Monday, May 30, 2011

Jihad Yang Paling Utama dan Tertinggi

Artikel ini mengajak kita bersama-sama melihat kepentingan memerangi hawa nafsu. Satu tajuk yang penting untuk kita fahami kerana hawa nafsu merupakan sifat yang ada pada diri manusia dan haiwan. Berbeza dengan malaikat yang mempunyai akal tetapi tidak mempunyai hawa nafsu.


Setiap hari di dada akhbar terpampang pelbagai kejadian atau permasalahan yang timbul berpunca daripada hawa nafsu. Kejadian jenayah, gejala sosial, masalah rumah tangga, dan lain-lain kalau diteliti akar umbinya perpunca kerana menuruti hawa nafsu.


Rasulullah S.A.W. bersabda, “Jihad yang paling utama adalah jihad seseorang melawan hawa nafsunya.” (HR Abu Nu’aim dan Abu an Najjar dari Abu Dzar r.a.)


Hadis ini menunjukkan kepentingan memerangi hawa nafsu kerana untuk memperbaiki masalah yang dihadapi oleh masyarakat perlu bermula dengan membaiki individu. Kebaikan dan kerosakan masyarakat ditentukan oleh kebaikan dan kerosakan individu. Oleh kerana itu jihad melawan hawa nafsu merupakan jihad paling utama yang patut dilakukan oleh setiap muslim. Kebaikan diri seseorang ditentukan oleh kemampuan seseorang dalam mengendalikan nafsu dan menjauhkannya dari pelbagai keinginan yang kotor dan keji.


Para ulamak sepakat bahawa jihad termasuk amalan yang paling utama berdasarkan beberapa hadis. Seorang lelaki bertanya, “Ya Rasulullah, amalan apakah yang paling utama?” Rasulullah menjawab, “Iman kepada Allah dan Rasul-Nya,“ Ia bertanya, “Kemudian apa?“ Beliau menjawab, “Jihad di jalan Allah.“ Ia bertanya lagi, “Kemudian apa?“ Beliau menjawab, “Haji mabrur.“ (HR Bukhari dan Muslim)


Ibnul Qayyim berpendapat bahawa jihad yang paling utama adalah jihad yang paling sesuai mengikut tuntutan masa dan keadaan. Ketika dalam suasana peperangan atau diserang kaum kafir maka jihad yang terbaik adalah jihad dengan mengangkat senjata melawan kaum kafir.


Rasulullah S.A.W. pernah ditanya, “Jihad apakah yang paling utama?” Beliau menjawab, “Seseorang yang berperang hingga kuda kenderaannya mati dan ia sendiri gugur bersimbah darah.“ (HR Bukhari)


Bagi orang tua dan wanita maka jihad yang paling utama adalah haji mabrur kerana ibadah haji merupakan salah satu rukun Islam dan merupakan kombinasi antara ibadah harta dan ibadah tubuh badan Oleh itu keupayaan melaksanakan haji dengan sempurna merupakan jihad yang paling utama. Rasulullah bersabda, “Jihad orang tua dan wanita adalah haji dan umrah.” (HR Ahmad)


Dalam keadaan negara aman dari serangan kaum kafir , namun tidak aman dari kezaliman penguasa, maka jihad yang terbaik adalah menyampaikan nasihat kebenaran kepada pemimpin yang zalim.


Rasul S.A.W. bersabda: “Jihad yang paling utama adalah kalimat yang benar di hadapan penguasa yang zalim (culas).” (HR Ahmad)


Hadis ini menerangkan kepentingan seorang pemimpin dalam membawa kebaikan yang besar bagi seluruh rakyat dan bangsanya. Kezaliman dan kejahatan pemimpin akan membawa kesengsaraan yang besar bagi seluruh rakyat dan bangsanya hinggakan usaha untuk memperbetulkan pemimpin merupakan jihad yang paling utama.


Manakala ketika keadaan negara yang aman dari gangguan musuh dan kezaliman pemimpin maka jihad yang terbaik bagi seorang muslim adalah jihad melawan nafsu.


Jihad apapun tidak akan tertegak tanpa melakukan jihad melawan nafsu terlebih dahulu. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Seorang mujahid adalah orang yang berjihad melawan nafsunya.” (HR Tirmidzi)


Rujukan: Fakhruddin Nursyam, Lc, Syarah Lengkap Arba’in Ruhiyah Refleksi 40 hadis Rasulullah saw, Bina Insani Press Solo, Solo, 2007.

No comments:

Post a Comment