Wednesday, November 11, 2009

KEHIDUPAN DI DALAM TASAWWUR ISLAMI (Siri 1)

Ad-Dar al-Akhirah

Sesungguhnya kehidupan di dalam tasawwur (konsep) Islam bukan sekadar kehidupan di dunia yang amat terbatas ini, malah ia menjangkau lebih jauh daripada itu, hingga ke alam maut dan alam akhirat. Justeru itu permasalahan kebangkitan semula, hisab dan balasan di akhirat adalah merupakan permasalahan ‘aqidah yang paling asas sesudah terbina ‘aqidah tauhid.

Setiap sudut daripada tasawwur Islam memandang kepada hakikat kehidupan di akhirat. Malah kehidupan Islam tidak akan lurus tanpa memberi perhatian dan yakin kepada akhirat. Al-Quran sendiri amat menekankan hakikat ini.

Bagi orang-orang yang beri’tikad (mempercayai) bahawa kehidupan hanya di dunia tanpa beriman dengan hari akhirat, maka tasawwur dan nilai perjuangan hidup mereka hanyalah sekadar di dunia yang sempit ini sahaja. Adalah mustahil akan lahir di atas keyakinan sedemikian kehidupan yang mulia.

Peraturan dan undang-undang yang lahir di bumi yang hanya memberi perhatian kepada sudut yang sempit ini, tidak akan melahirkan keadilan dan kerahmatan. Ia tidak akan mempunyai kriteria yang jelas dan tetap, malah akan berlaku pertentangan dan pertembungan antara satu sama lain.

Umat yang hidup di atas konsep yang sempit ini tidak mungkin akan dapat mengembalikan kemuliaan manusia, kecuali jika mereka berpindah kepada konsep hidup yang luas yang melewati batas dunia ini. Bertolak dari konsep atau tasawwur yang luas dan berbeza ini, akan lahir perbezaan dalam nilai, akhlak, suluk (perangai) dan peraturan hidup. Allah Subhanahuwata’ala mengetahui bahawa mana-mana umat tidak akan layak memimpin manusia, kecuali keyakinan terhadap akhirat nyata di dalam dhamir (hati) mereka.

Sebab-sebab Islam menekankan akhirat:

1) Ia hakikat kebenaran yang telah diterangkan Allah Subhanahuwata’ala.

2) Keyakinan kepada akhirat penting demi mendapatkan kesempurnaan kemanusiaan - baik dalam tasawwur (konsep), i’tiqad (kepercayaan), akhlak, suluk (perangai), syari’at mahu pun nizam (sistem/peraturan).

3) Daripada tasawwur Islam yang luas ini akan melahirkan jiwa yang lapang, berperasaan tinggi dan berhati-hati bertindak terhadap sesuatu. Daripada i’tiqad yang penuh terhadap keadilan dan besarnya ganjaran di akhirat kelak, menyebabkan jiwa bersedia untuk berkorban di jalan Allah Subhanahuwata’ala.

Apabila wujud keyakinan terhadap akhirat, maka baiklah akhlak dan luruslah perjalanan hidup. Juga tidak akan berlaku sebarang penyelewengan terhadap Din Allah Subhanahuwata’ala yang lengkap. Seterusnya, tidak akan wujud sifat berdiam diri apabila melihat kerosakan, kerana sifat berdiam diri bukan sahaja menyebabkan kehilangan kebaikan di dunia, tetapi kehilangan ganjaran yang besar di akhirat kelak.

Dunia ladang akhirat

Dunia, dalam tasawwur Islam adalah ladang akhirat. Berjihad untuk memperbaiki kehidupan adalah suatu yang dituntut syara’. Berusaha menentang kejahatan dan kezaliman, mengembalikan kekuasaan Allah Subhanahuwata’ala, mencegah pelampauan, menegakkan dan menjalankan keadilan serta kebaikan untuk manusia sehingga gugur syahid, maka kesemuanya adalah bekalan untuk akhirat.

Dengan bekalan ini akan terbukalah pintu-pintu syurga bagi para mujahid. Akan diberi gantian yang lebih baik terhadap apa yang telah hilang daripada mereka. Segala penderitaan yang ditempuhi ketika menentang kebatilan di dunia akan dibalas dengan kesenangan yang abadi.

Peranan di dunia

Nilai kehidupan dunia berbanding dengan kehidupan akhirat telah dijelaskan Allah Subhanahuwata’ala dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Dan tiada kehidupan dunia ini, selain daripada main-main dan senda gurau belaka. Dan sesungguhnya kampung akhirat lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Tidakkah kamu memahaminya.”
-Surah al-An’am: ayat 32

Namun, Islam tidaklah bersikap negatif terhadap dunia. Seseorang yang beriman tidaklah bersifat cuai dan menyisihkan diri daripada dunia. Sesungguhnya jalan ke akhirat adalah melalui kehidupan di dunia. Walaupun dunia itu sempit dan terbatas, tetapi ia juga adalah ni’mat Allah Subhanahuwata’ala. Daripada dunia ini mukmin akan memperolehi kebahagiaan dan kenikmatan Allah Subhanahuwata’ala yang besar di akhirat kelak.

Contoh yang jelas dalam hal ini ialah generasi sahabat Rasulullah SAW yang telah berjaya mengecapi kehidupan dunia mengikut neraca Allah Subhanahuwata’ala. Kehidupan mereka adalah amalan untuk akhirat. Mereka menjadi khalifah Allah Subhanahuwata’ala, menjalankan perintah-Nya, memakmur dan mengindahkan bumi ini, mendaulatkan bumi Allah Subhanahuwata’ala, mencari keredhaan Allah Subhanahuwata’ala dan mengharapkan kebahagiaan di akhirat. Mereka telah mendahului ahli dunia semasa di dunia dan mereka akan terus mendahului ahli dunia itu semasa akhirat nanti.

Islam amat memberi penekanan terhadap keyakinan kepada akhirat supaya ia bersemadi dan hidup segar di dalam hati mengatasi kecintaan kepada dunia. Dengan ini hati menjadi damai dan kehidupan pula menjadi tenteram.

Apakah yang boleh menghindarkan manusia daripada sifat tamak dan haloba serta terpengaruh dengan hawa nafsu? Apakah yang boleh memenangkan manusia dalam pertarungan yang tidak berkesudahan? Apakah yang boleh menguatkan manusia dalam ma’rakah (kerja-kerja) antara haq dan batil, antara kejahatan dan kebaikan? Jawapannya, tiada lain kecuali keyakinan terhadap akhirat.

Umat yang mempunyai keyakinan seperti inilah yang layak memimpin manusia sepertimana yang pernah berlaku dalam sejarah.

Qa’idah iman yang besar

Adalah menjadi tanggungjawab bagi setiap da’i (pendakwah) tegak di atas qa’idah iman yang besar dan menyeru manusia kepadanya. Di atas qa’idah ini berdiri dan tertegaknya Din Allah Subhanahuwata’ala. Kebaikan dan kejayaan bagi kehidupan di dunia dan akhirat berpijak di atas qa’idah ini. Qa’idah ini menjadikan tidak adanya sebarang pemisahan antara Din dan dunia, antara kehidupan beragama dan kehidupan dunia, antara dunia dan akhirat. Islam itu adalah sistem yang satu untuk kehidupan dunia dan akhirat.

Qa’idah ini telah dijelaskan Allah Subhanahuwata’ala dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Dan sekiranya ahli kitab beramal dan bertaqwa tentulah Kami hapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan Kami masukkan mereka ke dalam syurga yang penuh kenikmatan. Dan sekiranya mereka bersungguh-sungguh menjalankan hukum Taurat dan Injil dan apa yang diturunkan kepada mereka daripada Tuhan mereka (al-Quran) nescaya mereka akan mendapat makanan dari atas mereka dan dari bawah kaki mereka. Di antara mereka ada yang pertengahan (jujur dan lurus) di atas kebenaran. Dan alangkah buruknya apa yang dikerjakan oleh kebanyakan mereka.”
-Surah al-Maidah: 65-66.

Ayat-ayat yang dinyatakan di atas menjelaskan asas yang besar daripada asas-asas tasawwur (konsep) Islam. Jika manusia beriman dan bertaqwa, maka akan dipadamkan kesalahan yang telah dilakukannya dan akan dimasukkan ke dalam Syurga an-Na’im. Inilah balasan di akhirat.
Sekiranya manusia merealisasi dan menegakkan sistem Allah Subhanahuwata’ala dalam kehidupannya tanpa sebarang penyelewengan, ubahsuai dan tokok tambah, sepertimana yang telah berlaku terhadap Taurat dan Injil, maka akan baiklah kehidupannya di dunia. Akan melimpah ruah rezekinya dan banyak hasil pengeluarannya. Sebaliknya, malanglah manusia yang tidak beriman, tidak bertaqwa dan tidak mendirikan sistem Allah Subhanahuwata’ala.

Ayat-ayat di atas menjelaskan bahawa beriman, bertaqwa dan merealisasikan sistem Allah Subhanahuwata’ala dalam realiti hidup, tidaklah menyebabkan seseorang itu semata-mata akan mendapat balasan di akhirat sahaja. Walaupun balasan di akhirat itu diutamakan kerana keabadiannya, tetapi dia juga akan memperolehi kebahagiaan hidup sejak di dunia lagi. Kerana itu merupakan jalan untuk kehidupan hakiki, samada di dunia mahu pun akhirat, hanyalah satu jalan, iaitu jalan iman, taqwa dan ta’at kepada sistem Ilahi. Jika rosak jalan ini, akan rosaklah kehidupan dunia dan rugilah kehidupan akhirat kelak. Rugi dunia dan rugi akhirat.
Oleh: Ustaz Abdul Hadi Othman.

No comments:

Post a Comment