Friday, May 20, 2011

Kesedaran

Sepertimana ancaman politik yang mampu membangkitkan sentimen perkauman, ancaman sosial juga telah menghidupkan semula gagasan Islam. Hasilnya, pelbagai suara bangkit menuntut supaya umat Islam kembali kepada Islam; Kembali kepada memahami dan melaksanakan hukum serta sistem Islam.

Sudah pasti tidak lama lagi akan tiba masanya tamadun materialisme ini jatuh tersembam di atas batu jemala pendokong dan penganutnya. Ketika itu mereka merasa betapa hati dan rohani mereka begitu dahaga. Namun di sana hanya ada satu sumber sahaja yang mampu memberikan santapan dan rawatan untuk mereka iaitu Kitab Allah.

Firman Allah yang bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. Katakanlah (wahai Muhammad): Kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayang-Nya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal).” (Yunus: 57-58)

Wahai Ikhwan, Allah mahu kita mewarisi tanggungjawab yang besar ini. Allah mahu supaya sinar dakwah kamu terpancar menerangi seluruh kegelapan ini. Allah melahirkan kamu untuk memartabatkan kalimah-Nya, mendokong syariat-Nya dan menegakkan semula negara-Nya.

Firman Allah yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugama-Nya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. (Al-Haj: 40)

Matlamat utama kita

Wahai Ikhwan, apakah yang kita mahu? Adakah kita mahu mengumpulkan harta sedangkan harta itu akan lenyap? Adakah kita mahukan pengaruh sedangkan ia suatu yang tidak bererti? Adakah kita mahu bermaharajalela di muka bumi?

Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dari hamba-hamba-Nya. (Al-A’raf: 128)
Bukankah kita pernah membaca firman Allah Taala yang bermaksud:
“Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Al-Qasas: 83)

Allah menjadi saksi bahawa kita tidak pernah sedikitpun mahukan semua ini. Bukan itu tujuan kita bekerja dan bukan ke arah itu dakwah kita. Namun ingatlah sentiasa bahawa kamu mempunyai dua matlamat besar:
Membebaskan Dunia Islam daripada semua cengkaman kuasa asing yang sememangnya merupakan hak semulajadi semua manusia. Hanya orang yang bersikap kejam dan diktator sahaja yang akan menafikannya.

Menegakkan sebuah negara Islam yang bebas di bumi ini. Negara yang mampu melaksanakan hukum-hukum dan sistem sosial Islam. Sebuah negara yang dapat menampilkan ajaran Islam yang sebenar dan dapat menyebarkannya secara bijaksana kepada semua manusia.

Selagi negara ini tidak wujud, selagi itulah seluruh umat Islam berdosa. Umat Islam akan dipertanggung jawabkan di hadapan Allah kerana mereka dianggap cuai dan tidak berusaha mewujudkannya. Adalah suatu pencabulan kepada hak-hak kemanusiaan terutama dalam keadaan yang tidak menentu ini apabila wujudnya sebuah negara yang melaungkan dasar-dasar yang kejam dan menyebarkan fahaman-fahaman yang sesat namun tidak wujud sesiapapun yang berusaha menegakkan sebuah negara yang berpegang kepada kebenaran, keadilan dan keharmonian.

Kita mahu kedua-dua matlamat ini tercapai di lembah Nil ini, di negara-negara Arab dan di seluruh muka bumi yang Allah berikan anugerah untuk mengecapi nikmat Islam sebagai suatu agama, suatu identiti, dan suatu akidah yang menyatukan seluruh umat Islam.

Matlamat khusus kita

Selain kedua-dua matlamat tadi kita mempunyai matlamat khusus. Sebuah masyarakat akan hanya menjadi sebuah masyarakat Islam yang sempurna apabila matlamat ini tercapai. Wahai Ikhwan, sedarlah bahawa 60% rakyat Mesir hidup lebih rendah daripada taraf haiwan. Mereka terpaksa bersusah payah untuk mendapat sesuap nasi. Mesir juga diancam kebuluran dan berhadapan dengan pelbagai kegawatan ekonomi yang hanya Allah sahaja tahu kesudahannya. Di Mesir juga terdapat 320 buah syarikat asing yang memonopoli kesemua kemudahan dan kepentingan awam di seluruh pelusuk Mesir.

Aliran urusniaga, industri dan sektor ekonomi semuanya berada di tangan orang asing yang mengamalkan riba. Hartanah berpindah dengan begitu pantas daripada rakyat tempatan kepada rakyat asing. Mesir merupakan negara moden di dunia yang paling teruk dilanda wabak dan penyakit. Lebih 90% rakyat Mesir dijangka berhadapan dengan ketidak upayaan fizikal, kecacatan pancaindera serta pelbagai kecacatan dan penyakit. Mesir sehingga kini masih dibelenggu kejahilan apabila tidak sampai satu perlima sahaja yang mendapat pendidikan. Dengan jumlah itu hanya seratus ribu orang sahaja yang mendapat pendidikan melebihi tahap sekolah rendah. Kejadian jenayah bertambah berlipat ganda dan semakin meningkat dengan peratus yang amat tinggi hingga menyebabkan lepasan penjara lebih ramai daripada lepasan sekolah.

Sehingga kini Mesir masih tidak mampu mewujudkan satu pasukan tentera yang mempunyai kelengkapan senjata yang secukupnya. Situasi yang sama berlaku pada mana-mana negara Islam di seluruh dunia. Jadi salah satu matlamat kamu ialah kamu berusaha untuk memulihkan sistem pendidikan, menghapuskan kemiskinan, kejahilan, penyakit, jenayah, membentuk masyarakat contoh yang layak mendokong syariat Islam.

Petikan:
Himpunan Risalah – Imam Hassan Al Banna

No comments:

Post a Comment