Sunday, August 02, 2009

SYIRIK DAN KESAN-KESANNYA (Siri 2)

Kesan-kesan Syirik

a) Penghinaan ke atas manusia

Syirik merupakan penghinaan terhadap kemuliaan manusia dan penurunan martabat serta kedudukannya. Sesungguhnya Allah Subhanahuwata’ala menjadikan manusia sebagai khalifah-Nya. Oleh itu manusia tidak perlu takut, tunduk atau menyembah sesama makhluk. Firman Allah Subhanahuwata’ala dalam Al-Quran:

Dengan ikhlas kepada Allah, tidak menyengutukan sesuatu dengan Dia, barangsiapa menyengutukan sesuatu dengan Allah, maka adalah ia seolah-olah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh.
(Al-Hajj:31)

b) Sarang tahayyul (dongengan)

Syirik adalah sarang tahayyul dan kebathilan kerana mempercayai dan meyakini sesuatu itu mempunyai kuasa serta pengaruh dalam kehidupan kita sebagai muslim. Apa yang lebih membimbangkan ialah apabila keyakinan kepada sesuatu yang dianggap boleh membuat perubahan melebihi keyakinan kepada Allah Subhanahuwata’ala.

c) Kezaliman yang besar

Syirik adalah perbuatan dosa yang besar dan merupakan suatu kezaliman ke atas diri sendiri dan kekuasaan Allah Subhanahuwata’ala. Kezaliman di sini bermaksud menafikan kebenaran yang di bawa oleh Islam di mana hanyasanya yang layak disembah ialah Allah Subhanahuwata’ala bukannya berhala dan sebagainya.

a) Sumber ketakutan

Syirik adalah sumber ketakutan dan kegelisahan. Apa yang berlaku dalam masyarakat kita terjadinya ketakutan kepada kubur, wali-wali, pokok besar, jin-jin dan kepada sesuatu yang lain. Ini semua adalah kepercayaan yang tidak berasas dan dilarang oleh Islam. Firman Allah Subhanahuwata’ala dalam surah Ali-Imran:

“Akan Kami masukkan ke dalam hati orang-orang kafir rasa takut disebabkan mereka menyengutukan Allah dengan sesuatu sedangkan Allah sendiri tidak menurunkan keterangan tentang itu. Tempat kembali mereka adalah neraka dan itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang-orang yang zalim. “


e) Melemahkan jiwa

Syirik mengajar penganutnya berserah diri dan bertawakkal kepada sesuatu yang lain daripada Allah Subhanahuwata’ala. Ini akan menyebabkan seseorang itu akan lemah pergantungannya kepada Allah Subhanahuwata’ala. Sedangkan segala sesuatu yang lain tidak mempunyai sebarang kuasa pun melainkan dengan izin Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

“Dan mereka sembah selain daripada Allah, sesuatu yang tidak dapat memudharatkan mereka dan tidak dapat memberikan manfaat kepada mereka. Tetapi mereka berkata, “Mereka itu penolong-penolong kami pada sisi Allah”. Katakanlah, “Apakah kamu mahu terangkan kepada Allah apa yang (kononnya) Dia tidak tahu (tentang) di langit-langit dan di bumi?”. Maha Suci Allah dan Dia Maha Tinggi daripada apa yang mereka sekutukan”.
(Yunus : 18).

f) Akibat yang buruk di Akhirat

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam mengingatkan kepada umatnya agar menjauhi perbuatan syirik kerana perbuatan tersebut balasannya adalah neraka. Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang bermaksud :

“Barangsiapa yang berjumpa dengan Allah (meninggal dunia) dalam keadaan syirik kepada Allah dengan sesuatu maka dia akan memasuki neraka “
(Riwayat Bukhari)

Penyelesaian bagi permasalahan syirik

Kesucian aqidah seseorang akan terpelihara jika beliau tidak melewati batas-batas yang telah digariskan oleh Al-Quran dan As-sunnah Nabi Sallallahu’alaihiwasallam. Untuk menghapuskan syirik hendaklah kita kembali kepada langkah-langkah sepertimana yang terdapat dalam surah Al-Ikhlas.

a) Mengesakan Allah Subhanahuwata’ala.

Firman Allah Sallallahu’alaihiwasallam dalam surah al-Ikhlas:
“Katakanlah Dialah Allah Yang Maha Esa”

Ini bermakna dasar pertama di dalam aqidah Islam ialah Allah Subhanahuwata’ala itu Esa.

b) Memohon, bergantung dan menuju hanya kepada Allah Subhanahuwata’ala

“Allah yang dituju (meminta hajat)”.

Hanya sanya kepada Allah kita memohon hajat atau pertolongan.

c) Meyakini Allah Subhanahuwata’ala tidak beranak, tidak berbapa dan tidak menyerupai sesuatu

“Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan. Tidak ada sesuatu pun yang menyerupaiNya”.

Ini bermaksud Allah Subhanahuwata’ala tidak beranak, tidak diperanakkan dan tidak serupa dengan manusia atau makhluk lain baik segi rupa paras, zat, sifat mahupun perbuatan.

Kesimpulan

Marilah kita sama-sama menjauhi amalan, perbuatan dan rasa hati yang boleh membawa syirik kepada Allah Subhanahuwata’ala. Allah Subhanahuwata’ala, Dialah Maha kuasa, Maha bijaksana serta Maha mengetahui segala-galanya.
Rujukan:Risalah At-Ta’rif Jilid 1

No comments:

Post a Comment