Saturday, November 07, 2009

ISLAM SEBAGAI PENYELESAIAN (Siri 2 - Akhir)

Realiti Umat Islam Kini

Sering terdengar percakapan-percakapan dan perbincangan-perbincangan di kalangan pemuda-pemuda dan ahli-ahli fikir Islam dewasa ini mengenai keperluan umat Islam terhadap kekuatan harta benda, ilmu pengetahuan dan pelbagai bidang ikhtisas untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi umat Islam dan membangunkan hidup mereka agar lebih maju dan makmur. Namun, amat sedikit didapati perbicaraan dan tindakan yang serius tentang keperluan umat Islam terhadap keimanan sebenar, perhubungan hati dengan Allah Subhanahuwata’ala, kepatuhan kepada titah perintah-Nya dan mencari keredhaan-Nya dalam semua amalan.

Tegasnya, seseorang perlulah faham dan sedar bahawa setiap amalan yang lakukan dan wasilah yang dimiliki, tanpa bersandarkan kepada dasar keimanan terhadap Allah Subhanahuwata’ala, akan sia-sialah segala amalan dan wasilah itu di sisi Allah Subhanahuwata’ala.

Begitu banyak harta yang menjadi milik orang-orang Islam tetapi tidak menguntungkan Islam. Begitu juga halnya dalam bidang-bidang lain.

Rahsia Kejayaan Generasi Awal

Kejayaan generasi para sahabat yang dibentuk Rasulullah Sallallahu’alihiwasallam dalam mengejar matlamat hidup bukanlah kerana mereka memiliki pelbagai wasilah dan alat kelengkapan yang cukup. Rahsia kejayaan mereka ialah keimanan sejati, kepatuhan maksimum terhadap titah perintah Allah Subhanahuwata’ala dan cita-cita mendalam untuk mendapat keredhaan serta pahala daripada-Nya. Inilah rahsia menyebabkan mereka bersedia penuh menyahut setiap hajat dan keperluan Islam dari masa ke semasa. Juga rahsia yang mendorong mereka berkorban dan bangun melaksanakan setiap tuntutan Islam tanpa rasa berat walaupun menghadapi pelbagai kesukaran.

Islam berhajatkan kerja-kerja da'wah. Maka tampillah para du'at yang jujur, berani dan sabar menyampaikan risalah Allah Subhanahuwata’ala melalui lisan dan contoh teladan meskipun menghadapi berbagai halangan dan tentangan daripada musuh. Mereka tetap meneruskan kerja-kerja da'wah tanpa takut atau mundur ke belakang.

Islam memerlukan pengorbanan harta benda. Maka tampillah mereka yang memiliki harta benda dan kekayaan, lalu menginfaq kepada Rasulullah Sallallahu’alihiwasallam dengan penuh rela tanpa rasa bakhil atau sayang kepada harta benda itu. Hinggalah terdapat di kalangan mereka yang berkata kepada Rasulullah Sallallahu’alihiwasallam, "Apa yang tuan ambil daripada kami adalah lebih baik daripada apa yang tuan tinggalkan."

Islam berkehendakkan pengorbanan jiwa untuk mempertahankan kesuciannya daripada dicemari musuh. Maka berlumba-lumbalah mujahid-mujahid dan pejuang-pejuang Islam memberi khidmat suci demi menyahut panggilan Allah Subhanahuwata’ala. Sungguh banyak pengorbanan, sumbagan dan khidmat bakti mereka untuk kepentingan Islam semata-mata.

Islam Bermula Dengan Usul, Tidak Dengan Furu'

Islam tidak memulakan da'wah dengan mengenengahkan permasalahan furu' tetapi memulakannya dengan perkara usul (perkara asas atau dasar).

Islam di peringkat awal, di zaman Rasulullah Sallallahu’alihiwasallam, tidak meminta manusia agar bangun berjihad di medan peperangan, berpuasa,berzakat, meninggalkan arak, menjauhkan judi dan sebagainya. Tetapi Islam di peringkat awal meminta dan menuntut supaya beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala semata-mata. Tegasnya Islam bermula dengan 'aqidah, tidak bermula dengan taklif atau kewajipan. Aqidahlah yang menjadi asas dalam perlaksanaan taklif (kewajipan). Islam bermula dengan batin , hati dan fikiran manusia sebelum sesuatu yang lain. Dari titik tolak aqidah yang bertempat di hati akan berlakulah perubahan dan pembangunan yang hakiki, yakni pembangunan insan di tengah-tengah alam kebendaan.

Apabila perkara dasar ini menguasai hati dan fikiran mereka yang dibentuk oleh Rasulullah Sallallahu’alihiwasallam, lahirlah keperibadian ummah yang berorientasikan iman. Keperibadian itu menjadi kenyataan. Mereka iltizam dan intizam kepada titah perintah Allah Subhanahuwata’ala dan Rasulullah Sallallahu’alihiwasallam dalam berbagai aktiviti hidup pada setiap masa tanpa berhajatkan pengawasan luar. Segala sesuatu yang terdahulu menjadi masalah dalam kehidupan mereka dapat diatasi dan diselesaikan dengan senang.

Lihatlah bagaimana Rasulullah Sallallahu’alihiwasallam menyelesaikan permasalahan arak hanya melalui tiga potong ayat al-Quran al-Karim. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Mereka bertanyakan engkau (Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah bahawa kedua-duanya dosa besar dan ada manfaat-manfaat kepada manusia, dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya. Dan mereka bertanya kepadamu apa yang telah mereka nafkahkan. Katakanlah : Yang lebih dari keperluan. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu supaya kamu berfikir "
(Surah al-Baqarah: ayat 219)

Terjemahannya:
“ Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub, terkecuali sekadar berlalu sahaja, hingga kamu mandi. Dan jika kamu sakit atau sedang dalam musafir atau datang dari tempat buang air atau telah menyentuh perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air, maka bertayamumlah kamu dengan tanah yang baik (suci): sapulah mukamu dan tanganmu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun “
(Surah an Nisaa’ ayat 43)

Terjemahannya:
"Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, berhala dan tenung nasib adalah kotor dari amalan syaitan, maka hendaklah kamu menjauhinya agar kamu mendapat kejayaan."
( Surah al-Maidah: ayat 90)

Dengan tiga potong ayat tersebut permasalahan arak dapat diselesaikan oleh Rasulullah Sallallahu’alihiwasallam.

Sebaliknya, kerajaan Amerika suatu ketika dahulu pernah melarang rakyatnya meminum arak. Dijalankan dia'yah (kempen) kepada masyarakat umum menentang minuman arak. Media massa kerajaan digunakan untuk tujuan tersebut. Hinggalah undang-undang pengharaman arak dikuatkuasakan di Amerika. Kerajaan Amerika menanggung beban perbelanjaan bagi melaksanakan undang-undang tersebut sebanyak 250 juta dollar. Akibat daripada pengharaman undang-undang arak itu, seramai 300 orang dikenakan hukuman mati bersabit kesalahan arak dan 500,000 orang dipenjarakan. Denda yang dikumpulkan sebanyak 400 juta dollar. Namun akhirnya, pada tahun 1933, kerajaan Amerika terpaksa memansuhkan undang-undang pengharaman arak.

Perhatian

Setiap Muslim dan Muslimah perlu memahami secara sedar bahawa Islam sebagai peraturan hidup manusia merupakan Qadhiyyah Ilahiyyah (Permasalahan Uluhiyyah) yang bersifat samawi, tidak layak disamakan dengan peraturan-peraturan hidup ciptaan manusia. Umat Islam yang memahami hakikat ini sekali-kali tidak akan menyamakan Islam dengan mana-mana peruntukan hasil pemikiran makhluk. Setiap Muslim dan Muslimah perlu meyakini bahawa Islam merupakan Din Allah Subhanahuwata’ala untuk manusia sejagat. Mereka perlu yakin bahawa Islam sahaja mampu menyelesaikan masalah manusia lantaran Islam ditanzilkan oleh Pencipta manusia. Sesiapa yang memilih din yang lain maka dia menempa kerugian seperti mana yang diperingatkan Allah Subhanahuwata’ala dalam Firman-Nya:
"Dan sesiapa yang mencari selain Islam sebagai Din (peraturan hidup) maka sesekali tidak diterima dan ia di akhirat kelak dari golongan mereka yang rugi."
(Surah al Imraan ayat 85)

Oleh: Ustaz Dahlan Mohammad Zain.

No comments:

Post a Comment