Monday, August 03, 2009

AMAL SOLEH (Siri 3)

JENIS-JENIS AMALAN SOLEH

Amalan soleh beranika jenis. Ia mencakup segala perintah Allah Subhanahuwata’ala samada yang wajip ataupun yang sunat, samada dalam bidang ibadah ataupun dalam bidang mu’amalah. Maka, apabila seseorang muslim beramal kerana Allah Subhanahuwata’ala dan mengikuti petunjuk din Islam, maka beliau dianggap beramal soleh.

Amalan soleh yang paling penting ialah ibadah. Antara ibadah yang terpenting ialah solah, puasa, zakat dan haji. Ibadah-ibadah ini termasuk dalam rukun Islam, yang sama sekali tidak boleh diabaikan dan tidak boleh diremehkan.

PENTINGNYA IBADAH DALAM ISLAM

Ibadah dalam Islam adalah merupakan tali penghubung antara seorang hamba dengan Allah. Ibadah menjadi bukti pengakuan sebagai hamba terhadap Allah Subhanahuwata’ala. Ibadah adalah hak Allah Subhanahuwata’ala ke atas hamba-Nya. Ibadah yang terpenting ialah solah.

Ibadah harus dipelihara sebaik-baiknya. Ibadah tidak boleh dianggap remeh. Ibadah, secara umumnya, untuk menanam dan memperkuatkan iman ke dalam setiap jiwa muslim.

Ibadah sangat penting bagi manusia sepertimana pentingnya air bagi tumbuh-tumbuhan. Iman seseorang akan bertambah apabila ibadah dilaksanakan.

PENTINGNYA IBADAH SOLAH

Untuk memperlihatkan betapa pentingnya solah, maka ia telah difirmankan Allah Subhanahuwata’ala dalam berpuluh-puluh ayat dan diiringi pula dengan banyak hadith-hadith Rasulullah. Solah dinyatakan sebagai pemisah antara muslim dan bukan muslim. Solah adalah sifat bagi orang-orang beriman dan bertaqwa. Solah sekali-kali tidak boleh ditinggalkan, baik semasa berada di kampung halaman sendiri mahuvpun semasa bermusafir, baik dalam keadaan damai mahu pun dalam keadaan perang, baik dalam keadaaan sihat mahu pun dalam keadaan sakit. Orang-orang yang mengabaikan atau meninggalkan solah dicap sebagai munafik.

Wasiat Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam kepada umatnya di kala beliau hampir wafat ialah agar memelihara solah. Solah adalah amalan pertama yang akan dipersoalkan ke atas umat manusia pada hari kiamat di hadapan Rab. Solah membersihkan jiwa manusia, sebagai tali penghubung antara hamba dan Rab, dan sebagai peringatan berterusan untuk menyedarkan jiwa manusia akan dirinya sebagai hamba kepada Allah Subhanahuwata’ala. Solah pembersih rohani dan penyuci jiwa daripada kekotoran ma’siat. Solah adalah amalan yang paling disenangi oleh setiap muslim yang khusyu’.

Apabila seorang muslim menghadapi kerumitan dan kesulitan dalam hidupnya, maka hendaklah beliau mendirikan solah.

Solah juga mencegah pengamalnya daripada kejahatan dan kemungkaran.

Bacaan dalam solah, samada ayat-ayat Al-Qur’an, tasbih, doa mahu pun zikir, semuanya adalah peringatan bagi setiap muslim dan perisai daripada kejahatan dan kemungkaran.

Rujukan:Risalah at-Ta’rif jilid 1

No comments:

Post a Comment