Monday, August 03, 2009

AMAL SOLEH (Siri 2)

MENGANUT ISLAM SEBAGAI SYARAT PENERIMAAN AMAL

Amalan yang diredhai Allah Subhanahuwata’ala, seperti yang diterangkan di atas, disyaratkan orang yang beramal itu adalah orang yang beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala. Kerana itulah Allah Subhanahuwata’ala selalu menghubungkan amal soleh dengan iman.

Syarat penerimaan sesuatu amalan hendaklah orang yang melakukannya menganut din Islam, iaitu din yang dibawa oleh Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam

Allah Subhanahuwata’ala berfirman:
“Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.”
(Ali-Imran: 85)

Berdasarkan ayat di atas, dapat difahami bahawa jika seseorang itu beramal dengan amalan yang sesuai dengan ajaran Islam, dari segi bentuknya dan juga zahirnya telah sempurna menurut ajaran Islam, serta niat dalam melakukannya adalah untuk mencari keredhaan Allah Subhanahuwata’ala, akan tetapi jika pelakunya tidak menganut Islam dan tidak mempercayai Muhammad sebagai Rasul dan Nabi, maka amalan yang dilakukannya itu tidak akan diterima dan tidak akan mendapat pahala.

ISLAM SANGAT MELARANG BID’AH

Amalan soleh adalah amalan yang sesuai dengan ketentuan syari’at Islam dan dilakukan untuk mendapatkan keredhaan Allah Subhanahuwata’ala.

Perbuatan bid’ah di dalam agama, baik dengan menambah atau mengurangi ajarannya adalah dilarang. Orang-orang yang melakukan bid’ah tidak diberikan pahala meskipun dengan niat untuk beribadah kepada Allah Subhanahuwata’ala. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

من أحدث في أمرنا هذا ما ليس منه فهورد

Maksudnya: “Barangsiapa mengadakan suatu amalan baru dalam urusan kami ini, yang tidak ada darinya (ajaran Islam), maka ia ( amalan itu) tertolak.

Bid’ah bermakna merubah ajaran Islam dan ketentuan-ketentuan syari’at Islam dengan perkiraan ia kurang lengkap atau masih memerlukan tambahan untuk menyempurnakannya. Bid’ah termasuk perbuatan ma’siat.

Amalan bid’ah tidak boleh dilakukan dan akan mendatangkan dosa yang besar. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam memperingatkan:

ايا كم ومحدثات الامور فان كل محدثة بدعة وكل بدعة في النار

Maksudnya: “Jauhilah oleh kamu akan menambah-nambah perkara agama, kerana setiap penambahan (dalam agama) adalah bid’ah dan setiap bid’ah akan masuk ke dalam neraka.”

Oleh itu, sebaik-baik amalan adalah amalan yang sesuai bentuknya dengan perintah syari’at Islam dan mengikut ketentuan Islam sepenuhnya.

Rujukan:Risalah at-Ta’rif jilid 1

No comments:

Post a Comment