Tuesday, November 10, 2009

ISLAM DAGANG (Siri 2 - Akhir)

Ciri-Ciri Ghurbah (Dagang)

1) Berlaku Bid'ah Fiddiin iaitu umat Islam mengambil jalan (Din) yang bukan jalan Islam.

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Sesungguhnya inilah jalan-Ku yang lurus maka ikutilah jalan itu, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan yang lain kerana jalan-jalan tersebut mencerai-beraikan kamu daripada jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertaqwa "
( Surah al An’am : 153 )

2) Berbagai-bagai isme dianuti dan dicampur-adukkan dengan Islam. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Hai orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya dan jangan kamu mengikuti jalan-jalan syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu "
(Surah al-Baqarah: ayat 208)

3) Cara hidup yang tidak menggambarkan aqidah di mana mungkar dipandang ma'ruf dan ma'ruf dipandang mungkar.

4) Lahir perkara-perkara syubhat dalam urusan umat Islam seharian, disamping mengikuti fahaman sekular yang diciplak daripada kristianisme dan kolonialisme peninggalan penjajah. Islam dianggap tidak sesuai untuk masa kini. Islam dikatakan tidak membawa kemajuan dan pembangunan.

Akhirnya, umat Islam menjadi dagang di tanah air sendiri. Islam dagang di gedung perniagaan, di rumah, di dalam keluarga, di pejabat dan sebagainya. Islam berada di satu lembah dan kaum Muslimin berada di satu lembah lain.

Kalaulah Islam dapat diumpamakan seperti seorang insan, maka sudah pasti akan kedengaran suara tangisannya yang jauh di lubuk kedagangannya.

Permasalahan Islam kini yang perlu diselesaikan segera adalah:

1) Masyarakat tidak faham Islam. Mereka tidak jelas tasawwur Islam sebenar. Fahaman mereka berbentuk juz'i (sebahagian kecil) dan bercampur aduk. Misalnya ada yang melihat Islam dari aspek hukum semata-mata tanpa melihat kepada Qadhiyyah Ilahiyyah yang menyeluruh.

2) Masyarakat tidak nampak Din Allah Subhanahuwata’ala dan rahmat-Nya sebagai suatu alternatif yang dapat menyelesaikan permasalahan manusia dan menyelamatkan mereka daripada kehancuran. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Atau seperti gelap gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak, yang atasnya ombak (pula) , di atasnya lagi awan, gelap gelita yang tindih bertindih, apabila dia mengeluarkan tangannya , tiadalah dia dapat melihatnya , Dan barangsiapa yang tidak diberikan cahaya (pertunjuk) oleh Allah maka ia tidak mempunyai cahaya (pertunjuk) walaupun sedikit. "
(Surah an-Nur: ayat 40 )

3) Pupus syu'ur (rasa hati) kembali kepada Islam. Sedangkan Islam mendidik umatnya supaya bekerja dan berusaha untuk menegakkan Din Allah Subhanahuwata’ala serta mempertahankannya, bukan sebaliknya mempertahankan Din bukan Islam.

Tidak dinafikan bahawa terdapat individu-individu yang faham Islam, menerima Islam sebagai alternatif dan memiliki syu'ur untuk kembali kepada Din Allah Subhanahuwata’ala sepenuhnya. Tetapi malangnya mereka tidak terkumpul sebagai satu kekuatan dalam bentuk jama'ah yang tersusun rapi dan mempersaksikan rahmat Allah Subhanahuwata’ala dalam bentuk yang sempurna.

Cara Mengatasi Ghurbah

Untuk mengatasi Ghurbah ath-Thaniyah, maka tidak ada jalan lain melainkan kembali kepada jalan Rasulullah Sallallahu’alihiwasallam. Yakni jalan yang telah berjaya menghilangkan Ghurbah al-Islam al-Awwal.

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Sesungguhnya pada Rasulullah itu teladan yang baik bagi mereka yang mengharapkan rahmat Allah dan keselamatan hari Akhirat dan banyak mengingati Allah. "
(Surah al-Ahzab: ayat 21.)

Sabda Rasulullah Sallallahu’alihiwasallam (antara lain bermaksud):
" Hendaklah kamu mengikuti sunnahku.... "

Antara cara-caranya ialah:

1) Memahamkan Islam kepada masyarakat sebagaimana yang difahami oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan para sahabat r.a. yang mulia. Islam adalah satu cara hidup yang benar dan akan membawa kepada keredhaan Allah Subhanahuwata’ala. Manakala cara hidup yang lain adalah batil, sesat dan dimurkai Allah Subhanahuwata’ala. Dengan Islam sahaja akan berakhir kefasadan, kejahatan dan kerosakan di bumi.

Islam adalah Taklif Rabbani. Manusia bertanggungjawab untuk memahaminya, beriman dengannya, menyampaikannya dan menegakkannya di dalam kehidupan. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Sesiapa yang mencari selain Islam sebagai cara hidup, maka sesekali tidak akan diterima. Dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi "
(Surah Ali 'Imran: ayat 85.)

Sabda Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam yang bermaksud:
"Demi yang jiwaku di tangan-Nya. Tidak mendengar daripadaku seseorangpun dari umat ini, samada Yahudi atau Nasrani, kemudian dia tidak beriman dengan apa yang diutuskan padaku, melainkan dia adalah terdiri ahli neraka."

Islam hendaklah difahamkan melalui wasilah yang betul dan masyru', bersumberkan masdar yang asli iaitu Al Qur'an, As Sunnah dan kitab-kitab ulama'-ulama' muktabar agar Islam yang diketengahkan itu Syamil (menyeluruh) dan Kamil (lengkap).

2) Melaksanakan didikan untuk melahirkan muslim yang serasi dan komited dengan Islam. Muslim berkerja untuk Islam sepanjang hayat. Muslim memiliki sifat-sifat mahmudah seperti yang dimiliki para sahabat Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Muslim yang menjadi rijal dan mujahid yang mukhlis (ikhlas). Muslim yang terikat dengan akhirat. Muslim yang merasai Ukhuwwah Fillah.

Didikan yang dijalankan di atas asas iman yang akan melahirkan kesungguhan di dalam kerja-kerja da'wah. Al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna r.a. menyatakan yang bermaksud:
"Apa yang dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam menyampaikan dan memasukkan da'wah di hati sahabat-sahabatnya Generasi Awal ialah menyeru mereka supaya beriman dan beramal. Kemudian dihimpun hati mereka dengan penuh kasih sayang dan persaudaraan, mereka berhimpun di atas kekuatan aqidah dan kekuatan kesatuan, maka jadilah mereka jamaah contoh yang semestinya terjulang kalimah dan da'wahnya, memperolehi kemenangan walaupun ahli-ahli bumi seluruhnya tidak menyetujui dan menentang mereka. "

Barisan muslimin yang bangkit sebagai du'at. Mereka berda'wah kepada keluarga dan masyarakat agar kembali kepada Islam sebagai Din Allah yang bersifat Kamil dan Mutakamil.

3) Melaksanakan jihad. Pembentukan masyarakat Islam dan pemerintahan Islam, yang menjadi matlamat asasi dalam 'Amal Islami, tidak akan tercapai tanpa jihad. Malah jihad mengangkat pekerja-pekerja Islam daripada segala kerendahan kepada ketinggian. Jihad akan menjadikan pekerja-pekerja Islam terikat dengan Islam siang dan malam. Terpaut rasa dengan alam ukhrawi (akhirat)terpautnya manusia lain kepada kehidupan dunia.

Jihad perlu berterusan. Orang-orang yang mati tanpa berjihad tergolong dalam golongan munafiq. Orang-orang yang mati tanpa kesan jihad akan bertemu Allah Subhanahuwata’ala dalam keadaan sumbing.

Sabda Rasulullah Sallallahu’alihiwasallam yang bermaksud:
"Sesiapa yang bertemu Allah (mati) tanpa kesan jihad, maka dia bertemu Allah dan padanya terdapat kesumbingan. "
(Hadith Riwayat at-Tarmizi).

Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang bermaksud:
"Sesiapa yang mati dan tidak pernah berperang dan jiwanya tidak berlaku peperangan, maka dia mati di atas cabangan nifaq. "
(Hadith Riwayat Muslim.)

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Kalau kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperolehi dan perjalanan yang tidak berapa jauh, pasti mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu mereka terasa amat jauh. Mereka bersumpah dengan nama Allah : Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu. Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta. "
(Surah at-Taubah: ayat 42.)

4) Du'at perlulah bekerja secara jama'i, tidak keseorangan. Rasulullah Sallallahu’alihiwasallam bersabda:

"Tangan Allah bersama jama'ah."

5) Hendak difahami bahawa dengan kesedaran dan semangat semata-mata tidak akan lahir pekerja dan penda'wah sepanjang hayat. Hamasah (semangat) akan hilang apabila bertemu dengan 'Uqubah dan Mehnah (bencana dan ujian) di atas jalan da'wah. Lebih-lebih lagi jalan da'wah ini panjang dan jauh. Ia tidak dihampari dengan permaidani indah atau ditaburi dengan bunga-bungaan. Justeru itu Tarbiyyah, Takwin dan bekerja secara jama'i adalah perlu.

Dengan adanya Tarbiyyah dan Takwin, InsyaAllah akan lahirlah pekerja sepanjang hayat, iltizam dengan matlamat da'wah yang besar dan bercita-cita mencari keredhaan Allah Subhanahuwata’ala semata-mata.

Penutup

Menegakkan kembali Din Allah Subhanahuwata’ala adalah Amanah Qubra (besar) dan taklif Rabbani. Du'at perlu memikul Amanah dan Taklif ini. Meninggalkannya adalah berdosa lantaran du'at berada di satu penjuru daripada penjuru-penjuru Islam yang perlu dikawal dan dijaga agar musuh tidak dapat menceroboh.

Bersama-samalah du'at memikul tugas yang mulia ini. Mengajak masyarakat ke jalan Allah Subhanahuwata’ala secara jama'i, dengan penuh rasa Ukhuwwah dan dengan mempersaksikan Qudwah Hasanah demi pengabdian kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Medan da'wah dan berkerja untuk Islam adalah medan yang Allah Subhanahuwata’ala muliakan. Begitu juga du'at menjadi mulia di atas medan ini. Du'at hidup dan mati di atasnya. Du'at beristiqamah di atasnya hingga kembali bertemu Allah Subhanahuwata’ala dalam keadaan mendapat kasih-Nya dan terselamat daripada kemurkaan-Nya.

Oleh: Ustaz Abdul Hadi Bin Osman.

No comments:

Post a Comment