Sunday, August 02, 2009

MENGAPA MANUSIA DICIPTAKAN ?

Perlu kita perhatikan kepada tiga persoalan asas yang berkaitan dengan seluruh kehidupan kita. Persoalan-persoalan tersebut adalah:

1) Dari manakah kita datang?
2) Mengapakah kita didatangkan?
3) Kemanakah kesudahan kita ?

Untuk mencari jawapannya yang tepat maka perlulah kita merujuk kepada apa yang telah dinyatakan oleh Allah Subhanahuwata’ala di dalam al-Quran al-Karim.

Persoalan Pertama: Dari manakah kita datang?

Jawapannya akan kita dapati dari Firman Allah Subhanahuwata’ala:

“Wahai sekelian manusia, jika kamu masih ragu-ragu terhadap hari Qiamat, sesungguhnya Kami (Allah Subhanahuwata’ala) telah jadikan kamu dari tanah, kemudian daripada air mani, dari air mani menjadi darah sampai ia menjadi sepotong daging yang telah sempurna kejadiannya dan yang belum sempurna, supaya Kami beri keterangan kepada kamu dan Kami tetapkan di dalam kandungan (rahim) ibu mengikut kehendak Kami, sampailah waktu tertentu maka Kami keluarkan kamu dari kandungan ibumu menjadi kanak-kanak sampai kamu menjadi orang dewasa. Di antara kamu ada yang dimatikan dan ada yang dipanjangkan hidupnya sampai terlalu tua hingga tidak mengetahui apa-apa sedangkan sebelumnya kamu mengetahui “
(Surah Al Hajj ayat 5)

Dengan meneliti ayat tersebut dapatlah kita mengetahui dari manakah datangnya kita.

Persoalan Kedua: Mengapakah kita didatangkan atau mengapa kita dijadikan oleh Allah Subhanahuwata’ala?

Jawapan kepada persoalan ini terdapat di dalam firman Allah Subhanahuwata’ala :
“Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia, melainkan untuk beribadah (mengabdikan) diri kepada Ku “
(Surah Adz Dzariyaat ayat 56)

Para ulama’ muktabar telah menghuraikan pengertian ibadah dengan panjang lebar. Ruang lingkup ibadah adalah luas dan sempurna, tidak terhad dengan fardhu solat, puasa, zakat dan haji sahaja.

Tugas atau kewajipan manusia di dunia ini ialah beribadah dan memperhambakan diri kepada Allah Subhanahuwata’ala berdasarkan firman-Nya yang tersebut di atas.

Untuk menepati kehendak ibadah, maka setiap perbuatan manusia mestilah dilakukan semata-mata kerana Allah Subhanahuwata’ala dan mengikut syari’at Islam. Maka segala perbuatan yang diharuskan syari’at seperti makan, minum, belajar, bekerja, beriadhah, berkahwin dan mendidik anak adalah ibadah apabila dilakukan semata-mata kerana Allah Subhanahuwata’ala.

Apabila kita memahami konsep ibadah yang luas, maka semua tempat seperti rumah, sekolah, kilang, pejabat, sawah ladang, padang permainan, gedung perniagaan dan sebagainya adalah tempat untuk beribadah kepada Allah Subhanahuwata’ala. Bahkan seluruh bumi Allah Subhanahuwata’ala ini merupakan ‘masjid’, tempat menunaikan ibadah kepada-Nya.

Ibadah meliputi apa sahaja yang diredhai oleh Allah Subhanahuwata’ala, samada tutur kata, perbuatan dan tingkah laku.

Professor Dr Yusuf Qaradhawi menyatakan, di dalam bukunya ‘al-Ibadah fi al-Islam’ bahawa:

‘Sesungguhnya beribadah kepada Allah tidaklah terhad kepada mengerjakan solah, puasa, zakat dan haji dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya seperti tilawah al-Quran, zikir, berdoa, beristighfar dan sebagainya sebagaimana fahaman sesetengah golongan Islam (yang mengakui Islam). Ramai yang telah menyangka bahawa apabila mereka telah menunaikan fardhu-fardhu dan syiar-syiar yang tersebut bererti mereka telah menyempurnakan haq Allah terhadap mereka sepenuhnya. Mereka menyangka sudah sesesai menunaikan kewajipan ‘ubudiyyah terhadap Allah. Pada hal tanggapan tersebut adalah meleset daripada hakikat yang sebenar ‘

Beliau membuat menjelaskan lagi:

’Tidaklah dikira ibadah kepada Allah Subhanahuwata’ala jika seseorang itu berfahaman - aku solah, aku berpuasa, aku berzakat dan aku menunaikan haji tetapi aku bebas memakan daging babi, minum arak, makan riba’, berjudi dan menolak hukum-hukum syariat Allah yang tidak bersesuaian dengan pandanganku.

Juga tidak dikira ibadah kepada Allah Subhanahuwata’ala bagi orang yang menganggap ibadahnya hanya ketika berada di kawasan masjid, tetapi apabila ia keluar dari masjid dan menceburkan diri dalam bidang-bidang kehidupan lain, dia menjadi hamba kepada kehendak dirinya sendiri, bebas mengikut hawa nafsunya dan tidak menghiraukan hukum-hukum Allah Subhanahuwata’ala.

Oleh kerana itu maka setiap orang yang terkeliru mestilah membetulkan kefahamannya dan kembali mengenali Islam dan ibadah kepada Allah Subhanahuwata’ala. Semoga seluruh kehidupannya berada dalam keredhaan Allah Subhanahuwata’ala.

Cukuplah bagi seseorang Muslim itu berfikir bahawa dia adalah khalifah Allah Subhanahuwata’ala di muka bumi ini untuk menjalankan tugas dan arahan Allah Subhanahuwata’ala semata-mata. Memadai dia berbuat demikian untuk mencorakkan segala jenis amalannya dengan corak Islam hinggalah segala perkataan, perbuatan dan diamnya itu menjadi ibadah kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Persoalan Ketiga: Kemanakah kesudahan kita?

Persoalan ini tidak memerlukan kepada huraian yang panjang kerana setiap orang menyedari asal usulnya serta mengetahui akan tugas dan kewajipannya. Maka InsyaAllah ia akan menyedari pula kemanakah kesudahannya. Walaupun demikian, jawapannya tetap telah dinyatakan oleh Allah Subhanahuwata’ala dalam firman-Nya:
“Sesungguhnya kepada Rab (Allah) kesudahan kamu (tempat kembali). Dialah yang membuatkan kamu tertawa dan Dia juga yang membuatkan kamu menangis. Dialah yang mematikan kamu dan menghidupkan kamu kembali “
(Surah An Najm ayat 42 – 44 )

Rujukan:
Risalah at-Ta’rif jilid2.

No comments:

Post a Comment