Friday, May 13, 2011

Menjaga Kesolehan Hati


Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya pada diri anak Adam terdapat segumpal daging. Apabila segumpal daging ini baik, maka menjadi baik pula seluruh tubuhnya. Apabila ia rosak, maka menjadi rosak pula seluruh tubuhnya. Ketahuilah, sesungguhnya segumpal daging itu adalah hati.” (Muttafaqun ‘Alaih)


Hadis ini menegaskan bahawa bahagian tubuh yang paling penting ialah hati, bukannya rupa paras, warna kulit, ramping, sasa dan sebagainya. Hatilah yang menentukan baik atau buruk seluruh aspek kehidupan kita. Oleh kerana itu kita perlu mengenali hati, menjaga dengan baik dan memberi bekal dengan pelbagai ibadah hati yang menghidup dan menerangi cahayanya.


Kita wajib memelihara hati dari pelbagai maksiat dan dosa yang akan mengotori dan merosakkannya. Kerana apabila hati kita baik, maka akan menjadi baik pula seluruh tubuh kita. Apabila rosak hati maka rosak pula tubuh badan kita.


Keutamaan Hati Berbanding Bahagian Lain Tubuh Manusia


i. Hati adalah sasaran yang menghubungkan manusia dengan Allah.


Allah memperlakukan hati manusia sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Allah meneguhkan hati orang-orang yang beriman sehingga mereka bersabar. Firman Allah yang bermaksud: “Dan Kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri lalu mereka berkata,”Tuhan Kami adalah Tuhan langit dan bumi.“ (Al Kahfi ayat 14)


Allah telah memasukkan ketakutan dalam hati musuh-musuh Islam. Firman-Nya, “Dan Allah memasukkan ketakutan dalam hati mereka.” (Al Hasyr ayat 2)


ii. Hati Adalah Sasaran Taklif Diniyah


Hati adalah sandaran takli diniyah (bebanan tugas agama) Islam, iman, ihsan dan segala ibadah berbentuk batiniah yang mengiringinya. Oleh kerana itulah hati menjadi pusat perhatian Allah Ta’ala. Rasulullah bersabda: “Sesunggguhnya Allah tidak akan melihat tubuhmu dan tidak pula rupamu. Akan tetapi ia akan melihat hatimu.” (HR Muslim)


iii. Hati Memiliki Daya Tarikah Yang Kuat


Tarikan-tarikan hati adakalanya menyelamatkan manusia dan adakalanya membinasakannya. Kadang kala dalam hati seseorang ada tarikan yang mulia sehingga ia selamat. Ada kalanya terdapat tarikan yang merosakkan sehingga ia merugikan kehidupan dunia dan akhirat.


Sabda Rasulullah: “Seorang wanita dari Bani Israel masuk neraka kerana seekor kucing peliharaannya. Ia mengikatnya dan tidak memberinya makan, serta tidak melepaskannya sehingga dapat memakan serangga bumi. ” (HR Muslim)


Rahmah atau kasih sayang adalah salah satu tarikan yang mulia sehingga apabila tarikan kasih sayang ini ada dalam hati seseorang maka ia akan selamat.


Nabi S.A.W bersabda: “(Pada suatu hari yang panas terik) seorang wanita pelacur melihat seekor anjing mengelilingi sebuah perigi dengan menjelir-jelir lidahnya kerana kehausan, lalu wanita itu menggunakan kasutnya untuk mengisi air dan memberi anjing itu minum, lalu Allah kemudiannya mengampuni dosanya.” (HR Muslim)


iv. Hati adalah kunci kebaikan


Hati yang baik adalah pendorong kebaikan suatu masyarakat. Sebab kebaikan masyarakat ditentukan oleh kebaikan individu, dan kebaikan individu ditentukan oleh kebaikan hatinya sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. “Sesungguhnya di dalam jasad terdapat segumpal daging, jika ia baik, maka seluruh tubuh akan menjadi baik, dan jika ia rosak maka seluruh tubuh akan menjadi rosak. Ketahuilah bahawa ia adalah hati.” (HR Bukhari)


Kebaikan masyarakat melibatkan aspek rohani dan jasmani. Kebaikan jasmani ditentukan oleh kebaikan hati. Sebab jika seseorang itu baik, meninggalkan segala perkara buruk yang merosakkan tubuh badan seperti minum arak, merokok, menagih dadah, pelacuran dan semua tindakan yang membahayakan diri sendiri dan orang lain.


Jika tubuh badannya baik maka ia akan menjadi aset yang baik bagi kebaikan umat manusia, produktif dan membangunkan negara. Kebaikan rohani juga ditentukan oleh kebaikan hati. Sebab hati yang baik akan sentiasa mendorong seseorang untuk tetap konsisten dalam melaksanakan hak-hak Allah dengan sebaik-baiknya seperti solat, puasa, berjihad di jalan Allah serta berdakwah.


Jadi, kebaikan masyarakat, samada dalam aspek jasmani mahupun rohani sangat ditentukan oleh kebaikan hat setiap individu yang menjadi elemen masyarakat.


Rujukan: Fakhruddin Nursyam, Lc, Syarah Lengkap Arba’in Ruhiyah Refleksi 40 hadis Rasulullah saw, Bina Insani Press Solo, Solo, 2007.

No comments:

Post a Comment