Sunday, August 02, 2009

KEWAJIPAN-KEWAJIPAN HAMBA ALLAH (Siri 2)


Hak Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan tanggunjawab umat Islam kepada baginda

Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam, selaku Rasulullah, dalam beberapa aspek diberikan hak-hak tertentu oleh Allah Subhanahuwata’ala. Baginda diberikan hak ketaatan, hak kecintaan, hak اتباع (ikutan) dan hak qudwah (hak bercontoh) oleh umat baginda. Bahkan ketaatan kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dianggap ketaatan kepada Allah Subhanahuwata’ala jua. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
Bermaksud: “Barangsiapa yang menta’ati Rasul itu, sesungguhnya ia telah menta’ati Allah.”
(Surah an-Nisaa’ : 80)

Demikian juga hak kecintaan kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, sehingga ia menjadi suatu syarat keimanan. Hal ini telah ditegaskan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam di dalam hadisnya:

عن انس بن مالك رضى الله عنه قال : قال رسول الله (ص) : لا يؤمن أحدكم حتى أكون أحب اليه من والده وولده والناس أجمعين .

Bermaksud: “Daripada Anas bin Malik Radhiallahu’anhu katanya, bahawa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda: Tidak beriman seseorang kamu sehingga aku (Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam) lebih ia cintai daripada bapanya, anak-anaknya dan sekelian manusia. "
(HR Bukhari dan Muslim)

Firman Allah Subhanahuwata’ala:
Bermaksud: “Katakanlah( wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri (suami-suami kamu), kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai ,(hingga semua itu ) adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.(yakni azabNya). “
(Surah at Taubah : 24)

Demikian juga Allah Subhanahuwata’ala telah memberi hak mengikut dan bercontoh kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam (hak qudwah). Firman-Nya:
Bermaksud: “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah. “
(Surah al Ahzab : 21)

Semua orang yang beriman di dalam semua lapisan masyarakat (pemimpin, pejuang, pendidik, ibubapa, pekerja, orang-orang atasan, orang-orang bawahan dan yang lain) adalah dituntut untuk mencontohi Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam – kecuali di dalam perkara-perkara خصوصيات (perkara-perkara khas yang diberi keistimewaan kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam sahaja).

Firman Allah Subhanahuwata’ala:
“Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Surah ali Imran : 31)

Sifat-sifat utama Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam untuk dicontohi

Kita telah sama-sama maklum bahawa pada diri Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam ada sifat-sifat utama (asasi) untuk dicontohi, iaitu:

الصدق
:
Sifat benar dalam semua hal dan tidak berdusta sama sekali.

الآمانة
:
Sifat amanah, jujur, ikhlas dan tidak berkhianat sama sekali.

الفطانة
:
Sifat cerdik, bijaksana dan tajam aqal.

التبليغ
:
Sifat menyampaikan kebenaran dan apa jua yang diperintahkan oleh Allah Subhanahuwata’ala samada dipersetujui atau ditentang oleh manusia.

Semua sifat ini sepatutnya dicontohi oleh setiap orang mukmin dan mukminah sekiranya kita ingin melihat lahirnya masyarakat yang bersih, pengurusan institusi yang suci dan pentadbiran negara yang baik. Yakni bersih daripada sebarang skandal, perilaku yang salah, pecah amanah, rasuah dan sebagainya.

Rujukan:Khutbah Ustaz Omar Haji Salleh (24 Rabiulawal 1425H, 14 Mei 2004), (beliau mengesyorkan rujukan lanjut kepada penulisan Dr. Abdul Karim Zaidan dalam kitabnya أصول الدعوة dan Ustaz Said Hawwa dalam kitabnya جند الله ثقافة وأخلاقا

No comments:

Post a Comment