Saturday, November 07, 2009

KE ARAH PENGHAYATAN ISLAM YANG SYUMUL (Siri 1)

Fikrah kita ialah fikrah Islam atau Din Islam. Din Islam ialah Din terawal dan kekal abadi. Din Islam yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, para sahabat RA dan pengikut-pengikut mereka hinggalah ke Hari Akhirat kelak. Din Islam ialah satu peraturan hidup yang luas, lengkap dan merangkumi semua ruang hidup.

Kita tidak boleh menambah dan mengurangkan pada mana-mana bahagian ajaran Allah Subhanahuwata’ala. Di dalam apa hal sekali pun, kita tidak boleh mendahului Islam. Kita adalah pengikut ajaran Allah Subhanahuwata’ala. Pengikut hendaklah berada di belakang.

Kita perlu menyesuaikan diri dengan Islam

Kita mestilah membentuk jiwa supaya serasi dengan ajaran Allah Subhanahuwata’ala. Jiwa dan hati hendaklah diproses dengan iman hingga sanggup patuh dan tunduk kepada semua ajaran Allah Subhanahuwata’ala.

Kita wajib memahami Islam sebagaimana yang dikehendaki Allah Subhanahuwata’ala. Kita wajib memahami Islam sebagaimana yang difahami oleh para sahabat yang menerima Islam di Madrasah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Kita tidak boleh memahami Islam sebagaimana yang manusia atau sebagaimana yang kita sendiri mahu. Kita perlu memahami Islam sebagaimana tuntutan dan kehendak Allah Subhanahuwata’ala. Kita tidak menurut hawa nafsu kita dalam memahami Islam. Kita mahukan Islam yang asli. Kita tidak mencampuradukkan ajaran Islam dengan ajaran yang lain. Kita perlu bersungguh-sungguh memahami Tasawwur Islam.

Islam sahaja yang benar

Islam sahajalah yang mampu menolak kekeliruan-kekeliruan yang terdapat pada sesetengah manusia. Kita tidak mudah terpengaruh dengan “nama-nama” yang elok sedangkan isinya kosong. Sesungguhnya orang mu’min itu cerdik, bijak serta pintar dan ia tidak mudah untuk ditipu dengan nama-nama sahaja.

Kita perlu ketengahkan fikrah Islam. Kita perlu sebarkan fikrah Islam kepada orang ramai dengan jelas dan terang. Kita tidak boleh menghilangkan walau pun satu huruf daripada fikrah Islam yang sebenar.

Untuk mendapatkan dan menyampaikan Islam sebenar, kita perlu mengambil Islam itu dari sumber-sumber yang sah iaitu al-Quran,as-Sunnah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan huraian-huraian ulama’-ulama’ muktabar. Sumber kita adalah sumber syar’i.

Seluruh bidang hidup kita perlu berpandukan Din Allah Subhanahuwata’ala. Din Islam sahajalah yang diredhai Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Sesungguhnya Din yang diredhai di sisi Allah hanya al-Islam.”
-Surah Ali-’Imran: ayat 19.

“Sesiapa yang mencari selain daripada Islam sebagai Din, maka sama sekali tidak diterima daripadanya, di akhirat kelak termasuk ke dalam golongan orang yang rugi.”
-Surah Ali ‘Imran: ayat 85.

Apabila Allah Subhanahuwata’ala tidak menerima orang yang mengambil Din yang lain, maka di akhirat kelak dia termasuk ke dalam golongan orang yang rugi. Amat rugi. Kerugian dari “kaca mata” Allah Subhanahuwata’ala. Kerugian mengikut nilai Rabb al-Jalil bukan mengikut nilai manusia.

Allah Subhanahuwata’ala juga telah memberikan kata dua kepada manusia samada memilih Islam atau kekufuran. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Dan katalah al-Haq itu datangnya dari Tuhanmu, maka barang siapa yang ingin beriman maka hendaklah ia beriman dan barang siapa yang ingin kafir hendaklah ia kafir. Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang-orang kafir itu neraka yang bergejolak mengepung mereka. Dan jika mereka meminta minum, nescaya mereka akan diberi minum air seperti besi mendidih (cair) yang menghanguskan muka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirehat yang paling jelek.”
-Surah al-Kafi: ayat 29.

Kita perlu iltizam dengan ajaran Islam dan kita persaksikan Islam dalam bentuk kehidupan. Di waktu yang sama kita wajib mempertahankan Islam. Mempertahankan kefahaman Islam sebenar.

Perlu kepada tarbiyyah

Kita perlu sedar bahawa ilmu semata-mata tidak dapat membentuk manusia agar benar-benar bertanggungjawab kepada Islam. Hari ini ramai orang mempunyai ilmu Islam tetapi Islam tidak dapat dilihat dalam praktik hidup mereka. Mereka sebenarnya masih belum beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala dengan sebenar-benar Iman. Apabila seseorang itu tidak patuh kepada Allah Subhanahuwata’ala dalam semua bidang hidup, maka bermakna imannya masih lemah.

Oleh yang demikian ilmu Islam perlu ditarbiyyah dengan Tarbiyyah Imaniyyah hingga lahir kesedaran dan kefahaman yang mendalam. Kita perlu diproses hingga kita menerima apa sahaja yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Dengan melalui proses ini, hati kita akan merasa betul dan tepat dengan tuntutan ajaran Allah Subhanahuwata’ala.

Berpuas hati hanya dengan Islam

Kita perlu terus menerus mengikut ajaran Islam tanpa berdolak dalih lagi. Islam perlu kita hayati hingga kita merasa nikmat dengannya. Hingga, apabila tidak mengamalkan Islam, kita merasakan tidak senang dan gelisah.

Perasaan tidak puas hati dengan Islam telah disumpah oleh Allah Subhanahuwata’ala di dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Maka demi Tuhanmu, mereka pada hakikatnya tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa di dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan dan mereka menerima sepenuhnya.”
-Surah an-Nisa’: ayat 65.

Ayat ini menjelaskan bahawa kita tidak dapat dikatakan benar-benar beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala dan Rasul-Nya sehinggalah kita kembali kepada ajaran Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam semua urusan, sekaligus kita redha pula kepada segala keputusan yang telah diputuskan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.

Kepatuhan yang berterusan

Kepatuhan kita kepada ajaran Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, bukanlah sekadar di dalam program-program rasmi sahaja. Jika kepatuhan kita sedemikian, bermakna Islam itu belum lagi lahir dalam bentuk malakah (sebati) pada diri dan dalam jiwa kita.

Kita memerlukan pendidikan Islam secara berterusan agar Islam menjadi sebati dengan kita. Kita perlu dididik hingga iman itu lahir dalam bentuk tindakan. Kita perlu dididik hingga kita berbuat sesuatu kerana Islam. Hidup dan mati untuk Islam. Barulah lahir ‘Ubudiyyah Lillahi Wahdah.

Sekiranya kita tidak dididik kemungkinan kita lakukan sesuatu bukan untuk Islam atau kerana yang lain daripada Allah Subhanahuwata’ala. Apabila melakukan sesuatu tidak kerana Allah maka Allah tidak akan menerima amalan tersebut.

Kerja Islam hanya untuk Allah

Apabila kita melakukan sesuatu kerja Islam, kita perlu benar-benar mencari keredhaan Allah Subhanahuwata’ala, tanpa mengambil kira keuntungan duniawi. Kita tidak memerlukan dorongan-dorongan lain untuk melakukan kerja-kerja Islam. Kita hanya mengharap janji-janji Allah Subhanahuwata’ala. Sesiapa yang lebih melakukan amal Islami dengan ikhlas maka dialah yang lebih mendapat pahala.

Bagi mereka yang hidup hanya mencari keredhaan Allah Subhanahuwata’ala, apa yang ada di sisi mereka seperti harta, tenaga dan jiwa adalah untuk Allah Subhanahuwata’ala semata-mata.

Dengan aqidah yang bersih dan amal yang ikhlas, kita akan menjadi Jund ‘Aqidah Wa Fikrah. Pahlawan yang benar-benar mempunyai sifat Jundiyyah (perajurit) yang dibina atas dasar Islam.

Dengan penyerahan total kepada Allah Subhanahuwata’ala, barulah kita boleh melahirkan tentera aqidah dan fikrah. Tentera yang menerima arahan daripada kepimpinan dalam rangka melaksanakan apa yang dituntut oleh Allah Subhanahuwata’ala. Tentera yang bekerja kerana Allah Subhanahuwata’ala bukan kerana yang lain.

Sayyidina Khalid Ibn al-Walid telah memberikan contoh kita. Ketika dia digantikan oleh Sayyidina Umar dengan ‘Ubaidah al-Jarrah sebagai panglima tinggi tentera Islam, dia tidak sedikit pun menunjukkan rasa kecewa. Katanya, “Aku berperang kerana Allah Subhanahuwata’ala bukan kerana ‘Umar”. Khalid berjuang kerana Allah Subhanahuwata’ala bukan kerana pangkat. Sememangnya kita perlu dilatih untuk mencapai tahap sedemikian. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Katakanlah: Sesungguhnya solahku, ibadahku, hidupku dan matiku untuk Allah, Tuhan sekelian alam. Tiada sekutu bagiNya dan demikian itu diperintahkan bagiku dan akulah yang pertama-tama menyerah diri kepada Allah.”
-Surah al-An’am: ayat 162-163.

No comments:

Post a Comment