Friday, May 20, 2011

Catatan Sejarah Mengenai Usaha Menghancurkan umat Islam.

Usaha untuk menghancurkan Islam bukan suatu yang baru. Malah ianya bermula sejak di zaman Rasulullah lagi. Cuma apa yang dinyatakan dalam catatan ini adalah usaha yang dilaksanakan oleh musuh-musuh Islam bermula dari zaman pemerintahan Bani Abbasiah.

Bangsa-bangsa yang ditakluk oleh Khalifah Abbasiah merasakan sudah tiba masanya untuk mereka membalas dendam dan menghancurkan negara Islam yang pernah suatu ketika dahulu menakluk negara mereka dan mengubah semua elemen utama dalam hidup mereka.

Bangsa Tartar mula menyerang umpama bah melanda negara Islam dan mencarik-carik tubuh negara ini satu demi satu hingga mereka berjaya mara ke Baghdad, pusat pemerintahan Khalifah Abbasiah. Malah mereka menghenyakkan kaki mereka ke tubuh Khalifah al-Mu’tasim. Akibatnya robohlah kekuatan negara Islam dan buat pertama kalinya rangkaian negara ini berkecai menyebabkan bangsa-bangsa Islam berpecah kepada negara-negara kecil.

Masingmasing memilih Amirul Mukminin dan haluan sendiri. Kristian di Eropah turut menyedari hakikat ini. Mereka mengumpulkan segala kekuatan untuk menggempur Islam di timur, iaitu di Asia dan Afrika melalui sembilan siri Perang Salib yang disertai oleh para satria, raja dan orang awam. Angkatan tentera ini berjaya membina sebuah negara Salib di Baitul Maqdis yang mengancam bangsa Islam di timur dan barat. Malah mereka turut menyerang Mesir, sebuah negara paling berkuasa ketika itu.

Kemenangan demi kemenangan.

Namun Allah masih belum mengizinkan kesesatan mengalahkan kebenaran. Mesir akhirnya berjaya menggabungkan beberapa buah negara-negara kecil di sekitarnya seterusnya memimpin mereka menyerang tentera salib di bawah pimpinan Salahuddin. Baitul Maqdis berjaya diambil kembali dan tentera salib terpaksa menerima kekalahan mereka di Hittin (pada tahun 583 Hijrah) Selepas itu di bawah pimpinan al- Zahir Baibars mereka berhadapan pula dengan Tartar dan menghalau mereka keluar di Ain Jalut (pada tahun 658 Hijrah).

Setelah itu khalifah Islam kembali bertakhta dan dengan izin Allah, Islam kembali bernaung di bawah sebuah negara yang memiliki pengaruh yang luas dan kuat. Negara ini berjaya menyatukan kekuatan umat Islam dan menggabungkan kebanyakan bangsa-bangsa Islam di bawah naungannya.

Sebagai sebuah negara yang berwibawa, negara ini mengorak langkah untuk menyerang Kristian di pusat pemerintahannya seterusnya berjaya menakluk Constantinople. Negara ini berjaya menyebarkan sayapnya hingga ke tengah Eropah dan berjaya sampai hingga ke Vienna. Inilah negara Turki Othmaniah.

Bibit-bibit kebangkitan Eropah.

Negara Islam merasa selesa dan alpa di bawah naungan kerajaan Othmaniah dan sultan-sultan Othmaniah hingga terleka dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka. Dalam masa yang sama, Eropah yang pernah mengecapi sinaran Islam di Barat melalui Andalus dan Timur melalui angkatan salib tidak pernah mensia-siakan peluang.

Mereka tidak pernah lupa untuk belajar daripada pengalaman silam. Dengan itu, Eropah mula mempertingkatkan kekuatannya dan bergabung di bawah pimpinan bangsa Frank di Portugal. Mereka akhirnya berjaya menyekat kemaraan tentera Islam di Barat. Mereka berjaya menimbulkan pergeseran di kalangan umat Islam Andalus.

Kesannya umat Islam Andalus sentiasa bercakaran sesama sendiri sehingga akhirnya umat Islam Andalus berjaya diusir ke negara-negara jajahan Inggeris dan Perancis atau terpaksa melarikan diri ke bumi Afrika. Tertegaklah sebuah negara baru iaitu negara Sepanyol menggantikan tempat umat Islam. Eropah terus mempertingkatkan kekuatan mereka; mereka bergabung, merencana dan belajar. Mereka menjelajah dan meneroka negara dan benua baru.

Penemuan Amerika merupakan salah satu usaha yang dilakukan oleh Sepanyol. Sementara penemuan laluan ke India merupakan hasil usaha Portugis. Setelah itu, muncul pelbagai suara yang menuntut perubahan yang diterajui oleh ramai pejuang perubahan. Mereka mula beralih ke arah ilmu sains dan ilmu yang produktif.

Revolusi ini akhirnya membentuk fahaman kebangsaan dan terbentuklah sebuah negara kuat yang meletakkan seluruh matlamatnya untuk menghancur leburkan negara Islam. Mereka membahagi-bahagikan negara Islam dan menguasai sepenuhnya Afrika dan Asia. Negara-negara yang masih baru ini membuat pelbagai perjanjian sesama mereka. Mereka berpegang teguh kepada perjanjian ini sehingga ada kalanya perjanjian ini dianggap amat suci.

Serangan-serangan baru

Melalui dasar meneroka, menjelajah dan mengembara ke hujung dunia, Eropah berjaya meluaskan sayap mereka ke seluruh negara-negara Islam yang jauh seperti India dan negara-negara Islam yang berjiran dengan India. Mereka berusaha gigih untuk mencapai cita-cita mereka menghancur leburkan negara Islam yang gagah dan agung. Mereka merencana pelbagai agenda yang adakalanya diungkapkan sebagai “masalah timur” atau “agihan warisan orang sakit”.

Setiap negara Eropah mengambil kesempatan yang terbuka luas ini dan mengada-adakan pelbagai alasan yang tidak kukuh. Mereka menyerang negara yang sudah tidak bermaya ini. Hingga berjaya mengambil alih beberapa bahagian negara ini atau mengancam sebahagian
struktur negara ini.

Serangan ini berterusan dalam tempoh yang lama hingga mereka berjaya memisahkan kebanyakan negara-negara Islam daripada pengaruh kerajaan Othmaniah. Beberapa negara Islam seperti di Barat jauh (Maghribi) dan utara Eropah jatuh ke tangan kuasa Eropah. Dalam masa yang sama beberapa negara bukan Islam yang sebelum ini tunduk di bawah kuasa Othmaniah seperti Greek dan negara Balkan mula memisahkan diri.

Pusingan akhir dalam pertembungan ini ialah pada Perang Dunia I tahun 1914-1918 yang membawa kepada kekalahan Turki dan sekutunya. Kekalahan ini membuka peluang sepenuhnya untuk kuasa besar Eropah iaitu Britain dan Perancis selain Itali untuk menguasai bangsa-bangsa Islam yang kini hanya tinggal sebagai warisan agung.

Mereka memperkukuhkan kuasa mereka menggunakan pelbagai istilah seperti penjajahan, pemakmuran, perjanjian dan persefahaman. Mereka membahagibahagikan negara-negara Islam menurut pembahagian berikut:
1. Utara Afrika iaitu Maghribi, Algeria dan Tunisia menjadi jajahan Perancis.
Tangier diletakkan di bawah kuasa antarabangsa dan kawasan pedalaman di bawah jajahan Sepanyol.
2. Tripoli dan Barca dijajah oleh Itali yang sememangnya tidak mahu sebarang kesan peninggalan Islam kekal di sana. Itali mewajibkan setiap rakyat Tripoli mendapat kerakyatan Itali malah Tripoli dinamakan sebagai Itali Selatan. Pemerintahan Itali menyebabkan beribu-ribu keluarga dan rakyat kelaparan.
3. Mesir dan Sudan berada di bawah jajahan Inggeris serta kehilangan segala kuasa.
4. Palestin dijajah oleh Inggeris dan kemudian membenarkan pula bumi Palestin ini dijual kepada Yahudi untuk dijadikan sebuah negara Zionis.
5. Syria dijajah oleh Perancis.
6. Iraq dijajah oleh Inggeris.
7. Hijaz hanyalah sebuah kerajaan yang lemah dan tidak bermaya, hanya mengharapkan sedekah dan terpaksa bergantung kepada janji-janji manis dan perjanjian yang tidak sah.
8. Yaman, sebuah kerajaan yang terpinggir, rakyatnya miskin dan diancam oleh peperangan di segenap tempat dan pada bila-bila masa.
9. Kawasan-kawasan Semenanjung Tanah Arab yang lain hanyalah wilayahwilayah kecil di mana pemerintahnya hidup dengan hasil bantuan konsul Inggeris. Mereka hidup dengan hasil sisa-sisa makanan Inggeris dan hati mereka sentiasa membara dengan sifat hasad dengki. Dalam masa yang sama wujud perjanjian dan persefahaman erat yang telah dimeterainya antara sekutu-sekutu Eropah bersama pemerintah Semenanjung Tanah Arab, Raja al-Husin bahawa mereka akan membantu beliau untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Arab dan menyalurkan bantuan untuk ketuanan Khilafah Arab.
10. Iran dan Afghanistan pula merupakan kerajaan yang tidak stabil dan sentiasa dipengaruhi oleh pelbagai kepentingan. Adakalanya berpihak kepada umat Islam dan adakalanya berpihak kepada musuh Islam.
11. India dijajah oleh Inggeris.
12. Turkistan dan negara-negara di sekitarnya pula dijajah oleh Rusia. Negaranegara ini terpaksa menanggung keperitan angkara Bolshevik. Selain daripada itu, minoriti Islam yang berada di beberapa negara tidak mendapat tempat untuk berlindung ataupun bantuan mana-mana kerajaan yang dapat memelihara identiti mereka sebagai orang Islam. Inilah yang berlaku kepada umat Islam di Habsyah, China, Balkan, negara-negara Afrika Tengah, Afrika Tenggara dan Afrika Barat.

Dengan situasi yang sedia ada ini pertembungan politik ini kini berpihak kepada Eropah. Mereka berjaya merealisasikan impian mereka untuk menghancur leburkan empayar Islam dan melenyapkan sama sekali negara Islam. Dari sudut politik, mereka telah berjaya menyingkirkan negara Islam daripada senarai negara yang wujud dan agung.

Kembali berkuasa.

Pencabulan yang dilakukan secara terang-terangan atau berselindung di sebalik pelbagai perjanjian dan persefahaman ini mengguris luka di dada dan hati umat Islam. Lantas bangsa-bangsa Islam ini segera bangkit menuntut kemerdekaan dan berjuang untuk mengembalikan kemerdekaan serta maruah mereka.

Pelbagai pemberontakan tercetus untuk mencapai maksud ini. Turki memberontak. Mesir memberontak. Iraq dan Syria memberontak. Pemberontakan demi pemberontakan berlaku di Palestin dan kawasan pedalaman di Maghribi.

Kesedaran umat Islam semakin meluas di setiap tempat. Hasilnya bangsa-bangsa Islam ini berjaya memperolehi semula sebahagian hak mereka. Turki mula berpisah menurut sempadan barunya. Mesir dan Iraq kini merupakan dua negara berasingan.

Di Hijaz dan Najd muncul sebagai negara al-Saud. Yaman, Iran dan Afghanistan berusaha memelihara identiti mereka yang tersendiri. Syria kini hampir-hampir mencapai kemerdekaannya. Palestin menarik perhatian dunia melalui isu yang diperjuangkannya. Umat Islam mula mengorak langkah yang betul walaupun kecil dan perlahan tetapi tetap menuju ke arah matlamat yang suci. Ke arah mengembalikan semula kemerdekaan dan harga diri. Ke arah membina semula negara mereka.

Walaupun langkah-langkah ini menuju ke arah perkauman yang sempit di mana setiap bangsa menuntut hak mereka secara berasingan dan kebanyakan penggerak ke arah kebatilan ini secara sengaja mengabaikan gagasan penyatuan ummah namun seluruh langkah ini tidak syak lagi akan menuju ke arah penyatuan. Umat Islam akan kembali sebagai sebuah negara yang bersatu menggabungkan pelbagai bangsa di dunia Islam.

Sebuah negara yang akan mengibarkan semula panji Islam dan mendokong dakwah Islam. Tidak wujud di dunia ini satu ummah yang disatukan bersama satu bahasa, mempunyai kepentingan fizikal dan rohani yang sama serta berkongsi segala suka dan duka seperti umat Islam.

Perang baru

Negara-negara Eropah kini baru keluar daripada kancah perang dunia. Namun hasad dengki dan dendam kesumat masih wujud dalam hati mereka. Bagi sesetengah bangsa, segala persidangan dan perjanjian ini menjadi tamparan hebat buat mereka.

Bagi kebanyakan mereka pula semua ini hanya menghancurkan impian mereka. Malah muncul pelbagai ideologi dan fahaman fanatik yang baru. Keadaan ini pasti akan mencetuskan semula persengketaan dan peperangan sengit yang akan menghancur leburkan perpaduan mereka. Keadaan ini akan menyedarkan mereka untuk kembali ke jalan yang benar dan menolak kezaliman mereka sendiri.

Keadaan ini juga akan memberi peluang kepada bangsa-bangsa Islam menyusun semula barisan mereka, menggabungkan kekuatan mereka, mengembalikan sepenuhnya kemerdekaan mereka, mewujudkan semula negara mereka dan bersatu di bawah naungan seorang amirul mukminin.

Firman Allah yang bermaksud:
“Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya). (Al-Qasas: 5)

Petikan:
Himpunan Risalah – Imam Hassan Al Banna

No comments:

Post a Comment