Saturday, November 07, 2009

ISLAM SEBAGAI PENYELESAIAN (Siri 1)

Muqaddimah

Apa yang termuat dalam risalah ini, sebahagian besarnya, adalah petikan daripada pendapat ulamak-ulamak muktabar yang jelas fikrah serta iltizam dan intizam dengan kehidupan Islam. Saya hanya sekadar menyambung lidah, menyampaikan buah fikiran dan pengalaman mereka di sepanjang hidup dalam berbagai-bagai waqi'.

Sepatutnya tajuk "Islam Sebagai Penyelesaian" menghuraikan skop dan ruang lingkup yang luas meliputi berbagai aspek kehidupan manusia. Tetapi apa yang saya akan ketengahkan di sini menyentuh perkara asas yang menjadi dasar kepada penyelesaian masalah hidup manusia dari semasa ke semasa hingga alam ini diwarisi kembali oleh Allah Subhanahuwata’ala.

Konsep penyelesaian tersendiri

Persoalan penting, apakah yang hendak diselesaikan oleh Islam? Apakah masalah sebenar manusia yang tidak mampu diselesaikan oleh mana-mana sistem atau peraturan kecuali Islam?

Sebelum persoalan ini dijawab, perlulah difahami bahawa Islam tidak boleh dipisahkan daripada realiti hidup manusia. Kerana manusialah Islam ditanzilkan (diturunkan).

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk seluruh manusia, untuk menyampaikan berita gembira dan peringatan, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui "
(Surah Saba': ayat 28)

Risalah Muhammad Rasulullah Sallallahu’alihiwasallam adalah untuk kepentingan manusia. Manusia mempunyai sifat dan tabiat yang unik. Manusia terdiri daripada tiga fakulti iaitu rohi, 'aqli dan jasmani. Ketiga-tiga fakulti ini perlu dipandu dan dikawal oleh satu sistem yang lengkap dan bersepadu untuk melahirkan manusia atau insan yang dapat berperanan sebagai khalifah Allah Subhanahuwata’ala di muka bumi mengikut nilai Rabbani, sekali gus memperlihatkan kematangan serta kedewasaannya dalam kehidupan di dunia dan layak mengecapi kebahagiaan di akhirat kelak

Kita mengetahui bahawa setiap undang-undang atau peraturan mempunyai falsafah dan konsep tersendiri. Undang-undang dan peraturan-peraturan itu, dalam perlaksanaannya, tetap akan menghadapi masalah dan mempunyai cara-cara penyelesaian tersendiri pula.

Adalah tidak logik dan tidak adil seseorang menuntut undang-undang tertentu untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul akibat daripada perlaksanaan undang-undang yang lain.

Islam adalah undang-undang dan peraturan hidup yang lengkap. Setiap juzuk berkaitan dan berhubungan secara bersepadu membentuk kesatuan hakiki mencakup seluruh aspek kehidupan. Sekiranya Islam diberikan peluang agar tau'iyah dan tarbiyyahnya ditegakkan berdasarkan prinsip-prinsip da'wah Islamiyyah sebenar, berqudwahkan Rasulullah Sallallahu’alihiwasallam dan berpandukan sumber wahyu Allah Subhanahuwata’ala; sehingga lahir masyarakat yang rela melaksanakan undang-undang dan peraturan Islam, maka dikala itu logik dan adillah Islam dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang timbul. Lihatlah apakah Islam mampu atau tidak?

Cara Islam Menyelesaikan Permasalahan Hidup

Untuk mengetahui cara Islam menyelesaikan permasalahan hidup manusia, seseorang perlu kembali meneliti dan memahami Fiqh Da'wah Rasulullah Sallallahu’alihiwasallam. Yakni da'wah yang dibimbing oleh wahyu Allah Subhanahuwata’ala, al-Quran al-Karim. Di waktu yang sama seseorang perlulah melihat realiti masyarakat sewaktu Rasulullah Sallallahu’alihiwasallam. diutuskan dari segi politik, ekonomi dan sosial kerana dalam bidang-bidang inilah sering timbul masalah-masalah yang dihadapi oleh sesuatu masyarakat, bangsa atau negara.

Ketika mana Muhammad Rasulullah Sallallahu’alihiwasallam diutuskan, negeri Arab seperti Syam dan Yaman yang subur dan kaya dengan hasil mahsul dikuasai oleh Romawi dan Parsi. Tinggallah Hijaz, Tihamah dan Najd yang kering kontang, dilitupi padang pasir dan dimiliki secara bebas oleh orang-orang Arab yang berpuak dan berqabilah.

Kalau difikirkan secara biasa, tanpa meyakini bahawa setiap tindakan baginda bersabit dengan konsep Da'wah Islamiyyah sebenar dan metod penyampaian baginda adalah bimbingan wahyu Allah Subhanahuwata’ala, maka sudah tentu seseorang akan membuat andaian-andaian bahawa:

1. Dalam kesempatan Muhammad Rasulullah Sallallahu’alihiwasallam yang memiliki sifat-sifat kepimpinan, kewibawaan dan pernah diberi kepercayaan oleh pembesar-pembesar Quraisy untuk menyelesaikan masalah-masalah tertentu, maka sebelum baginda menjalankan Da'wah Islamiyyah kepada masyarakat, sudah tentu dengan senang baginda dapat menyatupadukan umat Arab yang berpuak dan berqabilah di bawah slogan Qaumiyyah 'Arabiyyah demi membebaskan bumi Arab dari dijajah oleh Romawi serta Parsi dan mengembalikan kuasa politik ke tangan umat Arab.

Setelah umat Arab bersatu, buminya dirampas kembali dari tangan Rumawi dan Parsi dengan semangat Qaumiyyah 'Arabiyyah dan setelah kedudukan Muhammad sebagai pemimpin kukuh maka dapatlah baginda, dengan kuasa dan kedudukan yang dimiliki, memantapkan 'Aqidah Tauhid untuk dianuti oleh masyarakat dan seterusnya mewartakan Islam sebagai cara hidup mereka.

Dengan cara ini, tentulah pada andaian seseorang yang hanya menggunakan aqal, Muhammad Rasulullah Sallallahu’alihiwasallam tidak akan menghadapi berbagai-bagai halangan, rintangan, siksaan dan tentangan yang keras daripada Kafir Qura'isy selama 13 tahun dalam usaha untuk menanamkan 'Aqidah Tauhid ke dalam hati masyarakat dan menegakkan Islam sebagai ad-Din (sistem hidup). Tetapi andaian ini bukanlah jalan yang sebenar.

2. Kesempatan yang lain, realiti ekonomi dan sumber kekayaan di zaman Rasulullah Sallallahu’alihiwasallam dikuasai oleh segolongan kecil dari masyarakat jahiliyyah. Mereka menguasai aktiviti perniagaan berasaskan riba'.

Majoriti rakyat hidup miskin dan melarat. Berdasarkan kesempatan ini, mungkin seseorang mengandaikan jika Muhammad Rasulullah Sallallahu’alihiwasallam berusaha mengajak majoriti masyarakat yang miskin dan melarat, lalu menyatupadukan mereka dalam satu saf bagi melepaskan diri daripada cengkaman golongan feudal dan meningkatkan taraf hidup mereka, nescaya Rasulullah Sallallahu’alihiwasallam dengan senang dapat mempengaruhi dan menyatukan mereka.

Selepas itu bolehlah Rasulullah Sallallahu’alihiwasallam menegakkan 'Aqidah Tauhid dan seterusnya mentatbiqkan undang-undang Islam dalam kehidupan masyarakat, tanpa bersusah payah menghadapi tentangan masyarakat Quraisy yang agresif hingga ke tahap ingin membunuh baginda. Tetapi andaian ini bukanlah jalan yang sebenar.

3. Kesempatan yang lain pula, realiti sosial dari sudut moral dan akhlak orang-orang Arab ketika itu amatlah menyedihkan. Sesiapa yang kuat dialah berkuasa. Permusuhan, kezaliman dan pergeseran sesama sendiri sering berlaku. Anak gadis ditanam hidup-hidup. Kemabukan arak, perjudian, amalan pelacuran dan seumpamanya berleluasa.

Mungkin seseorang mengandaikan sekiranya Muhammad Rasulullah Sallallahu’alihiwasallam mengisytihar dari awal-awal lagi suatu bentuk Da'wah Islamiyyah yang bertujuan membaiki moral, membentuk disiplin dan membangunkan akhlak tanpa menekankan permasalahan iman, nescaya Rasulullah Sallallahu’alihiwasallam akan mendapat sambutan dan sokongan majoriti penduduk tanah Arab.

Lebih-lebih lagi pada ketika itu masih terdapat di kalangan orang-orang 'Arab yang mempunyai sifat-sifat dan `basic morality' yang baik. Tidak perlu Rasulullah Sallallahu’alihiwasallam bersusah payah selama 13 tahun berda'wah mengajak manusia supaya beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala dan mentauhidkan-Nya. Tetapi andaian ini bukanlah jalan yang sebenar.

Allah Subhanahuwata’ala Maha Mengetahui

Sesungguhnya Allah Subhanahuwata’ala Maha Mengetahui bahawa semua andaian di atas bukan jalan yang betul untuk menyelesaikan masalah hidup manusia. Allah Subhanahuwata’ala Maha Mengetahui bahawa masalah hidup manusia tidak dapat diselesaikan tanpa melalui proses pembentukan jiwa berasaskan 'aqidah yang sahih. 'Aqidah yang akan menentukan sikap dan nilai sebenar.

Apabila 'aqidah tauhid mengambil tempat dalam hati dan jiwa para sahabat Rasulullah Sallallahu’alihiwasallam, dalam suasana mereka menghadapi berbagai halangan dan tentangan yang keras, maka terbentuklah 'Aqidah Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah Allah Subhanahuwata’ala. Aqidah tauhid menjadi keyakinan dalam jiwa mereka. Syari'ah dan peraturan Islam menjadi praktik hidup mereka.

Pencetus Dan Pengawas Yang Kuat

Apabila manusia mengenal Ilah, beribadah kepada-Nya semata-mata, membebaskan diri daripada kesultanan manusia serta hawa nafsu dan apabila kalimah Lailaha Illallah menguasai jiwa manusia, pada ketika itu Allah Subhanahuwata’ala akan menyempurnakan untuk mereka segala sesuatu termasuklah andaian-andaian seperti tersebut di atas tadi.

Dalam masa lebih kurang suku abad sahaja, bumi Arab yang terdahulu dijajah oleh Romawi dan Parsi telah dapat dikuasai oleh generasi yang dibentuk oleh Rasulullah Sallallahu’alihiwasallam melalui proses keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala dan prinsip-prinsip keimanan yang lain.

Bersihlah masyarakat 'Arab daripada sebarang bentuk kezaliman. Tertegaklah peraturan Islam pilihan Allah Subhanahuwata’ala yang adil dan saksama untuk manusia. Bersihlah jiwa dan moral masyarakat daripada saki baki jahiliyyah hingga jarang sekali hukum hudud, qisas dan ta'zir dijalankan pada generasi yang unik ini.

Inilah pencetus dan pengawas yang kuat dan rapi bertapak di dalam hati dan jiwa mereka. Pencetus dan pengawas dalaman bukan luaran semata-mata. Mereka melaku atau meninggalkan sesuatu kerana Allah Subhanahuwata’ala dan inginkan balasan yang baik daripada-Nya. Inilah rahsia sebenar yang mungkin tidak terfikir dan difikir oleh orang ramai ketika ini.

Oleh: Ustaz Dahlan Mohammad Zain

No comments:

Post a Comment