Saturday, April 23, 2011

Adab-Adab Beramal Yang Berorientasi Akhirat

Sabda Rasulullah S.A.W. : “Seorang yang cerdas adalah orang yang mampu mengendalikan dirinya, dan beramal untuk (kehidupan) setelah kematiannya.“ (HR Ahmad dan Tirmidzi)

“... dan beramal untuk (kehidupan) setelah kematiannya.“

Petikan hadis di atas menunjukkan seseorang cerdas sentiasa memastikan bahawa segala perbuatannya adalah berorientasikan akhirat. Kerana itulah dia selalu memperhatikan adab-adab suatu amal agar diterima di sisi Allah dan menjadi tabungan pahala baginya di akhirat nanti.

Antara adab-adab itu adalah:

a. Ikhlas dan Mutaba’atur-rasul

Setiap amal perbuatan yang kita harapkan mendapat balasan pahala di akhirat, hendaklah sentiasa di dasari keikhlasan untuk mencari pahala dan ridha Allah, serta sesuai dengan apa yang dicontohkan Rasulullah S.A.W. Allah Ta’ala berfirman:

“Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya maka hendaklah ia mengerjakan amal soleh dan janganlah ia mempersekutukan dengan sesuatu pun dalam beribadah kepada Tuhannya.” (Al Kahfi : 110)

Ibnu Kathir berkata: “Inilah dua rukun amal yang akan diterima Allah Ta’ala, yakni hendaknya amal perbuatan itu ikhlas kerana Allah dan sesuai syari’at Rasulullah S.A.W.”

b. Mahabbah (Cinta), Khauf (Takut) dan Raja’ (Mengharap)

Ketika melakukan suatu perbuatan, hendaknya yang mendorong seorang Muslim untuk beramal adalah kecintaan kepada Allah, ketakutan pada murka dan siksa neraka-Nya, serta harapan untuk mendapat ridha dan pahala syurga-Nya.

Sebahagian besar ulama salaf sepakat bahawa rasa cinta kepada Allah hendaklah lebih besar dari rasa takut dan mengharap. Mereka juga sepakat bahawa rasa takut dan harap hendaklah seimbang (At Takhwif minan naar : 16-17)

c. Mengakui Kurniaan Allah

Allah memberi taufik, kemudahan dan pertolongan kepada kita untuk melakukan amal soleh sehingga kita dapat melaksanakan sesuatu amalan. Tanpa taufik dari Allah kita tidak mampu melakukannya. Firman Allah yang bermaksud:

“Aku tidak bermaksud apa-apa kecuali (melakukan) perbaikan selama aku masih mampu. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan pertolongan Allah.“ (surah Hud: ayat 88)

d. Mengakui Ada Kekurangannya

Sesudah melakukan amal soleh, kita hendaklah mengakui adanya kekurangan betapapun kita telah berusaha semaksimanya untuk beramal hanya kerana Allah semata-mata. Ini adalah kerana manusia tidak pernah terlepas dari kekurangan dan tidak ada seorang pun sempurna dalam segala hal.

Oleh itu setelah melakukan amal ibadah hendaknya hati dan jiwa kita berada di antara harap dan cemas. Kerana kita tahu apakah amal kebaikan kita diterima oleh Allah Ta’ala sehingga kita termasuk ke dalam golongan orang-orang yang diredhai Allah dan selamat di akhirat, atau apakah amalan kita ditolak sehigga ia termasuk orang-orang yang dimurkai Allah dan celaka di akhirat.

e. Tidak mengiringi Amal Kebaikan Dengan Kemaksiatan

Ketika melakukan amal kebaikan, ia tidak mengiringi atau mencampurkannya dengan kemaksiatan berupa kesyirikan, kekufuran dan kemunafikan yang tertentu akan menggugurkan amalnya sehingga celaka ia diakhirat. Allah Ta’ala berfirman yang bermaksud:

“Jika kamu menyekutu (Allah), nescaya terhapuslah amalmu dan tentulah kamu termasuk orang-orang yang merugi.” (Surah Az Zumar: ayat 65)

“Barangsiapa kafir sesudah beriman, maka hapuslah`amalannya dan ia di akhirat termasuk orang-orang yang merugi.“ (Surah Al Maidah: ayat 5)

f. Tidak Mengiringi Amal Kebaikan Dengan Kezaliman

Kezaliman terhadap orang lain akan merosak pahalanya atau mengakibatkan dipindahkannya pahala kebaikannya kepada orang yang dizaliminya sehingga ia termasuk orang-orang yang bangkrap.

Sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang muflis dari umatku adalah orang yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala solat, puasa dan zakat, namun ia telah mencela orang ini, menuduh zina orang itu, memakan harta orang ini, mengalirkan darah orang itu, dan memukul orang ini. Lalu sebahagian dari pahala kebaikannya diberikan kepada orang ini, dan sebahagian dari pahala kebaikannya diberikan kepada orang itu. Jika pahala kebaikannya telah habis sebelum memenuhi semua kewajipan yang dibebankan kepadanya, maka diambillah sebahagian dari dosa-dosa mereka lalu dipikulkan kepadanya, kemudian ia dilemparkan ke dalam neraka.” (Ash-Shahihah: 1313)

Rujukan:

Fakhruddin Nursyam, Lc, Syarah Lengkap Arba’in Ruhiyah Refleksi 40 hadis Rasulullah saw, Bina Insani Press Solo, Solo, 2007.

No comments:

Post a Comment