Sunday, August 02, 2009

PEMBANTU-PEMBANTU BAGI KEIKHLASAN

1. Ilmu Yang Mantap

Ilmu yang diperlukan untuk menguatkan keikhlasan atau kemurnian hati ialah ilmu yang dapat menanamkan keyakinan tentang kepentingan ikhlas, fungsinya dalam kehidupan dan hasil yang dapat diperolehi di dunia dan akhirat. Ilmu ini membina keyakinan bahwa Allah Subhanahuwata’ala tidak menerima amalan kecuali disertai ikhlas. Allah Subhanahuwata’ala Maha Mengetahui apa yang ada di dalam hati. Dia melihat apa yang nyata dan tersembunyi. Tidak ada sesuatu pun yang terlepas daripada pengetahuan dan pengawasan-Nya, sebagaimana dikatakan oleh Ibrahim ‘Alaihissalam:

“Ya Rab kami, sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami lahirkan, dan tidak ada sesuatu yang tersembunyi bagi Allah, sama ada yang ada di bumi atau di langit”
(Ibrahim:38)

Ikhlas akan dapat dipelihara dengan cara membaca dan mengamati Al-Quran serta sunnah yang membicarakan permasalahan ini. Dengan cara sedemikian seseorang itu akan dapat memahami bahaya riyak dan bahaya gila kedudukan atau populariti. Pengetahuan tentang perkara ini akan membantunya membebaskan diri daripada dorongan kepentingan peribadi dan hawa nafsu.

Pengetahuan yang sampai ke peringkat yakin mampu menguasai ledakan emosi seperti cinta, suka, marah, takut dan sebagainya. Inilah proses untuk melahirkan akhlak Rabbaniah sebagaimana dijelaskan oleh Al-Ghazali dalam Al-Ihya’ yang terangkai daripada tiga unsur: Ilmu, situasi dan amal (tindakan). Inilah yang diisyaratkan oleh Al-Quran:

“Dan, agar orang-orang yang telah diberi ilmu, meyakini bahawa al-Quran itulah yang hak daripada Rabmu lalu mereka beriman dan tunduk hati mereka kepada-Nya”
(Al-Hajj:54)

Kata sambung dalam ayat ini menggunakan huruf ‘ ف ’ , bererti menunjukkan rentetan yang harus berurutan seperti berikut:

a. Orang yang diberi ilmu mengetahui Al-Quran itu benar.
b. Iman (yakin) kepada kebenaran al-Quran.
c. Gerakan hati untuk tunduk (patuh).

2. Bersahabat Dengan Orang-orang Ikhlas

Bersahabat, berurusan dan hiduplah bersama-sama dengan orang-orang yang ikhlas agar dapat mengikuti, mengambil pelajaran dan mencontohi akhlak mereka.

Nabi Sallallahu’alaihiwasallam menggambarkan pengaruh persahabatan kepada peribadi seseorang, yang bermaksud:

“Perumpamaan teman baik dan teman buruk ialah seperti pembawa menyak wangi dan peniup tungku api tukang besi. Pembawa minyak wangi mungkin ia memberi kepadamu atau kamu membeli atau kamu mendapatkan bau harum daripadanya. Sedangkan peniup api tukang besi mungkin apinya membakar kainmu atau kamu mendapatkan bau busuk”

Kepentingan dan pengaruh persahabatan dijelaskan oleh Salman katanya, yang bermaksud:

“Perumpamaan dua mukmin yang bersaudara ialah seperti dua tangan, yang satu membasuh yang lain. Tidaklah dua orang mukmin saling bertemu melainkan yang satu dilimpahi kebaikan oleh Allah terhadap yang lain”

3. Membaca Sejarah Orang Mukhlis

Keikhlasan seseorang hamba Allah Subhanahuwata’ala dapat diperelokkan dengan cara membaca sejarah orang-orang mukhlisin untuk mengenali kehidupan dan mengikuti jejak langkah atau petunjuk mereka. Pembacaan ini adalah sebagai ‘pengganti’ di waktu ketiadaan orang mukhlis untuk dijadikan teman. Membaca boleh memberi kesan kepada pemikiran dan hati. Contoh orang-orang mukhlisin dalam sejarah:

a. Kisah tiga orang yang terjebak dalam gua.
b. Kisah A’rabi yang tidak mahu harta rampasan yang diberikan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam kerana ia masuk Islam dan berjihad di jalan-Nya adalah untuk mati syahid. Memang benar, akhirnya ia mendapat syahid di jalan Allah Subhanahuwata’ala.
c. Peristiwa ‘Pemakai Cadar’ yang membuka benteng musuh sehingga tentera Islam mendapat kemenangan.

4. Mujahadah Melawan Nafsu

Mujahadah melawan nafsu bermakna mengerahkan kehendak untuk memerangi hawa nafsu yang mendorong kepada keburukan, egoisme dan keduniaan sehingga ikhlas kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Perjuangan untuk ikhlas tidak ada nokhtah hentinya. Kita tidak boleh berputus asa menyerah diri kepada runtunan nafsu. Sebahagian ulamak sangat benci kepada tiga perkara yang diucapkan oleh murid-muridnya:

a. Saya tidak mampu – cara atasi ‘berusahalah!’.
b. Saya tidak tahu – cara atasi ‘belajarlah!’.
c. Mustahil – cara atasi ‘cubalah!’

Mujahadah melawan nafsu sangat sulit, berat dan mesti dilakukan oleh sesiapa yang menghendaki akhirat, terutama di peringkat awal seseorang mempelajari Islam. Inilah sunatullah yang berlaku pada makhluk Allah, iaitu sesiapa yang berusaha bersungguh-sungguh pasti akan mendapatkannya. Janji Allah Subhanahuwata’ala diberikan kepada orang-orang yang mahu berusaha. Dia akan menunjukkan dan menerangi jalan-Nya, firmanNya:

“Dan, orang yang bermujahadah di jalan Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan, sesungguhnya Allah benar-benar beserta dengan orang-orang berbuat baik.”
(Al-Ankabut:69)

Dalam sebuah hadith dijelaskan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, yang bermaksud:

“Mujahid adalah orang berjihad melawan hawa nafsunya kerana mentaati Allah.”
(HR Ahmad dan At-Tirmidzi)

5. Berdoa dan Memohon Pertolongan Kepada Allah Subhanahuwata’ala

Doa adalah senjata utama bagi mukmin dalam menjalani kehidupan. Hanya dari Allah Subhanahuwata’alalah datang pertolongan dan bantuan. Kepada-Nya-lah dikembalikan semua urusan. Ini diajar oleh Allah Subhanahuwata’ala berulang-ulang kali kepada kita (dalam surah al-Fatihah):

Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan.

Dalam sebuah hadith sahih disabdakan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, yang bermaksud:

“Mohonlah kepada Allah dan janganlah merasa lemah”
(HR Muslim)

Rujukan:

Kertas kerja Muhammad Ghani Salleh bertajuk IKHLAS, (dengan merujuk kepada: Kitab Dr Yusuf Al-Qaradhawy, Niat dan Ikhlas, Pustaka Al-Kautsar, Jakarta (1999)).

No comments:

Post a Comment