Sunday, August 02, 2009

TANDA-TANDA IKHLAS

1. Takutkan Kemasyhuran

Orang yang ikhlas takutkan kemasyhuran. Ini kerana kemasyhuran boleh membawa fitnah kepada diri dan dinnya. Lebih-lebih lagi jika beliau seorang yang berkebolehan. Beliau yakin bahawa Allah Subhanahuwata’ala menerima sesuatu amalan berdasarkan kebersihan jiwa, bukan semata-mata berdasarkan rupa bentuk zahirnya. Jika seseorang itu masyhur di merata pelusuk dunia sekali pun, sedangkan niatnya bercampur baur, maka kemasyhurannya itu tidak akan memberi apa-apa keuntungan hakiki kepada dirinya.

Ibrahim bin Adham berkata:

“Orang yang cintakan kemasyhuran tidak berlaku benar (siddiq) terhadap Allah.”

Fudahil bin ‘Iyyadh berkata:

“Jika kamu boleh membuatkan kamu tidak dikenali, maka lakukanlah. Apa salahnya jika kamu tidak dikenali? Apa salahnya jika kamu tidak dipuji? Apa salahnya jika kamu dikeji oleh manusia tetapi dipuji di sisi Allah?”

Kata-kata di atas bukan bermakna kita diseru supaya mengasingkan diri daripada masyarakat. Kita perlu faham dan sedar secara keseluruhan terhadap bahaya nafsu yang tersembunyi. Kita perlu berwaspada terhadap lubang dan pintu yang dapat dimasuki oleh syaitan ke dalam hati manusia dan merosakkan keikhlasannya.

Oleh sebab itu zuhud dalam masalah kedudukan, populariti, penampilan dan kemasyhuran lebih utama daripada zuhud dalam masalah harta, nafsu makan dan nafsu hubungan jantina.

Ibrahim bin Adham berkata:

“Allah tidak membenarkan orang yang suka populariti”

Bisyr Al-Hafy berkata,

“Tidak akan merasakan manis kehidupan akhirat orang yang suka terkenal di tengah-tengah manusia”

Kemasyhuran pada asalnya bukanlah suatu yang tercela. Tidak ada orang lebih masyhur daripada para nabi dan khulafak Ar-Rasyidin. Tetapi yang tercela ialah orang yang mencari-cari kemasyhuran, pangkat dan kedudukan.

Jika kemasyhuran itu diperolehi bukan kerana usaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya maka bukanlah menjadi kesalahan, walau pun ada keburukannya. Inilah yang dimaksudkan oleh Imam al-Ghazali:

“Ia (kemasyhuran) menjadi fitnah bagi orang lemah tetapi tidak kepada orang kuat”

2. Menuduh Diri Sendiri

Sentiasa menganggap dirinya cuai terhadap Allah Subhanahuwata’ala, lalai dalam melaksanakan ibadah, tidak dapat mengawal diri daripada dimasuki sifat megah dan kagum terhadap diri sendiri. Ia sentiasa takut jika dosanya tidak diampunkan oleh Allah Subhanahuwata’ala atau kebaikannya tidak diterima oleh-Nya.

Ada seorang yang soleh menangis bersungguh-sungguh sewaktu sakitnya. Lalu orang menziarahinya berkata: “Mengapa kamu menangis? Sedangkan kamu telah berpuasa, bersolah malam, berjihad, bersedekah, menunaikan haji dan umrah, mengajar dan berzikir?”. Beliau menjawab:: “Manalah aku tahu sama ada perkara tersebut termasuk dalam timbangan amalanku dan diterima di sisi Tuhanku? sedangkan Allah berfirman:

“Sesungguhnya Allah hanya menerima dari orang bertaqwa”
(Al-Maidah:27)

Orang mukhlis sentiasa takut jika riyak menyusup ke dalam hati tanpa disedari. Inilah disebut sebagai syahwah khafiyyah yang menyusup ke dalam diri orang yang berada di jalan Allah Subhanahuwata’ala tanpa disedari.

Ibnu Ata’illah mengingatkan:

“Kepentingan peribadi dalam kederhakaan amat jelas dan terang. Sedangkan kepentingan peribadi di dalam ketaatan adalah samar dan tersembunyi. Sedangkan menyembuhkan apa yang tidak nampak itu amat sukar. Boleh jadi ada riyak yang masuk ke dalam dirimu dan orang lain tidak melihatnya. Kebanggaanmu bila orang lain melihat kelebihanmu merupakan ketidak-ikhlasanmu dalam beribadah. Maka kosongkan pandangan orang lain terhadap dirimu. Cukup bagimu hanya pandangan Allah. Tidak perlu bagimu tampil di hadapan mereka agar engkau dilihat oleh mereka”

3. Beramal Secara Diam-diam

Orang mukhlis lebih suka melakukan kerja secara diam-diam daripada kerja disertai publisiti. Dia lebih suka menjadi sebahagian daripada organisasi seperti akar pokok yang menjadi tunjang bagi kehidupan tetapi tidak ternampak pada penglihatan dan tersembunyi di dalam tanah. Atau, seperti asas bagi bangunan. Tanpa asas, dinding tidak akan berdiri, atap tidak dapat dijadikan teduhan dan bangunan tidak dapat ditegakkan. Syauqi berkata dalam sya’irnya:

“Landasan yang tersembunyi
tidak terlihat mata kerana merendah

bangunan yang menjulang tinggi
di atasnya dibangun megah”

Mu’az bin Jabal meriwayatkan hadith daripada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, maksudnya:

“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang membuat kebaikan, bertaqwa dan menyembunyikan amalannya, iaitu jika tidak hadir mereka tidak dianggap hilang dan jika hadir mereka tidak diketahui. Hati mereka adalah pelita-pelita petunjuk. Mereka keluar dari setiap tempat yang gelap”

4. Tidak Memerlukan Pujian dan Tidak Tenggelam oleh Pujian.

Orang mukhlis tidak meminta pujian orang-orang yang suka memuji dan tidak bercita-cita mendapatkan pujian. Jika ada pihak yang memujinya, ia tidak tertipu tentang hakikat dirinya kerana ia lebih memahami akan rahsia diri dan hatinya.

Ibnu Ata’illah berkata:

“Orang-orang memujimu berasaskan sangkaan mereka tentang dirimu... Orang yang paling bodoh adalah yang meninggalkan keyakinannya tentang dirinya kerana adanya sangkaan orang lain terhadap dirinya”


Syaidina Ali Radhiallahu’anhu apabila dipuji, maka ia berdoa:

“Ya Allah, janganlah Engkau hukum aku kerana apa yang mereka katakan. Berikanlah kebaikan kepadaku dari apa yang mereka sangkakan dan ampunilah aku kerana apa yang mereka tidak ketahui”

5. Tidak Kedekut Memuji Terhadap Orang yang Memang Layak Dipuji

Orang mukhlis tidak kedekut memberi pujian kepada orang lain yang memang layak dipuji dan menyanjung orang yang memang layak disanjung. Dua perkara perlu diberi perhatian dalam perkara ini:

a. Jangan memberi pujian dan sanjungan kepada orang tidak berhak.
b. Jangan kedekut memberi pujian kepada orang berhak.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam memuji para sahabatnya. Baginda menyebut keutamaan dan kelebihan mereka. Antaranya:

Sabda baginda tentang Abu Bakar Radhiallahu‘anhu:

“Andaikata aku boleh mengambil seorang kekasih selain Rabku, nescaya aku mengambil Abu bakar sebagai kekasihku. Tetapi dia adalah saudara dan sahabatku”

Sabda baginda terhadap Umar Radhiallahu’anhu:

“Andaikata engkau melalui suatu jalan, tentu syaitan akan melalui jalan lain”

Sabda baginda tentang Uthman Radhiallahu’anhu:

“Sesungguhnya dia adalah orang yang para malaikat pun merasa malu terhadap dirinya”

Sabda baginda kepada Ali Radhiallahu’anhu:

“Di mataku, engkau seperti kedudukan Harun di mata Musa”

Sabda baginda tentang Khalid Radhiallahu’anhu:

“Dia adalah salah satu daripada pedang-pedang Allah”


6. Melaksanakan Sedaya Upaya Amanah Kepimpinan

Orang mukhlis melaksanakan amanah kepimpinan semampu mungkin. Dia juga tetap taat meski pun berada di barisan belakang kerana matlamatnya adalah keredhaan Allah Subhanahuwata’ala. Hatinya tidak terlalu ghairah untuk menjadi pemimpin, menguasai sesuatu kedudukan dan menduduki jabatan strategik dalam kepimpinan. Dia lebih mementingkan kemaslahatan bersama kerana dia bimbang jika ada kewajipan dan tuntutan kepimpinan tidak dapat dilaksanakan. Dia tidak bercita-cita dan tidak menuntut kedudukan untuk kepentingan dirinya sendiri. Tetapi jika ia dibebankan tugas sebagai pemimpin, dia melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh dan memohon pertolongan kepada Allah Subhanahuwata’ala agar terselamat daripada fitnah.

Allah Subhanahuwata’ala meredhai Khalid bin Al-Walid Radhiallahu’anhu ketika mana dilucutkan jawatan sebagai komandan pasukan tentera, sedangkan beliau seorang komandan yang sentiasa mendapat kemenangan. Beliau bersedia menjadi tentera biasa di bawah Abu Ubaidah tanpa merasa rendah diri. Beliau tetap ikhlas memberi sumbangan secara maksimum.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam memperingatkan tentang orang yang melobi untuk mendapat jawatan. Sabda baginda kepada Abdurrahman bin Samurah:

“Janganlah engkau meminta jawatan pemimpin. Kerana jika engkau memperolehi jawatan itu tanpa meminta, engkau akan mendapat sokongan, dan jika engkau memintanya, maka semua tanggungjawab akan dibebankan kepadamu”
(Muttafaq Alaihi)

7. Mencari Keredhaan Allah Subhanahuwata’ala, Bukan Keredhaan Manusia

Orang mukhlis tidak mempedulikan keredhaan manusia jika membawa kepada kemurkaan Allah Subhanahuwata’ala. Memburu redha manusia tidak ada kesudahannya kerana setiap orang mempunyai sikap, rasa, pemikiran, kecenderungan, tujuan dan jalan hidup yang berbeza-beza.

8. Redha dan Marah Kerana Allah Subhanahuwata’ala

Orang mukhlis tidak seperti orang munafik yang dicela oleh Allah Subhanahuwata’ala. Firman-Nya:

“Dan, di antara mereka ada orang yang mencelamu tentang (pembahagian) zakat. Jika mereka diberi sebahagian daripadanya, mereka bersenang hati, dan jika mereka tidak diberi sebahagian daripadanya, dengan serta merta mereka menjadi marah”
(At-Taubah:58)

Ikhlas untuk mencapai tujuan menuntut kepada kecekalan dalam kerja, sekalipun orang lain menyalahkan, meremehkan dan bertindak melampaui batas terhadapnya. Ini kerana ia melakukan kerja kerana Allah Subhanahuwata’ala, bukan atas nama kepentingan peribadi atau kepentingan tertentu.

9. Sabar Di Sepanjang Jalan Hidup

Perjalanan hidup yang panjang, lambatnya hasil yang ingin diperolehi, kejayaan yang tertunda, kesulitan bergaul dengan manusia yang pelbagai tahap pemikiran, perasaan dan kecenderungan, tidak sepatutnya menjadikan orang mukhlis malas, bersikap leka, mengundur diri atau berhenti di pertengahan jalan. Sebabnya, kerja-kerja bagi orang mukhlis bukan sekadar untuk mencapai kejayaan di mata kasar tetapi yang paling pokok ialah untuk mematuhi Allah Subhanahuwata’ala dan meraih keredhaan-Nya.

Nabi Nuh ‘Alaihissalam mengambil masa 950 tahun mengajak manusia ke jalan Allah Subhanahuwata’ala, namun hanya 40 orang sahaja yang menyahut seruannya.

Al-Quran menceritakan kepada kita individu-individu mukmin di dalam surah al-Buruj. Mereka rela berkorban demi menegakkan kebenaran. Mereka sabar sekali pun dipanggang di atas api. Mereka mempunyai keteguhan hati dan tinggi pengorbanan. Kejayaan, pada hakikatnya, di Tangan Allah.

Prinsipnya, orang mukhlis hanya menuju Allah Subhanahuwata’ala semata-mata. Dia cekal dan terus menerus istiqamah. Segala hasil kerja di dunia diserahkan kepada Allah Subhanahuwata’ala. Allah-lah yang menentukan segala hasil. Manusia hanya sekadar berusaha semaksimum mungkin. Kalau ia berjaya di dunia, maka segala puji hanya bagi Allah Subhanahuwata’ala. Kalau ia gagal di dunia, maka segala daya dan kekuatan hanya milik Allah Subhanahuwata’ala.

10. Merasa Senang Jika Ada Orang Bergabung

Orang mukhlis merasa senang jika seseorang yang mempunyai kemampuan bergabung ke dalam organisasinya. Ia memberi kesempatan kepada pendatang baru sehinggalah pendatang baru itu mengambil tempat yang sesuai dengan kedudukan dan kemampuannya. Ia tidak boleh merasa terganggu, dengki atau gelisah dengan kehadiran orang baru. Malah orang mukhlis melihat jika ada orang lain yang lebih baik daripadanya mahu memikul tanggungjawabnya, maka dengan senang hati ia akan mengundur, memberi tanggungjawab kepada orang itu dan merasa senang hati untuk menyerahkan jawatan kepadanya.

Sebahagian orang yang tidak benar-benar ikhlas, apabila memegang jawatan dan berada di barisan depan, tidak mahu menyerahkan jawatannya, bahkan bermati-matian mempertahankan kedudukannya dan tidak mahu berundur. Kadang-kadang orang seperti ini membuat pelbagai strategi untuk menyusahkan orang baru yang lebih layak daripada mengambil jawatannya.

11. Menghindari ‘ujub

Antara perosak amalan ialah ‘ujub, iaitu merasa bangga diri terhadap kerja yang dilakukan. Orang yang ‘ujub akan buta mata daripada melihat kekurangan-kekurangan dalam mutu kerjanya. Orang mukhlis sentiasa bersikap waspada terhadap kerja dan bimbang jika berlaku kecuaian sama ada disedari atau tidak disedari. Dia takut jika kerjanya tidak diterima Allah Subhanahuwata’ala.

“Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) daripada orang-orang bertaqwa”
(Al-Maidah:27)

Ali bin Abu Talib berkata:

“Satu keburukan yang menyesakkan hatimu lebih baik daripada kebaikan yang membuatmu ‘ujub.”

Ibnu Ata’illah berkata:

“Boleh jadi Allah membuka pintu ketaatan bagimu, tetapi tidak membuka pintu penerimaan kerjamu. Boleh jadi Allah mentakdirkan kederhakaan atas dirimu, lalu kederhakaan itu menjadi sebab kepada kesedaran dan petunjuk. Kederhakaan yang membuahkan ketundukan dan kepasrahan lebih baik daripada ketaatan yang melahirkan ‘ujub dan kesombongan.”

Al-Quran mengingatkan kita agar tidak mengiringi sedekah dengan menyebut-nyebut ucapan yang menyakitkan hati sipenerima, kerana dikhuatiri menggugurkan pahala dan menghilangkan pengaruhnya. Allah Subhanahuwata’ala berfirman:

“Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik daripada sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun. Hai orang-orang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekah kamu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan penerima) seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riyak kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan Hari Kemudian.”
(Al-Baqarah:263-264)

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menjelaskan di dalam hadith riwayat Ibnu Umar, maksudnya:

“Tiga perkara yang merusakkan iaitu kedekut yang dita’ati, hawa nafsu yang diikuti dan ‘ujub terhadap diri sendiri”
(HR At-Tabrani)

Al-Quran menceritakan kekalahan pasukan tentera Islam dalam Peperangan Hunain adalah akibat daripada mereka merasa ‘ujub dengan jumlah yang banyak. Ternyata dengan jumlah yang banyak itu tidak memberi apa-apa manfa’at sehinggalah mereka pasrah kepada Allah Subhanahuwata’ala dan menyedari bahawa kemenangan hanya datang daripada Allah Subhanahuwata’ala.

Keikhlasan tidak akan dimiliki oleh seseorang kecuali ia bebas daripada ‘ujub terhadap diri sendiri. ‘Ujub timbul dalam diri seseorang kerana:

a. Kebaikan yang telah dilakukannya.
b. Menganggap bahawa hanya dialah yang beruntung sedangkan orang lain rugi.
c. Merasakan hanya organisasinya sahaja yang layak disebut ‘golongan selamat’ sedangkan semua orang lain rosak.
d. Merasakan organisasinya sahaja yang layak mendapat pertolongan sedangkan yang lain dibiarkan oleh Allah Subhanahuwata’ala

Dalam sebuah hadis sahih disebutkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, yang bermaksud:

“Jika seseorang berkata: ‘Manusia telah rosak’ maka dialah yang lebih rosak daripada mereka itu”
(HR Muslim)

Imam Nawawi menjelaskan hadith di atas seperti berikut:

“Larangan ini ditujukan kepada orang yang berkata seperti itu, kerana ‘ujub terhadap diri sendiri, mengecilkan orang lain dan merasakan dirinya lebih unggul daripada mereka. Ini adalah perbuatan yang diharamkan. Tetapi jika perkataan itu disampaikan kerana memang ada kekurangan dalam amalan Islam mereka atau kerana rasa prihatin terhadap situasi mereka dan juga situasi Islam mereka, maka hal ini tidak apa-apa”.

12. Terus Menerus Menjalani Proses Pembersihan Diri

Al-Quran memberi peringatan mengenai pembersihan diri daripada pujian dan sanjungan ke atas diri sendiri. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

“Dia lebih mengetahui tentang (keadaan) kamu ketika Dia menjadikan kamu dari tanah dan ketika kamu masih berupa janin dalam perut ibu kamu. Maka janganlah kamu mengatakan kamu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertaqwa”
(An-Najm:32)

Allah Subhanahuwata’ala mencela orang-orang yahudi dan nasrani yang menganggap diri mereka suci. FirmanNya:

“Apakah kamu tidak memerhatikan orang yang menganggap dirinya bersih? Sebenarnya Allah membersihkan siapa yang dikehendakiNya dan mereka tidak dianiaya sedikit pun”
(An-Nisa’:49)

Mempamerkan amalan baik hanya dibolehkan dalam keadaan-keadaan seperti berikut:

a. Menyebut-nyebut nikmat yang diberikan oleh Allah Subhanahuwata’ala dalam rangka beryukur kepada-Nya. FirmanNya:

“Dan terhadap nikmat Rabmu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebutnya (dengan bersyukur)
(Ad-Dhuha:11)

b. Mendorong orang lain supaya mengikutinya. Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, yang bermaksud:

“Barangsiapa membuat sunnah yang baik, maka dia mendapat pahala sunnah dan pahala orang yang mengerjakannya”
(HR Muslim)

c. Membela diri kerana ada tuduhan yang dilemparkan kepadanya, pada hal dia tidak ada sangkut paut dengan tuduhan tersebut, atau mungkin ada sebab-sebab lain yang diharuskan oleh syara’.
Rujukan: Kertas kerja Muhammad Ghani Salleh bertajuk IKHLAS, (dengan merujuk kepada: Kitab Dr Yusuf Al-Qaradhawy, Niat dan Ikhlas, Pustaka Al-Kautsar, Jakarta (1999)).

No comments:

Post a Comment