Sunday, November 15, 2009

KALIMAH TOYYIBAH MENGANGKAT DARJAT

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam banyak menjelaskan tentang penting menjaga lisan. Imam Ghazali di awal-awal lagi, dalam bab akhlak, menerangkan tentang kepentingan memelihara lisan.

Menjaga lisan dan berdiam diri di tempat yang syubhat adalah ciri-ciri keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Berkata-kata yang baik atau diam

Dalam sebuah hadis Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menjelaskan:

من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليقل خيراً أو ليصمت
“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka dia berkata-kata dengan perkataan yang baik atau pun berdiam diri”.

Ini bermakna apabila ada yang baik maka dia akan berkata-kata, dan kalau tidak ada maka dia akan berdiam diri sahaja. Diam itu adalah iman. Berkata-kata yang baik itu juga adalah iman. Ini semua boleh mengangkat darjat seseorang itu di sisi Allah Subhanahuwata’ala.

Terdapat penjelasan daripada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bahawa seorang hamba yang mengucapkan suatu kalimah yang Allah redha, Allah akan mengangkat darjatnya.

Mungkin kata-kata yang baik itu tidak sampai ke hati pendengar, tetapi apabila Allah redha maka Allah akan mengangkat darjat orangnya. Apabila seseorang berkata perkara yang tidak baik dan Allah benci padanya, maka Allah akan menurunkan darjatnya. Walau­pun mungkin dia tidak sedar akan ucapannya. Sebab arahan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam supaya kita berkata-kata yang baik atau pun diam.

Hadis Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang bermaksud:
“Apabila kamu ragu dalam dirimu, maka lebih baik tinggalkan”.

Jika sesuatu perkara itu tidak jelas maka lebih baik kita diam sahaja atau tinggalkan. Dalam hal ini kita perlu wara’. Wara’ dalam percakapan lantaran takut boleh membawa kepada kemurkaan Allah Subhanahuwata’ala.

Banyak mendengar dan beramal

Kesalahan manusia kebanyakan berpunca daripada lisan. Wasiat Abu Darda’ yang bermaksud:

“Bersikap adillah terhadap dua telinga kamu dan mulut kamu. Dijadikan dua telinga dan satu mulut.”

Ini bermakna kita perlu banyak mendengar daripada banyak berca­kap.

Saiddina Omar Al Khattab ra. pernah berkata:

“Allah Subhanahuwata’ala merahmati seseorang yang menjaga kelebihan kata-katanya dan memberikan kelebihan amal.”

Maknanya lebih mengeluarkan amal daripada kata-kata.

Setengah daripada tarbiyah adalah kata-kata yang boleh membawa kepada petunjuk.

Asal din ialah nasihat atau berkata-kata yang benar

Asal din Islam ialah kita dikehendaki berkata-kata yang benar. Asal din Islam bukanlah berdiam diri sahaja. Namun, bila tidak ada yang benar maka lebih baik diam. Jika tidak berkata-kata yang benar maka dakwah dan kefahaman Islam tidak akan berkembang.

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: `Rabb kami ialah Al­lah’, kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan): `Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih, dan bergembiralah dengan syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu’”.
(Fushshilat : 30)

Hadis Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:

الدين النصيحة
“Ad Din itu nasihat”

Hadis Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam lagi

“Jihad yang utama ialah berkata-kata benar di hadapan raja yang zalim”.

Oleh itu kita perlu mendapat atau memiliki banyak kebaikan supaya kita dapat-dapat berkata-kata yang benar.

Namun, orang mukmin tahu bila sepatutnya dia bercakap dan bila dia perlu diam. Kadang-kadang berkata-kata itu juga membahayakan diri sendiri.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:
“Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tiada kamu kerjakan.”
(As Saff : 3)

Bahkan, antara ciri-ciri dakwah kita ialah lebih banyak beramal dari­pada propaganda.

Oleh: Ustaz Dahlan Mohammad Zain (huraian semula oleh Prof Dr Umair Siddiq)

No comments:

Post a Comment