Monday, August 03, 2009

ZIKRULLAH (Siri 1)

BERZIKIRLAH KEPADA ALLAH SENTIASA

Zikrullah adalah siraman bagi pokok iman

Kita berdo’a kepada Allah Subhanahuwata’ala semoga kita terus diberikan hidayah oleh-Nya dan istiqamah di atas jalan-Nya agar kita dapat terus mentauhidkan-Nya, beriman dan berubudiyah hanyasanya kepada-Nya.

Hendaklah kita menyedari bahawa aqidah tauhid yang betul akan menghasilkan buah-buah (natijah-natijah) yang baik,. Ia ibarat pokok-pokok yang baik ( طيبة ), maka sudah tentu akan mengeluarkan buah-buah yang baik.

Perhatikanlah Firman Allah Subhanahuwata’ala di dalam Surah Ibrahim ayat 24 – 25:

Tidakkah engkau lihat bagaimana Allah membuat perumpamaan perkataan (kalimah) yang baik (طيبة) adalah seperti pohon yang baik, akarnya teguh (di bumi) dan cabang-cabangnya menjulang tinggi ke langit. Mendatangkan hasilnya (buah-buahnya) sepanjang masa dengan izin Rabnya dan Allah membuat perumpamaan ini untuk manusia semoga mereka mengerti (mengambil peringatan)

Menurut penjelasan al Ustaz Said Hawwa di dalam kitabnya غِذَآءُالعُبُودِيَّة bahawa pokok yang baik setelah disirami selalu, mengeluarkan hasil (buah-buah) yang baik dan berkualiti tinggi. Dan, siraman utama kepada pokok iman itu ialah dengan zikrullah [ذكر الله ( الأذكار )]. Kerana zikrullah itu memberi kehidupan dalam ertikata sebenarnya kepada orang-orang yang beriman sepertimana ungkapan al-Ustaz Said Hawwa: الذِكْرُ هُوَ الحَيَاةُ.

Beliau membawa suatu hadith yang dikeluarkan oleh al-Imam al-Bukhari bahawa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

مَثَلُ الَّذِى يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذِى لاَ يَذُ كُرُ رَبَّهُ كَمَثَلِ اْلحَىِّ وَالمَيِّت

Bandingan orang yang sentiasa zikrullah dengan orang yang tidak ada zikrullah adalah seperti orang yang hidup dengan orang yang mati.

Pelbagai bentuk zikrullah

Zikrullah itu terdiri daripada berbagai bentuk dan cara. Semuanya diibaratkan air siraman bagi pohon (pokok) iman. Sesiapa yang banyak zikrullah maka bererti ia mendapat habuan yang baik daripada kehidupan ini dan sebaliknya sesiapa yang tidak zikrullah maka bererti ia kehilangan banyak habuan daripada kehidupan.

Solah adalah bentuk zikir yang utama. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

Dan dirikanlah solah untuk zikir (ingat) kepada-Ku (Allah Subhanahuwata’ala)
(Surah Taha ayat 14)

Solah itu juga merupakan bentuk zikrullah yang tertinggi yang memperlihatkan darjat ketundukan dan kepatuhan yang tinggi kepada Allah Subhanahuwata’ala dan membawa implikasi yang amat baik. Solah membentuk kehidupan yang baik lagi suci. Berdasarkan firman Allah dalam ayat 45 Surah al Ankabuut:

Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu Al Kitab (Al Quran) dan dirikanlah solah. Sesungguhnya solah itu mencegah daripada (perbuatan- perbuatan) keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah (solah) adalah lebih besar (keutamaannya daripada ibadat-ibadat yang lain), dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Seterusnya tilawah al-Quran adalah zikrullah, do’a-do’a yang dipohon kepada Allah Subhanahuwata’ala adalah zikrullah dan wirid-wirid (الأوراد) yang dibaca setiap masa - pagi dan petang adalah zikrullah. Melaksanakan segala perintah Allah Subhanahuwata’ala dan meninggalkan segala larangan-Nya adalah termasuk dalam zikrullah jua (الذِكُِربالجَوَارِح). Semua zikir ini dikira makanan atau siraman yang menyuburkan tauhid atau iman kepada Allah Subhanahuwata’ala (غذاءالتوحيد).

Telitilah apabila kalimah tauhid لا إله إلا الله yang diulang-ulangkan, maka akan menjadi wasilah bagi memperbaharui tauhid dan Iman seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam di dalam hadithnya:

أو كما قال : جَدِّدُوا إيمَا نَكُمْ قِيْل : وَكَيْفَ نُجَدِّدُ إِيمَانِنَا يَا رَسُولَ الله ؟
قَالَ : اُكْثِرُوا مِن قَوْلِ لآ إله إِلاَّ الله

Hendaklah kamu memperbaharui keimanan kamu. Rasulullah ditanya: Bagaimana kami hendak memperbaharui iman kami Ya Rasulullah?. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda: Hendaklah kamu banyak menyebut لآ إله إِلاَّ الله. (Maksudnya tiada ilah (معبود ) yang berhak diperhambakan diri melainkan kepada Allah Subhanahuwata’ala).

Apabila kita bertasbih سبحان الله bererti kita mengenali Allah Subhanahuwata’ala, mentauhidkan-Nya dan mensucikannya daripada segala sifat yang tidak layak dengan keagungan-Nya.

Apabila kita menyebut الحمد لله maka itu adalah suatu pengiktirafan kita terhadap segala ni’mat yang kita perolehi, semuanya daripada Allah Subhanahuwata’ala dan kita bersyukur ke hadhrat-Nya.

Seterusnya apabila kita menyebut اللهُ اكبر maka ini adalah ta’zim kita hanya sanya kepada Allah Subhanahuwata’ala. Kita mengagungkan Allah Subhanahuwata’ala dalam semua perkara. Tidak ada yang lebih agung daripada-Nya. Bagi orang mukmin tiada yang lebih tinggi melainkan Allah Subhanahuwata’ala dan apa yang ditentukan-Nya (hukum-hakam-Nya).

Rujukan:Khutbah Ustaz Omar Haji Salleh (9 Syaaban 1425H, 24 September 2004)

No comments:

Post a Comment