Monday, August 03, 2009

BERSYUKUR KEPADA ALLAH

Ni’mat Allah yang banyak

Marilah kita terus bersyukur ke hadrat Allah Subhanahuwata’ala kerana kita terpilih menjadi orang-orang yang beriman di tengah-tengah majoriti masyara’at dunia yang tidak beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala.

الحمد لله الذى هدانا لهذا وما كنا لنهتدي لولا أن هدانا الله

Puji-pujian dirafa’kan kepada Allah Subhanahuwata’ala yang telah memberi hidayah kepada kita ke jalan ini (jalan iman atau jalan Islam).

Sebenarnya kita tidak akan mendapat hidayah itu sekiranya tidak dikurniakan oleh Allah Subhanahuwata’ala.

Hakikatnya, ni’mat Allah Subhanahuwata’ala ke atas kita tidak terhitung banyaknya. Allah Subhanahuwata’ala telah tegaskan di dalam al-Quran ayat 34 Surah Ibrahim:

“Jika kamu menghitung ni’mat Allah, nescaya kamu tidak dapat (tidak mampu) menghitungnya. “

Oleh itu wajarlah kita sentiasa bersyukur ke hadrat Allah Subhanahuwata’ala. Ustaz Muhammad Syadid di dalam kitabnya: منهج القرءان في التربية menjelaskan bahawa kepekaan yang berterusan terhadap ni’mat-ni’mat Allah dan kurniaan-Nya, akan menyuburkan lagi rasa cinta kepada Allah Subhanahuwata’ala dan mengangkat jiwa kepada maqam (martabat) syukur.

Bersyukur kepada Allah atas segala ni’matNya tidak hanya sekadar dengan ucapan lisan ‘Alhamdulillah’ (الحمد لله), bahkan bersyukur dalam bentuk amali dan praktikallah yang membuktikan seseorang itu bersyukur ke hadrat Allah Subhanahuwata’ala.

Ni’mat Allah Subhanahuwata’ala sangat banyak:

1) Pancaindera dan anggota tubuh badan adalah ni’mat Allah Subhanahuwata’ala. Apabila digunakan dan dimanafaatkan pancaindera dan anggota-anggota badan itu pada perkara-perkara, kerja-kerja dan aktiviti-aktiviti yang diredhai oleh Allah Subhanahuwata’ala maka seseorang itu dikira telah bersyukur kepada Allah Subhanahuwata’ala.

2) Aqal yang baik lagi waras adalah ni’mat Allah Subhanahuwata’ala. Apabila aqal itu digunakan dan dimanafaatkan untuk memahami kitab Allah dan din Allah (دين الله), juga berfikir terhadap ni’mat dan kejadian-kejadian ciptaan Allah Subhanahuwata’ala, maka ia termasuk di dalam ertikata bersyukur ke hadrat Allah Subhanahuwata’ala.

3) Hartabenda dan wang ringgit adalah ni’mat Allah Subhanahuwata’ala. Apabila hartabenda itu diinfaqkan dan dibelanjakan pada Jalan Allah ( فى سبيل الله ) atau di dalam batas-batas syara’ atau pada perkara-perkara yang dihalalkan oleh syara’ maka ia juga dinamakan bersyukur ke hadrat Allah Subhanahuwata’ala.

4) Ilmu pengetahuan, kemahiran dan kepakaran adalah ni’mat Allah Subhanahuwata’ala. Apabila dimanafaatkan untuk kebaikan diri dan disebarkan, dikembangkan dan disampaikan untuk kebaikan ummah, maka ia juga dikira bersyukur ke hadrat Allah Subhanahuwata’ala.

Ni’mat yang paling besar

Sesungguhnya ni’mat Allah itu amat banyak dan tidak termampu kita menghitungnya satu persatu.

Namun, sewajarnya kita menyedari bahawa ni’mat Allah yang paling besar ialah ni’mat iman, ni’mat Islam (نعمة إيمان – نعمة إسلام). Atau dengan kata lain: ni’mat kita mendapat Hidayah Allah Subhanahuwata’ala. Maka tanda kesyukuran kita kepada Allah Subhanahuwata’ala yang telah mengurniakan ni’mat agung itu, hendaklah kita benar-benar beriman dan menerima din Islam seluruhnya tanpa sebarang penolakan.

Firman Allah Subhanahuwata’ala dalam ayat 208 Surah al Baqarah :

Wahai orang-orang yang beriman masuklah (anutlah) Islam seluruhnya dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata (musuh ketat terhadap manusia). “

Islam: din yang sempurna dan selamat

Islam adalah din Allah Subhanahuwata’ala yang sempurna meliputi peraturan-peraturan, aqidah, ibadah, akhlaq dan apa jua yang menyentuh kehidupan manusia dan alam seluruhnya. Ini kerana Islam diturunkan oleh Allah Subhanahuwata’ala untuk manusia dan alam seluruhnya. Allah Maha Mengetahui apakah jalan hidup yang baik dan selamat untuk makhluk-Nya di dunia dan akhirat nanti. Oleh itu kita sewajibnya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahuwata’ala kerana kita terpilih untuk beriman dan menerima din Allah, yakni din Islam yang dibawa oleh para rasul dan rasul yang terakhir ialah Rasulullah Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam, dimana Islam itu disempurnakan pada zaman kerasulan Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam berdasarkan kepada ayat 3 Surah al Maaidah :

Pada hari ini (hari diturunkan ayat ini, di ‘arafah pada masa Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam mengerjakan hajjatul wida’ (حجة الوداع) tahun 10 Hijrah ). Aku telah sempurnakan bagi kamu din kamu dan Aku telah sempurnakan atas kamu ni’mat-Ku dan Aku redhalah Islam itu sebagai din kamu “

Penentu kebenaran

Walaupun Islam itu din Allah dan diberi jaminan selamat dunia dan akhirat oleh Allah Subhanahuwata’ala kepada sesiapa yang benar-benar menganutnya, tetapi majoriti manusia dan umat di dunia ini tidak menerimanya, bahkan menentangnya. Dan telah ternyata buktinya di dalam sejarah bahawa kebanyakan manusia menentang dan menolak ajaran Allah Subhanahuwata’ala yang telah dibawa oleh para Rasul sehingga ada sebilangan nabi dan rasul yang dibunuh seperti Nabi Zakaria ‘Alaihissalam dan Nabi Yahya ‘Alaihissalam. Mereka dibunuh oleh orang-orang Yahudi,

Bahkan, Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam sendiri sudah dikepung di rumah baginda oleh masyara’at Arab Quraisy untuk membunuh baginda. Namun ia tidak diizinkan oleh Allah Subhanahuwata’ala, yang mana akhirnya berlakulah peristiwa Hijrah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dari Makkah ke Kota Madinah (Yathrib) seperti yang terakam di dalam sirah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.

Satu persoalan, apakah penentu kebenaran itu berdasarkan bilangan sokongan? (ramai orang menyokong atau tidak ada orang menyokong?). Sebenarnya penentuan kebenaran (الحق) bukanlah ditentukan oleh manusia tetapi ditentukan oleh Allah Subhanahuwata’ala berdasarkan ayat 147 Surah al Baqarah:

Kebenaran itu datangnya daripada Allah (Pencipta, Pemilik, Penjaga kamu ), maka janganlah sekali-kali kamu termasuk di dalam golongan orang-orang yang ragu.

Juga didasarkan kepada Qaedah Syara’ :

الحسن ما حسنه الشرع والقبيح ما قبحه الشرع

Perkara yang baik ialah apa yang dihukum baik oleh syara’ (oleh Allah) dan perkara yang buruk ialah apa yang dihukum buruk oleh syara’ (oleh Allah).

Oleh itu apabila terdapat percanggahan antara apa-apa yang ditetapkan oleh syara’ (oleh Allah) dengan penilaian manusia yang mengikut hawanafsu, maka mestilah diambil pakai apa-apa yang ditentukan/dihukumkan oleh syara’. Barulah tepat dengan pengakuan-pengakuan kita: kita hamba Allah, kita penganut Islam, kita orang yang beriman, Kita ahlussunnah wal jama’ah (أهل السنة والجماعة), kita generasi rabani dan lain-lain pengakuan yang bersifat Islam.

Marilah sama-sama kita bina keyakinan diri kita yang tidak berbelah bahagi kepada din Allah (din Islam) dan marilah sama-sama kita berusaha dengan penuh rasa taqwa dan bertanggungjawab kepada Allah Subhanahuwata’ala bagi meletakkan kembali Islam dalam kehidupan masyara’at, setelah ia terabai atau diabaikan oleh majoriti manusia.

Semoga kita – dengan izin Allah Subhanahuwata’ala – dapat berkongsi pahala dan ganjaran baik di sisi Allah Subhanahuwata’ala dalam ayat 22 Surah Luqman.

أعوذبالله من الشيطان الرجيم بسم الله الر حمن الرحيم

Sesiapa yang menyerah dirinya kepada Allah (dengan penuh keikhlasan), sedang ia berusaha melaksanakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan tali (din Islam) yang kukuh. Dan (ingatlah) kepada Allah tempat kembali (kesudahan) segala urusan.

Rujukan:Khutbah Ustaz Omar Haji Salleh (4 Rejab 1425H, 20 Ogos 2004).

No comments:

Post a Comment