Friday, May 20, 2011

Pelan Tindakan Islam

Sistem al-Quran berbeza dengan sistem-sistem ciptaan manusia atau falsafah teoritikal yang lain kerana segala prinsip dan ajaran al-Quran yang berbentuk teori bukan hanya bertempat dalam jiwa atau sekadar pandangan yang tertera dalam buku atau ungkapan yang diucap di mulut atau bibir sahaja. Sebaliknya demi memantap, mengukuh dan merealisasikan kesan serta hasilnya, Islam meletakkan beberapa bentuk tindakan.

Islam juga mewajibkan umat yang mengimani dan menganutinya supaya berusaha bersungguh-sungguh mengamalkannya. Malah Islam meletakkan amalan-amalan ini sebagai suatu kewajipan yang tidak boleh dipandang ringan atau diabaikan.

Islam juga memberikan ganjaran kepada mereka yang mengamalkannya dan menghukum sesiapa yang cuai hingga ke tahap menyingkirkannya daripada masyarakat ini dan mencampakkannya ke tempat yang menyeksakan.

Antara amalan terpenting yang diwajibkan oleh sistem ini sebagai benteng dalam usaha memantapkan prinsipnya ialah:
a. Sembahyang, zikir, taubat, istighfar dan sebagainya.
b. Puasa, bersederhana dan berwaspada dengan kemewahan.
c. Zakat, sedekah dan memberi sumbangan untuk kebajikan.
d. Haji, pelancongan, lawatan, penerokaan dan melihat alam ciptaan Allah.
e. Mencari rezeki, bekerja dan mengharamkan amalan mengemis.
f. Jihad, berperang, mempersiapkan angkatan tentera, menjaga keluarga para pejuang dan kepentingan mereka semasa ketiadaan mereka.
g. Menyuruh perkara yang baik dan memberikan nasihat.
h. Mencegah perkara yang tidak baik serta memulaukan tempat dan pelakunya.
i. Membekalkan setiap lelaki dan wanita Islam dengan ilmu dan pelbagai
kemahiran hidup yang sesuai dengan fitrah masing-masing.
j. Bergaul dengan baik dan memiliki sepenuhnya akhlak yang baik.
k. Menjaga kesihatan badan dan pancaindera.
l. Tanggungjawab sosial antara pemerintah dan rakyat, iaitu antara
tanggungjawab memelihara rakyat dan kewajipan mentaati pemerintah.

Setiap orang Islam dituntut melaksanakan segala kewajipan ini dan memastikan perlaksanaannya sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam. Mereka juga tidak boleh mengabaikan mana-mana kewajipan ini. Semua kewajipan ini telah dinyatakan dalam al-Quran al-Karim.

Malah telah dijelaskan dengan cukup terperinci melalui amalan Nabi s.a.w., para sahabat dan generasi berikutnya dengan cara yang amat mudah dan jelas. Setiap satu atau beberapa amalan tersebut di atas berperanan bagi memantap dan mengukuhkan satu-satu prinsip atau beberapa
prinsip yang telah dinyatakan oleh teori sebelum ini yang hendak dicapai oleh Islam dan membolehkan manusia merasai hasil serta kesannya.

Petikan:
Himpunan Risalah – Imam Hassan Al Banna

No comments:

Post a Comment