Sunday, August 02, 2009

PROSES PEMBINAAN IKHLAS (Siri 2)

PENGARUH IKHLAS KEPADA INDIVIDU

Ikhlas melahirkan pelbagai natijah sama ada kepada individu mahu pun organisasi. Secara umumnya pengaruh ikhlas dapat dijelaskan seperti berikut:

1. Ketenangan Jiwa

Ikhlas menumbuhkan ketenangan jiwa dan kedamaian hati kepada pemiliknya. Dadanya akan lapang dan hatinya akan terang. Hatinya hanya berfokus kepada satu tujuan iaitu mendapatkan keredhaan Allah Subhanahuwata’ala. Jalan hidupnya jelas selari dengan kehendak Allah Subhanahuwata’ala. Ia umpama seorang hamba dimiliki oleh seorang tuan. Ia tahu apa yang membuat tuannya redha dan murka. Sedangkan seorang yang tidak ikhlas (syirik) diibaratkan seperti seorang hamba yang dimiliki oleh beberapa orang tuan secara bersekutu. Setiap tuan memberikan perintah yang bertentangan antara satu dengan lain. Perasaan hamba itu berpecah dan hatinya berbelah bahagi. Begitulah perumpamanya yang dikemukakan Allah Subhanahuwata’ala dalam firman-Nya:

“Allah membuat perumpamaan (iaitu) seperti seorang lelaki (hamba) yang dimiliki oleh beberapa orang yang bersyarikat yang dalam perselisihan dan seorang hamba yang menjadi milik penuh hati seorang lelaki (sahaja). Adakah kedua budak itu sama halnya? Segala puji bagi Allah, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui”
(Az-Zumar:29)

Orang mukhlis merasai bahagia dan aman kerana bebas daripada kesengsaraan penyembahan selain daripada Allah Subhanahuwata’ala. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menjelaskan, maksudnya:

“Kesengsaraan bagi hamba dinar, hamba dirham dan hamba wang”

Orang mukhlis, tujuannya satu iaitu keredhaan Allah Subhanahuwata’ala dan menjadikan niatnya (atau tujuannya) untuk akhirat. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda, maksudnya:

“Barangsiapa menjadikan berbagai tujuan (perkara) sebagai satu tujuan, maka Allah mencukupkannya dari tujuan dunia, dan barangsiapa tujuannya bercabang-cabang, Allah tidak memperdulikannya, di penjuru dunia mana pun dia mengalami kerosakan”
(HR Al-Hakim dan Al-Baihaki)

2. Kekuatan Rohani

Ikhlas menimbulkan kekuatan rohani kepada orang mukhlis kerana keunggulan tujuan di dalam dirinya. Kehendaknya bersatu iaitu mendapatkan keredhaan Allah Subhanahuwata’ala.

Sebaliknya orang yang gilakan harta, kedudukan, kehormatan dan gelaran adalah amat lemah. Ini kerana ia takut kehilangan habuan yang diharapkannya. Sedangkan orang yang menjualkan dunia kerana Allah Subhanahuwata’ala, dia akan memperolehi kekuatan.

Kekuatan orang yang ikhlas dan bebas daripada taklukan dunia jauh lebih kuat daripada segala kekuatan material yang dapat ditanggapi oleh mata manusia. Sebuah hadith Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menggambarkan kekuatan rohani yang dimiliki oleh orang yang hatinya ikhlas kerana Allah Subhanahuwata’ala:

“Tatkala Allah menciptakan bumi, maka ia pun bergetar. Lalu Allah menciptakan gunung dan kekuatan diberikan kepadanya, lalu ia diam. Maka para malaikat pun hairan dengan penciptaan gunung itu. Mereka bertanya, Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaanmu yang lebih kuat daripada gunung? Allah menjawab, ‘Ada, iaitu besi’. Mereka bertanya lagi, ‘Ya Rabbi, adakah dalam penciptaanmu yang lebih kuat daripada besi?’. Allah menjawab, ‘Ada, iaitu api’. Mereka bertanya, ‘Ya Rabbi, adakah dalam ciptaanMu sesuatu yang lebih kuat daripada api?’. Allah menjawab, ‘Ada iaitu angin’. Mereka bertanya, ‘Adakah sesuatu dalam penciptaanMu yang lebih kuat daripada angin?’. Allah menjawab, ‘Ada iaitu anak Adam yang mengeluarkan sedekah dengan tangan kanan sedangkan tangan kirinya tidak mengetahui”
(HR At-Tirmizi dan Ahmad)

3. Kerja Berkesinambungan

Ikhlas melahirkan individu yang bekerja secara berterusan. Orang yang bekerja kerana hendak diperlihatkan kepada manusia, akan bekerja kerana nafsu perut dan nafsu hubungan jantina. Dia akan berhenti bekerja jika tidak mendapatkan sesuatu yang dapat memuaskan nafsunya.

Orang yang bekerja kerana mengharapkan penghormatan dan kedudukan duniawi, akan berasa malas jika ada petanda bahawa harapannya itu tidak akan tercapai.

Orang yang bekerja kerana mencari nama di hadapan pemimpin akan menghentikan kerjanya jika pemimpin tersebut dipecat atau mati.

Sedangkan, orang yang bekerja kerana Allah Subhanahuwata’ala tidak akan memutuskan kerjanya, tidak berundur dan tidak merasa malas. Sebab, asas kerjanya tidak akan luput. Wajah (atau matlamat) Allah Subhanahuwata’ala tetap abadi dan tidak akan luput.

Firman-Nya:

“Tiap-tiap sesuatu pasti binasa, kecuali Allah. Bagi-Nya-lah segala penentuan, dan hanya kepada-Nya-lah kamu dikembalikan”
(Al-Qasas:88)

4. Mengubah Perkara Harus dan Tradisi Menjadi Ibadah

Ikhlas dianggap sebagai penyubur amal. Jika ia diletakkan pada amal harus mana pun, maka amal itu berubah menjadi ibadah di sisi Allah Subhanahuwata’ala. Dalam sebuah hadith Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pernah bersabda kepada Sa’ad:

“Sesungguhnya tidaklah engkau mengeluarkan nafkah demi mencari keredhaan Allah, melainkan engkau akan diberi pahala kerananya, termasuklah satu suapan yang engkau letakkan di mulut isterimu.”
(Muttafaq Alaih)

5. Tetap Memperolehi Pahala, Sekalipun Belum Menyempurnakan Sesuatu Kerja atau Belum Melakukannya

Di antara keberkatan ikhlas kerana Allah Subhanahuwata’ala ialah orang ikhlas dapat memperolehi ganjaran pahala amal secara sempurna, meskipun ia tidak mampu melaksanakan secara sempurna. Firman-Nya:

“Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat yang luas dan rezeki yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan niat berhijrah kepada Allah dan rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat dituju), maka sesungguhnya telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(An-Nisa’:100)

Malah dengan niat yang ikhlas kerana Allah Subhanahuwata’ala, seorang muslim boleh mendapat ganjaran pahala yang sempurna, sekalipun dia tidak dapat melakukan amal tersebut. Contohnya terlalu banyak, misalnya Al-Bukhari meriwayatkan daripada Anas bin Malik. Beliau berkata: “Kami kembali dari Perang Tabuk bersama Nabi Sallallahu’alaihiwasallam, lalu baginda bersabda:

“Sesungguhnya ada beberapa orang yang tertinggal di belakang kita di Madinah. Tidaklah kita melewati suatu wilayah dan lembah melainkan mereka sentiasa bersama kita. Mereka terhalang oleh kerana keuzuran (yang syar’i)”

6. Pertolongan dan Perlindungan Allah Subhanahuwata’ala

Orang mukhlis dijanjikan akan mendapat pertolongan dan perlindungan daripada Allah Subhanahuwata’ala. Firman-Nya:

“Bukankah Allah cukup untuk melindungi hamba-hamba-Nya?”
(Az-Zumar:36)

Pertolongan dan perlindungan Allah Subhanahuwata’ala diberi bergantung kepada sejauhmana keikhlasan seseorang hamba kepada-Nya. Pertolongan yang diberikan dalam pelbagai bentuk seperti kekuatan, taufik, hidayah, jalan keluar dari kesulitan dan sebagainya.

Umar bin Al-Khattab Radhiallahu’anhu berkata tentang masalah qadha’:

“Barangsiapa niatnya ikhlas dalam kebenaran, sekali pun terhadap dirinya sendiri, maka Allah cukup sebagai pelindung antara dirinya dan manusia, dan barangsiapa yang menghiasinya dengan sesuatu selain-Nya, maka Allah akan memburukkannya”

Allah Subhanahuwata’ala mengabulkan doa orang-orang musyrik sebagaimana Al-Quran menceritakan ketika mereka berada di atas perahu yang mengharungi lautan bergelora. Mereka berdoa kepada Allah Subhanahuwata’ala dalam situasi yang kritis dengan sungguh-sungguh dan tulus. Lalu Allah Subhanahuwata’ala mengabulkan doa mereka, sekali pun selepas itu kesungguhan dan keikhlasan mereka berubah:

Dialah Yang menjadikan kamu dapat berjalan di daratan, (berlayar) di lautan, sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera, dan meluncurlah bahtera itu membawa orang-orang yang ada di dalamnya dengan tiupan angin yang baik, dan mereka bergembira kerananya, datanglah angin badai, dan (apabila) gelombang dari segenap penjuru menimpanya, dan mereka yakin bahwa mereka telah terkepung (bahaya), maka mereka berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya semata-mata. (mereka berkata): "Sesungguhnya jika Engkau menyelamatkan kami dari bahaya ini, pastilah kami akan termasuk orang-orang yang bersyukur.

Maka tatkala Allah menyelamatkan mereka, tiba-tiba mereka membuat kezaliman di muka bumi tanpa (alasan) yang benar. Hai manusia, sesungguhnya (bencana) kezalimanmu akan menimpa dirimu sendiri, (hasil kezalimanmu) itu hanyalah kenikmatan hidup duniawi, kemudian kepada Kami-lah kembalimu, lalu kami khabarkan kepadamu apa-apa yang telah kamu kerjakan.
(Yunus:22-23)
Rujukan:
Kertas kerja Muhammad Ghani Salleh bertajuk IKHLAS, (dengan merujuk kepada: Kitab Dr Yusuf Al-Qaradhawy, Niat dan Ikhlas, Pustaka Al-Kautsar, Jakarta (1999)

No comments:

Post a Comment