Sunday, August 02, 2009

PROSES PEMBINAAN IKHLAS (Siri 1)

PROSES PEMBINAAN IKHLAS

Terdapat beberapa langkah yang sangat penting untuk melahirkan keikhlasan kepada Allah Subhanahuwata’ala, antaranya ialah:

1. Menumpukan perhatian hanya kepada penilaian Allah Subhanahuwata’ala, bukan penilaian atau pandangan makhluk. Al-Fudhail bin Iyadh berkata:

‘Amal yang dikerjakan kerana manusia adalah syirik, meninggalkan amal kerana manusia adalah riyak, sedangkan ikhlas adalah jika engkau bebas daripada kedua-duanya’

2. Menyamakan yang zahir dengan yang batin. Menyamakan yang tersembunyi dengan yang terang-terangan. Tidak boleh berlaku amalan zahirnya cantik tetapi batinnya buruk. Sari As-Saqti berkata:

‘Barangsiapa berhias di mata manusia dengan sesuatu yang tidak selayaknya, maka dia menjadi hina di mata Allah’

3. Menganggap sama antara pujian dan celaan manusia. Engkau tidak akan terlepas daripada celaan manusia ketika mana engkau terpuji di sisi Allah Subhanahuwata’ala. Begitulah sebaliknya.

4. Tidak boleh merasakan diri sudah cukup ikhlas sehingga menyebabkan timbul ta’jub kepada diri sendiri yang boleh merosakkan keikhlasan. Oleh itu seseorang itu tidak boleh merasakan ikhlasnya sudah mencukupi. Abu Ayyub As-Susi berkata:

“Selagi mereka melihat ikhlasnya sudah cukup, bererti ikhlas mereka itu masih memerlukan ikhlas lagi.”


Abu Bakar Ad-Daqqaq berkata:

“Kekurangan orang mukhlis, kerana ia melihat ikhlasnya. Jika ia menghendaki agar Allah memurnikan ikhlasnya, maka dia mesti melihat ikhlasnya masih memerlukan ikhlas lagi, sehingga dia menjadi orang yang perlu menambah ikhlasnya....”

5. Tidak menghitung-hitung pahala amal yang dilakukan. Orang mukhlis tidak merasa aman terhadap amalnya. Ia bimbang kalau-kalau amalnya tidak diterima oleh Allah Subhanahuwata’ala.

6. Orang mukhlis melihat amal yang dilakukannya itu adalah dengan taufik daripada Allah Subhanahuwata’ala. Ia melihat pahala merupakan kebaikan daripada Allah ke atas dirinya, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:

“Sekali-kali amal salah seorang daripada kamu tidak akan mampu memasukkannya ke dalam syurga.” Mereka (para sahabat) bertanya, “Begitu juga amalan kamu wahai Rasulullah?”. Jawab baginda, “Ya begitu juga aku, kecuali Allah melimpahkan rahmat-Nya kepadaku”
(Muttafaq Alaih)

7. Merasa takut menyelinap riyak dan hawa nafsu ke dalam jiwa tanpa disedarinya. Sebab syaitan mengikuti saluran darah untuk masuk ke dalam jiwa. Jika seorang mukmin melakukan kederhakaan secara zahirnya, sudah tentu ia mempunyai kederhakaan batinnya. Dengan cara ini syaitan menjadikan amalan seseorang itu sia-sia.

Sahl berkata:

“Tidak ada yang mengetahui riyak kecuali orang mukhlis. Kerana ketakutan kepada riyak itu, maka dia selalu berwaspada dan berhati-hati, mengetahui selok beloknya, tidak berdusta terhadap diri sendiri dan tidak menghias amalannya yang buruk agar kelihatan baik.”

Tidak hairanlah jika orang-orang yang benar-benar ikhlas itu sedikit bilangannya. Sahl juga berkata:

“Yang pandai mengucapkan La ilaha illallah banyak, tetapi orang yang mukhlis di antara mereka adalah sedikit.”

Rujukan:
Kertas kerja Muhammad Ghani Salleh bertajuk IKHLAS, (dengan merujuk kepada: Kitab Dr Yusuf Al-Qaradhawy, Niat dan Ikhlas, Pustaka Al-Kautsar, Jakarta (1999)

No comments:

Post a Comment