Saturday, May 21, 2011

Pengorbanan

Sesungguhnya di dunia ini tidak ada jihad tanpa pengorbanan. Pengorbanan melibatkan jiwa raga, harta, masa dan segala sesuatu yang disayangi dalam rangka mencapai tujuan. Kita jangan merasakan bahawa segala pengorbanan di jalan Allah akan hilang begitu sahaja. Yakinilah bahawa setiap pengorbanan pasti akan mendapat ganjaran dan pahala yang besar.

Firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan balasan syurga….” (Surah At Taubah: 111)

“Katakanlah, ‘Jika bapa-bapa, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang disukai, lebih kamu cintai daripada Allah, Rasul-Nya, dan berjihad di jalan-Nya…" (Surah At Taubah: 24)

Para sahabat yang mendapat didikan daripada Rasulullah meyakini segala janji-janji Allah. Perkara ini boleh dilihat dalam tindakan mereka menyahut seruan untuk berkorban mengikut kemampuan masing-masing.

Ketika kaum muslimin berhijrah dari Makkah ke Madinah, mereka menghadapi masalah kesulitan mendapatkan bekalan air. Kaum Yahudi mengambil kesempatan di atas hijrah kaum muslimin dengan mengenakan bayaran ke atas pengguna air perigi yang dikuasai mereka.

Ketika kaum muhajirin berhijrah, mereka tidak membawa sebarang harta. Oleh itu air yang diperdagangkan oleh pihak Yahudi menambahkan kesulitan hidup mereka. Rasulullah sangat berharap ada sahabat yang membeli perigi berkenaan untuk kegunaan kaum muslimin.

Saidina Othman Bin Affan pergi ke rumah orang Yahudi yang memiliki perigi tersebut dengan tujuan untuk membeli separuh hak penguasaan ke atas perigi berkenaan. Selepas tawar menawar maka orang Yahudi itu bersetuju menjual dengan harga 12,000 dirham. Penggunaan perigi secara bergilir-gilir iaitu sehari untuk Othman dan keesokan harinya untuk Yahudi.

Pada masa giliran Saidina Othman, kaum muslimin mengambil air sebanyak mungkin. Hal ini dilakukan untuk memenuhi keperluan keesokan harinya yang menjadi hak Yahudi. Keadaan ini menyebabkan Yahudi menjadi rugi disebabkan tiada orang yang membeli air pada hari perigi dikuasai oleh Yahudi.

Akhirnya, orang Yahudi itu mengeluh kepada Saidina Othman. Ia menawarkan lagi separuh hak penggunaan perigi berkenaan dengan harga 8,000 dirham. Saidina Othman dengan hartanya sendiri telah membeli dan mensedekahkan kepada orang muslimin perigi berkenaan untuk mendapatkan ganjaran yang melimpah dan pahala yang besar.

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan balasan syurga….” (Surah At Taubah: 111)

Rujukan:

Parman Hanif M.Pd, Teladan Tarbiyah Dalam Bingkai Arkanul Bai’ah, Auliya Press Solo, Surakarta, 2006.

No comments:

Post a Comment