah dengan tenteram….

Rujukan:

Parman Hanif M.Pd, Teladan Tarbiyah Dalam Bingkai Arkanul Bai’ah, Auliya Press Solo, Surakarta, 2006.

No comments:

Post a Comment