Friday, May 20, 2011

Pendekatan al-Quran dalam merubah masyarakat

Al-Quran mengandungi segala kaedah ke arah perubahan masyarakat yang menyeluruh. Al-Quran telah turun sedikit demi sedikit kepada Nabi s.a.w. dan dibentangkan kepada orang-orang yang beriman dari semasa ke semasa mengikut keperluan, keadaan dan peristiwa tertentu.

Firman Allah yang bermaksud:
“Al-Quran diturunkan dengan cara (beransur-ansur) itu kerana Kami hendak menetapkan hatimu (wahai Muhammad) dengannya, dan Kami nyatakan bacaannya kepadamu dengan teratur satu persatu. Dan mereka tidak membawa kepadamu sesuatu kata-kata yang ganjil (untuk menentangmu) melainkan Kami bawakan kepadamu kebenaran dan penjelasan yang sebaik-baiknya (untuk menangkis segala yang mereka katakan itu).” (Al-Furqan: 32-33)

Akhirnya sempurnalah penurunan wahyu dan kini ia terpelihara dalam dada dan lembaran dalam tempoh lebih dua puluh dua tahun. Dalam kitab ini Allah muatkan segala keterangan yang diperlukan untuk umat ini. Termasuklah dasar-dasar yang perlu bagi melakukan perubahan yang menyeluruh kepada masyarakat.

Hampir semuanya boleh disimpulkan dalam dasar-dasar berikut:
a. Ketuhanan (rabbani).
b. Mengangkat martabat manusia.
c. Mengesahkan wujudnya hari pembalasan.
d. Melaungkan ikatan persaudaraan seluruh manusia.
e. Mengajak kaum lelaki dan wanita supaya bangkit bersama. Mengisytiharkan kerjasama dan kesaksamaan antara lelaki dan wanita serta menggariskan peranan masing-masing secara terperinci.
f. Menjamin kestabilan masyarakat dengan cara memperakui hak-hak untuk hidup, memiliki harta, bekerja, sihat tubuh badan, bebas, berilmu, keselamatan setiap individu dan hak menentukan sumber pendapatan.
g. Mengawal dua naluri manusia iaitu naluri menjaga keselamatan nyawa dan naluri menjaga kesinambungan zuriat, di samping mengatur keperluan mulut dan seks.
h. Tegas dalam memerangi jenayah yang sebenar.
i. Memelihara perpaduan umat Islam dan menghapuskan segala bentuk dan punca yang membawa perpecahan.
j. Mewajibkan umat Islam melaksanakan jihad demi menegakkan prinsip kebenaran yang diketengahkan oleh sistem ini.
k. Meletakkan negara sebagai wakil kepada gagasan (fikrah) ini dan bertindak sebagai penjaga gagasan ini. Negara ini juga bertanggungjawab mencapai matlamat gagasan ini dalam sebuah masyarakat dan kemudian menyampaikan gagasan ini ke seluruh manusia.

Petikan:
Himpunan Risalah – Imam Hassan Al Banna

No comments:

Post a Comment