Wednesday, November 11, 2009

KEMUDARATAN KUFUR (Siri 1)

Kekufuran adalah kejahilan

Kekufuran adalah kejahilan bahkan kekufuran adalah kejahilan yang hakiki.

Kejahilan terbesar dan terhina ialah kejahilan manusia terhadap Rabb. Manusia menyaksikan penciptaan alam yang besar dan berkenalan dengannya siang dan malam, tetapi dia tidak mengenali Penciptanya dan Zat yang memerintahnya.

Wahai manusia, tanyalah dirimu:
"Siapakah yang telah menciptakan batu-bata, hidrogen, oksigen, udara dan sebagainya yang tidak mempunyai nyawa dan akal?".

"Siapakah yang mengeluarkan dari alam ini makhluk yang besar dan mustahak seperti manusia?".

"Tidakkah kamu kagum menyaksikan beraneka ragam benda di setiap pelusuk alam ini?".

Alam ini berhajat dan memerlukan Zat Yang Maha Pencipta dan memiliki kemahiran yang tiada tolok bandingnya. Meskipun demikian, akal manusia masih jahil dan tidak terbimbing untuk mengenali Zat Yang Maha Mulia, Maha Bijaksana, Maha Mengetahui, Maha Pencipta dan Maha Pentadbir.

Adakah mungkin terbuka pintu ilmu yang benar pada manusia yang tidak mengenal Rabb seperti ini? Manusia yang telah sesat pangkal pengetahuannya? Manusia seperti ini tidak akan mendapat petunjuk jalan yang lurus dan ilmu yang benar meskipun penelitian, pembahasan dan penyelidikan telah sampai ke pangkal pemikiran lantaran dia mengalami kegelapan dan kejahilan di permulaan lagi. Seterusnya, dia akan terus dalam kegelapan dan kejahilan hingga akhir hayatnya.

Kekufuran adalah kezaliman

Kekufuran adalah kezaliman bahkan, kekufuran adalah kezaliman yang besar dan jahat. Ini selaras dengan makna zalim iaitu meletakkan sesuatu bukan pada tempat yang layak dan menggunakan sesuatu secara paksa dan tidak wajar mengikut fitrahnya.

Manusia telah pun maklum bahawa sesuatu yang terdapat di langit dan di bumi terikat kepada perintah Allah Subhanahuwata’ala dan difitrahkan dengan fitrah Islam (patuh). Manusia sendiri dengan tubuh badan dan segala anggotanya tidak dilahirkan melainkan di atas fitrah ini.

Allah Subhanahuwata’ala telah memberikan hak kepada manusia agar menggunakan anggota-anggota tubuh badannya mengikut kehendak fitrah. Manusia tidak boleh menggunakan anggota-anggotanya melainkan sekadar yang diredhai Penciptanya.

Manusia yang kafir kepada Allah Subhanahuwata’ala telah menggunakan anggota-anggota tubuhnya dengan cara yang tidak sesuai dengan fitrah. Dia memenuhi kehendak hatinya dengan kegelapan, membesarkan yang lain daripada Allah Subhanahuwata’ala dan cinta atau gemar kepada yang lain daripada Allah Subhanahuwata’ala.

Fitrahnya menuntut supaya hatinya dipenuhi dengan cahaya membesarkan Allah Subhanahuwata’ala, cinta atau gemar kepada-Nya dan bergantung kepada-Nya yang Maha Esa. Fitrahnya menuntut supaya seluruh anggota tubuhnya dan segala miliknya digunakan mengikut undang-undang Allah Subhanahuwata’ala.

Justeru itu, dengan nama Allah Subhanahuwata’ala, jawablah, siapakah yang lebih zalim daripada orang yang hidupnya menzalimi segala yang ada di dunia, termasuk dirinya sendiri?

Kekufuran bukan setakat zalim

Kekufuran bukan setakat zalim bahkan kekufuran juga adalah pemesongan, penentangan, pengingkaran dan kekejian.

Adakah manusia yang menjadi pemilik bagi sesuatu yang paling hampir dengannya? Siapakah yang menjadikan akal dan otaknya? Adakah dirinya sendiri atau Allah Subhanahuwata’ala? Siapakah yang menciptakan hati, lidah, dua mata, telinga, dua kaki, dua tangan dan seluruh anggota tubuhnya? Adakah dirinya sendiri atau Allah Subhanahuwata’ala? Siapakah yang memperelokkan ciptaan-ciptaan tersebut hingga boleh dipergunakan dan berfaedah? Adakah manusia sendiri atau Allah Subhanahuwata’ala?

Tidak dapat tidak jawapan bagi pertanyaan-pertanyaan tersebut adalah seluruh ciptaan itu milik Allah Subhanahuwata’ala. Dia yang telah menciptakan dan memperelokkan. Dialah Pemilik. Dialah yang telah mencampakkan nikmat-nikmatNya kepada manusia. Inilah kebenaran yang tidak dapat disangsikan lagi.

Justeru itu, siapakah yang lebih zalim, lebih derhaka dan lebih menentang daripada orang yang menggunakan akalnya berfikir untuk melawan Allah Subhanahuwata’ala? Hati dan fikirannya dipenuhi dengan perkara-perkara yang mencetuskan kemurkaan Allah Subhanahuwata’ala? Serta memaksa dua mata, dua kaki dan dua tangan untuk ber’amal dengan amalan-amalan yang mencanggahi hukum-hukum Allah Subhanahuwata’ala dan perintahNya?.

Seorang hamba biasa akan dihukum apabila dia hidup dengan rezeki tuannya tetapi tidak menjaga hak-hak tuannya hingga menjadi hamba yang ingkar.

Seorang pegawai pentadbir yang menggunakan kuasanya berlawanan dengan maslahat kerajaan akan dituduh sebagai penderhaka dan terkeluar daripada kehendak pemerintah. Seseorang itu akan dikatakan ingkar jika dia melengah-lengahkan hak tuannya demi mengejar maslahat diri.

Bukankah semuanya dari Allah Subhanahuwata’ala?

Kekufuran juga membawa kepada kederhakaan dan kelalaian terhadap hak-hak sesama manusia. Dari manakah datang rezeki manusia sehingga dia mesti berlaku baik melalui rezekinya terhadap manusia lain? Bukankah Allah Subhanahuwata’ala yang memberi rezeki, kekuatan, kekuasan dan pemerintahan? Bukankah Allah Subhanahuwata’ala yang telah menetapkan semua itu untuknya?

Manusia semestinya memberi nikmat dan berbuat baik kepada manusia lain sepertimana Allah Subhanahuwata’ala berbuat baik kepadanya. Misalnya menunaikan hak terhadap ibu bapa. Sesungguhnya hak yang paling besar bagi manusia di dunia ini ialah hak terhadap ibu bapa.

Siapakah yang telah menanamkan rasa kasih mesra dalam hati ibu bapa terhadap anak-anaknya? Siapakah yang menjadikan seseorang ibu itu menyayangi anak yang dikandung dan bersusah payah untuknya? Siapakah yang telah menanamkan dalam hati ayah perasaan sukarela dan tenang memberi nafkah untuk anak-anak daripada titik peluhnya sendiri? Kemudian dia menghabiskan banyak waktu dan harta serta bersikap lemah lembut untuk mendidik dan mengajar anak-anak?

No comments:

Post a Comment