Friday, May 20, 2011

Materialisme Melanda Negara Islam

Eropah giat berusaha mengembangkan arus materialisme ini bersama budaya dan kuman perosaknya ke seluruh negara Islam yang berada dalam genggaman mereka dan setiap bumi Islam yang jatuh ke dalam kuasa mereka. Dalam masa yang sama mereka berusaha memastikan segala elemen kuasa seperti ilmu pengetahuan, kepakaran dan sistem yang baik disekat daripada umat Islam.

Mereka merencana segala serangan sosial ini dengan amat bijak menggunakan segala kelicikan politik dan kuasa ketenteraan mereka. Sehingga mereka berjaya mencapai apa yang mereka inginkan. Mereka memperdaya pemimpin-pemimpin umat Islam dengan memberikan pinjaman dan menjalankan urusniaga bersama. Malah mereka memudahkan segala urusniaga ini. Dengan cara ini mereka berhak campur tangan dalam hal ehwal ekonomi negara Islam.

Mereka berjaya melambakkan modal, bank-bank dan syarikat-syarikat mereka. Mereka menentukan aliran ekonomi menurut kehendak mereka. Mereka mengaut segala keuntungan dan kekayaan. Seterusnya mereka berkuasa mengubah dasar politik, kehakiman dan pendidikan. Mereka mempunyai kuasa menentukan sistem politik, perundangan dan pendidikan supaya menurut acuan mereka sepenuhnya termasuk di negara Islam yang terkuat.

Mereka membawa masuk wanita-wanita yang tidak berpakaian, arak-arak, teater-teater, kelab malam, hiburan, filem-filem, akhbar, novel, fiksyen serta cara mereka berhibur dan membuang masa. Mereka membenarkan jenayah dilakukan walaupun jenayah yang sama tidak dibenarkan di negara mereka. Mereka menjadikan dunia yang penuh dengan hiburan, dunia yang bergelumang dengan dosa dan noda ini begitu menarik ditonton oleh umat Islam yang kaya-raya, umat Islam yang berpengaruh dan berkedudukan tetapi berfikiran cetek.

Bukan setakat itu sahaja malah mereka membina sekolah-sekolah serta pusat pengajian ilmu dan sains dalam negara Islam. Institusi ini berperanan mendidik umat Islam supaya ragu dan menolak agama mereka. Mereka mendidik umat Islam supaya merendahkan diri sendiri, memperlekeh agama dan negara sendiri, membuang budaya dan akidah sendiri sebaliknya mengagung-agungkan segala yang datang daripada Barat. Sehingga umat Islam berkeyakinan bahawa segala yang dihasilkan oleh Eropah adalah contoh yang terbaik untuk hidup ini.

Sekolah-sekolah ini hanya menerima masuk anak-anak kelas atasan dan dikhususkan untuk golongan ini sahaja. Anak-anak kelas atasan ini adalah anak-anak para pembesar dan pemimpin, dan urusan umat ini tidak lama lagi akan berada di tangan mereka. Jika institusi boneka ini belum cukup mematangkan mereka, maka program-program susulan akan menyempurnakannya. Serangan sosial yang diatur begitu kemas dan intensif ini beroleh kejayaan besar. Serangan seperti ini sesuai dengan manusia, dekat dengan jiwa manusia, bersifat jangka panjang dan amat berkesan.

Oleh kerana itulah serangan seperti ini jauh berkali ganda lebih merbahaya daripada serangan politik dan ketenteraan. Beberapa bangsa Islam begitu ghairah dengan tamadun Eropah sehingga mereka merasa tidak selesa dengan identiti mereka sebagai Islam. Malah rakyat Turki terdorong untuk mengakui bahawa Turki bukan negara Islam. Mereka begitu bersemangat meniru apa sahaja yang dilakukan oleh Eropah.

Amanullah Khan, Raja Afghanistan cuba melakukan usaha yang sama, namun usahanya itu menyebabkan dia kehilangan takhta. Budaya meniru ini semakin menular di Mesir sehinggakan seorang tokoh yang agak berpengaruh secara terus terang menyatakan bahawa tiada jalan lain untuk maju melainkan dengan cara kita mencedok tamadun ini sama ada yang baik atau yang buruk, yang manis mahupun yang pahit, yang disukai mahupun yang dibenci, yang dipuji mahupun yang dicaci. Kesan ini begitu cepat menular daripada Mesir ke negara-negara jiran hingga sampai ke hujung barat (Maghribi dan kawasan sekitarnya) dan menggoyah nilai-nilai suci satu perempat tanah Hijaz. Negara-negara Islam yang terpengaruh dengan tamadun materialisme ini boleh dibahagikan kepada tiga kategori:

1. Negara yang terlalu terpengaruh hingga mengubah hati dan perasaan mereka. Malah mengubah segala budaya dan penampilan mereka. Negara-negara ini antaranya ialah Turki dan Mesir. Di negara-negara ini, gagasan Islam telah dipinggir daripada budaya masyarakat dan hanya terperosok di masjid-masjid dan tempat-tempat keagamaan.

2. Negara yang terpengaruh dengan tamadun Eropah dalam aspek budaya dan penampilan tetapi tidak berjaya mempengaruhi sentimen mereka. Negara - negara ini seperti Iran, negara-negara di bahagian barat dan utara Afrika.

3. Negara yang hanya kelompok tertentu di kalangan golongan berpendidikan dan pemerintah sahaja terpengaruh dengan budaya Eropah seperti Syria, Iraq, Hijaz, sebahagian besar Semenanjung Tanah Arab dan beberapa negara Islam yang lain.

Namun demikian arus ini begitu cepat tersebar hingga akhirnya berjaya mempengaruh semua lapisan masyarakat dan budaya. Musuh-musuh Islam telah berjaya memperdaya para cendikiawan Islam serta mengaburi pandangan umat Islam yang lain. Mereka menggambarkan seolah-olah Islam hanyalah membabitkan beberapa amalan akidah, ibadat dan akhlak. Selain itu Islam digambarkan hanya merupakan beberapa upacara, amalan karut dan penampilan yang kosong. Muslihat mereka ini dibantu oleh kejahilan umat Islam yang tidak memahami agama mereka yang sebenar. Fenomena ini menyebabkan sebahagian besar umat Islam merasa selesa dan setuju dengan gambaran seperti ini. Seterusnya apabila masa berlalu, agak sukar untuk kita menerangkan kepada mereka bahawa Islam adalah suatu sistem sosial yang lengkap mencakupi seluruh aspek hidup manusia.

Dengan ini, kita terpaksa akui bahawa tamadun Barat yang bertunjangkan fahaman materialisme telah berjaya menguasai pertembungan sosial ini menentang tamadun Islam yang bertunjangkan fahaman yang menggabungkan antara roh dan jasad. Mereka telah berjaya di bumi Islam sendiri. Mereka berjaya dalam pertembungan di lapangan yang sebenar iaitu jiwa, rohani, akidah dan akal manusia. Mereka juga telah berjaya di lapangan politik dan ketenteraan. Semua ini tidak menghairankan kerana hidup ini sebenarnya satu; suatu kekuatan adalah tetap suatu kekuatan dalam semua aspek hidup, dan suatu kelemahan adalah tetap
suatu kelemahan dalam semua aspek hidup.

Firman Allah yang bermaksud:
“Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan dan kekalahan), Kami gilirkan dia antara sesama manusia. (Ali Imran: 140)

Walau bagaimanapun dasar dan ajaran Islam masih tetap kukuh sebagaimana asalnya, masih segar dan bernyawa, masih mampu menarik perhatian melalui kehebatan dan keindahannya. Islam tetap segar kerana Islam adalah agama yang benar. Malah hayat insan tidak akan sempurna tanpa Islam. Juga kerana Islam adalah ciptaan Allah dan dijaga oleh-Nya.

Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” (Al-Hijr: 9)

“Sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). (At-Taubah: 32)

Petikan: Himpunan Risalah – Imam Hassan Al Banna

No comments:

Post a Comment