Monday, August 03, 2009

IBADAH YANG BERKUALITI

IBADAH YANG BERKUALITI

Alangkah ruginya segala pengorbanan, curahan tenaga dan perbelanjaan sekiranya tidak mendapat keredhaan Allah Subhanahuwata’ala. Ini terjadi apabila sesuatu amalan itu dilakukan bermatlamatkan dunia atau berasaskan hawa nafsu semata-mata. Rugi tenaga, masa, hartabenda dan segala-galanya. Oleh itu wajiblah kita meletakkan segala kerja dan amalan kita di atas aqidah yang betul dan hati yang ikhlas.

Hati yang ikhlas mencari keredhaan Allah Subhanahuwata’ala adalah pokok penilaian-Nya. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pernah bersabda (di dalam hadith riwayat Imam Muslim daripada Abi Hurairah Radhiallahu ‘anhu):

إنّ الله لا ينظر إلى أجسامِكم ولا إلى صوَرِكم ولكنّ ينظر إلى قلوبِكم
Sesungguhnya Allah tidak melihat (menilai) kepada tubuh badan kamu, juga tidak kepada rupa paras kamu tetapi Allah melihat (menilai) kepada hati kamu.

Amalan yang dimakbulkan (diterima) oleh Allah Subhanahuwata’ala mestilah dengan niat yang ikhlas (إخلاص ) kerana-Nya semata-mata. Niat yang ikhlas mesti disertakan dalam semua jenis amalan. Terdapat dua jenis amalan yang utama:

1) Amalan-amalan ta’abbud (تعبد ) atau amr ta’abbudi ( أمر تعبدى) atau ‘ibadah (عبادة) khusus yang telah difardhukan seperti zakat, puasa, solah dan haji. Amalan-amalan seperti ini hendaklah mengikut kaifiat (كيفيات) atau cara-cara yang telah ditetapkan oleh syara’ (شرع) berdasarkan wahyu Allah (al-Quran dan as-Sunnah) tanpa pindaan dan ubahsuai. Kaifiat ibadah khusus tidak berubah walaupun zaman berubah.

2) Amalan-amalan yang berkaitan dengan pelbagai urusan hidup yang pada zahirnya berbentuk duniawi dan menyentuh urusan hidup diri, keluarga, masyarakat dan negara. Amalan-amalan ini meliputi bidang pendidikan, pertanian, perniagaan, perusahaan, kebudayaan, pentadbiran, jihad dan sebagainya. Semua amalan ini akan menjadi ibadah apabila:


a) Dilakukan dengan mematuhi syarat-syarat dan dasar-dasar yang digariskan oleh ajaran Islam.

b) Dilakukan dengan niat yang ikhlas untuk memperolehi keredhaan Allah Subhanahuwata’ala.

Ibadah yang berkualiti

Seorang yang beriman, apabila melakukan sesuatu ibadah, tidaklah wajar baginya melakukan sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’. Namun beliau mementingkan kualiti yang baik di dalam sesuatu ibadah. Hal ini telahpun diperjelaskan dengan panjang lebar oleh Doktor Yusuf al-Qardawi di dalam kitabnya Ibadah Dalam Islam ( العبادة في الإسلام ) yang boleh dirumuskan seperti berikut:

1) Dilaksanakan segala kerja atau urusan dengan niat yang saleh (صالح). Yakni dengan niat yang ikhlas kerana Allah semata-mata.

2) Segala kerja dan urusan dilakukan dengan cara-cara yang diluluskan oleh syara’ (شرع). Atau dengan kata lain - tidak berlawanan dengan ajaran Allah Subhanahuwata’ala.

3) Dilaksanakan kerja dan urusan dengan itqan (اتقان), yakni dengan penuh kesungguhan, dedikasi dan tekun.

4) Iltizam dalam meninggalkan larangan-larangan Allah Subhanahuwata’ala. Jangan melakukan kezaliman, penganiayaan, penipuan, pencerobohan hak orang lain dan sebagainya. Janganlah terjadi sambil-sambil melakukan ibadah, lakukan pula larangan-larangan Allah Subhanahuwata’ala.

5) Jangan sampai sewaktu melakukan kerja dan urusan hidup, lalai pula dalam melaksanakan ibadah atau kewajipan yang asasi seperti solah dan zakat.

Sekiranya syarat-syarat di atas dipatuhi sepenuhnya, maka InsyaAllah (ان شاء الله), semua kerja dan urusan hidup umat Islam akan menjadi ibadah yang berkualiti dan mendapat ganjaran pahala yang sebaik-baiknya daripada Allah Subhanahuwata’ala. Firman-Nya:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم بسم الله الر حمن الرحيم

Laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli daripada mengingati Allah, dan (daripada) mendirikan solah, dan (daripada) membayarkan zakat. mereka takut kepada suatu hari yang (di hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang.
(Surah an Nur ayat 37)

Rujukan:Khutbah Ustaz Omar Haji Salleh (22 Rabi’ulakhir 1425H, 11 Jun 2004)

No comments:

Post a Comment