Saturday, May 28, 2011

Perkara Yang Merosakkan Hati

Kita biasanya mengambil berat mengenai penyakit yang menimpa tubuh badan kita. Tetapi jarang sekali kita meneliti kesihatan hati kita. Sukar bagi kita untuk mendapatkan pakar dalam mendiagnosis penyakit hati.


Namun begitu Rasulullah S.A.W. mengajar kita supaya membuat pemeriksaan hati sepertimana sabda baginda yang bermaksud: “Sesungguhnya di dalam jasad terdapat segumpal daging. Jika ia baik, maka seluruh tubuh akan menjadi baik, dan jika ia rosak maka seluruh tubuh akan menjadi rosak. Ketahuilah bahawa itu adalah hati.” (HR Bukhari)


Kebaikan sesebuah masyarakat dinilai dari dua aspek iaitu jasmani (tubuh badan) dan rohani. Kebaikan fizikal banyak ditentukan oleh kebaikan hati. “Hati mau baik”. Itulah antara ungkapan yang sering kita dengar. Sebab jika hati seseorang itu baik, maka ia akan meninggalkan perkara-perkara yang merosakkan tubuh badan seperti mabuk, menagih dadah, melanggani pelacur dan semua tindakan yang membahayakan diri dan orang lain.


Hati yang rosak tidak akan mampu membawa manusia kepada kebaikan dunia dan akhirat. Bahkan sebaliknya, ia akan menjerumuskan manusia dalam kebinasaan dan kehancuran dunia dan akhirat. Oleh itu penyakit hati jauh lebih merbahaya dan amat dahsyat kesannya berbanding penyakit tubuh badan yang hanya memberi penderitaan di dunia sahaja.


Mungkin mengikut perubatan moden, makan paracetamol (PCM)tanpa kawalan boleh merosakkan hati secara fizikal. Tapi pada kali ini kita mahu melihat punca kerosakan hati yang lebih parah lagi. Marilah sama-sama kita meneliti punca yang menyebabkan hati kita rosak iaitu:


i. Dosa dan Maksiat


Dosa dan maksiat dapat meninggalkan noda hitam di hati. Semakin banyak dosa dilakukan, semakin banyak pula noda hitam yang menutupi hatinya, sehingga menjadi hati yang hitam kelam dan terhalang dari Allah Ta’ala. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Seorang mukmin apabila melakukan suatu dosa, maka noda hitam akan muncul di hatinya. Jika ia bertaubat, meninggalkan dosa, dan beristighfar, maka hatinya kembali berkilat. Jika ia menambahkan perbuatan dosanya, maka bertambah pula noda hitamnya sehingga menutupi hati. Itulah noda yang disebutkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla dalam Al Quran, “Sekali-kali tidak (demikian, sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka.”(Surah Al Muthaffifin ayat 14) (HR Ahmad).


Hasan Al Basri dalam mengupas hadis di atas mengatakan, “dosa di atas dosa akan membutakan hati lalu mati.”


ii. Melupakan Allah dan sIbuk dengan selain-Nya.


Hati kita apabila sibuk kepada sesuatu perkara akan mengurangkan penumpuan kepada perkara yang lain. Sedikit mengingat Allah dan menyibukkan diri dengan urusan duniawi akan merosakkan hati seorang muslim. Allah Ta’ala berfirman yang bermaksud: “Janganlah engkau mengikuti orang yang hatinya Kami lalaikan dari mengingat Kami, serta menurut hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas.” (Surah Al Kahfi Ayat 28)


Oleh itu, orang yang lalai dalam mengingati Allah dan menyibukkan diri dengan pelbagai keinginan syahwat, hatinya akan rosak sehingga menjadi orang yang melewati batas. Oleh itu ia tidak layak menjadi pemimpin.


iii. Bergaul dengan orang yang berakhlak buruk


Kawan yang berakhlak buruk akan memberi pengaruh yang buruk kepada sesiapa yang bergaul dengannya. Rasulullah bersabda: “Perumpamaan teman yang buruk adalah seperti tukang pembuat arang. Jika kamu tidak terkena arangnya, maka kamu akan terkena asapnya.” (HR Abu Daud)


“Seseorang akan mengikuti agama teman akrabnya, maka hendaknya salah seorang di antara kamu memperhatikan siapa yang akan dijadikan sebagai teman akrabnya.” (HR Abu Daud)


iv. Berlebihan Makan dan Minum


Fudhail Bin ‘Iyadh berkata, “Ada dua hal yang akan mengeraskan hati; banyak berbicara dan banyak makan.”


Imam Syafi’I berkata, “Aku tidak pernah kenyang sejak enam belas tahun lalu, kecuali sekali, lantas aku memasukkan tanganku untuk memuntahkannya. Kerana kenyang memberatkan badan, mengeraskan hati, menghilangkan kecerdasan, mengajak tidur dan melemahkan semangat beribadah.”


Abu Sulaiman Ad Darini berkata: “Tiap-tiap sesuatu mempunyai karat dan karatnya hati adalah kekenyangan.”


v. Banyak ketawa


Banyak ketawa tidak hanya merosak hati, bahkan akan mematikannya. Rasulullah S.A.W. bersabda, “Janganlah kamu memperbanyakkan ketawa. Kerana banyak ketawa akan mematikan hati.” (Ash-Shahihah: 1418)


Seorang yang banyak ketawa akan susah untuk merasa empati dan boleh menyakiti hati orang lain sedangkan ia tidak menyedarinya. Seringkali ia berbohong untuk mencipta jenaka agar orang ketawa sehingga menjerumuskan dirinya dalam kebinasaan.


Rasulullah S.A.W. bersabda: “Celakalah orang yang berbicara dengan berdusta untuk mengundang ketawa sekelompok orang. Celakalah dia, celakalah dia.” (HR Ahmad)


vi. Banyak Tidur


Rasulullah S.A.W. bersabda, “Hai Aisyah, sesungguhnya kedua mataku tertidur, namun hatiku tidak tidur.” (Muttafaqun ‘Alaih).


Hadis ini menunjukkan bahawa apabila kedua mata seseorang tertidur maka hatinya turut tertidur kecuali Rasulullah, di mana hati baginda tetap terjaga dan mengingati Allah.


Sebenarnya tidur adalah kematian kecil. Seseorang yang banyak tidur melebihi keperluannya bererti ia telah menghantar hatinya kepada kematian. Oleh itu para ulamak salaf berusaha untuk mengurangkan tidur mereka. Bahkan ada dikalangan mereka seperti Imamul Haramain tidak makan dan tidur kecuali apabila sangat memerlukan makan (lapar) dan tidak dapat melawan rasa mengantuk samada malam atau siang.


Rujukan: Fakhruddin Nursyam, Lc, Syarah Lengkap Arba’in Ruhiyah Refleksi 40 hadis Rasulullah saw, Bina Insani Press Solo, Solo, 2007.

No comments:

Post a Comment