Saturday, November 07, 2009

KE ARAH PENGHAYATAN ISLAM YANG SYUMUL (Siri 2 - Akhir)

Melaksanakan Islam keseluruhannya

Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang bermaksud:
“Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada.”

Hadith ini memberi maksud bahawa kita perlu bertaqwa kepada Allah Subhanahuwata’ala kerana Islam itu telah sempurna. Kita wajib iltizam kepada Islam secara keseluruhan. Kita tidak boleh mengambil Islam sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain. Kita perlu mengambil Islam keseluruhan dan melaksanakannya dalam batas kemampuan yang kita miliki. Sememangnya kita ingin melaksanakan keseluruhan Islam, tetapi ketiadaan Daulah pada hari ini menyebabkan kemampuan kita sangat terbatas dan tidak terbela. Kita hanya dapat melaksanakan mengikut kadar kekuatan Ummah ketika ini.

Dari segi tanggungjawab, sememangnya tanggungjawab kita berbeza bentuk dan kadarnya. Orang yang telah berkahwin, kadar tanggungjawabnya lebih daripada orang yang belum berkahwin. Begitu juga dalam hal-hal lain. Kita perlu melaksanakan tanggungjawab kita sedaya yang mungkin. Dengan cara ini, InsyaAllah kita akan berada di dalam golongan orang-orang yang beriman dan beramal saleh.

Kita tidak boleh berpuas hati dengan sistem yang ada pada hari ini. Selagimana suasana zalim, fasiq dan kafir berjalan dalam masyarakat kita, kita tetap tidak berpuas hati. Kita benci terhadap sistem yang bukan Islam kerana ia adalah punca kepada segala bentuk kemungkaran yang berlaku pada hari ini. Sekiranya kita tidak membenci sistem kufur itu, maka ini menunjukkan Iman kita lemah dan sakit. Kita ketiadaan roh Islam. Roh Islam tidak lagi mengalir di dalam jiwa. Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang bermaksud:
“Seiapa yang melihat kemungkaran hendaklah ia mengubahkan dengan tangannya, sekiranya ia tidak mampu maka hendaklah ia mengubahkan dengan lisannya, sekiranya ia tidak mampu hendaklah ia mengubahkan dengan hatinya, yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.”

Kebanyakan manusia hari ini telah membeli kehidupan dunia dan menolak akhirat. Mereka menolak ajaran Islam yang syumul. Mereka mengasing dan mengenepikan dalam realiti kehidupan seharian. Islam ‘terkurung’ di dalam masjid. Islam hanya boleh diambil dari segi solah, puasa, zakat dan haji sahaja. Undang-undang Syari’ah tidak boleh diambil kerana tidak bersesuaian dengan tuntutan dan kehendak masyarakat semasa. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam sepenuhnya dan janganlah kamu menuruti langkah-langkah syaitan. Sesunguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.”
-Surah al-Baqarah: ayat 208.

Ayat di atas menyeru kita agar menerima Islam keseluruhannya.

Perlunya jama’ah

Untuk menjamin kita iltizam dengan Islam sepenuhnya, kita perlulah bersama-sama jamaah. Jamaah yang benar-benar ingin melaksanakan Islam. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam berpesan kepada Abu Huzaifah yang bermaksud:
“Hendaklah kamu berada bersama-sama jamaah Islam dan kepimpinan mereka.”

Ibn mas’ud menjelaskan tentang jamaah, katanya:
“Hendaklah kamu berada di atas kebenaran walaupun kamu berada seorang diri.”

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam memperingatkan kita dalam sabdanya yang bermaksud:
“Seiapa yang keluar daripada garis Islam maka ganjillah ia di dalam neraka.”

Hadith ini membawa erti bahawa Islam itu bersama jamaah dan imam mereka. Tanpa jamaah tiadalah Islam yang syumul. Oleh itu kita ingin berada dalam kumpulan-kumpulan yang benar-benar mengambil ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Mughirah Bin Syu’bah pernah meriwayatkan daripada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang bermaksud:
“Sentiasa akan ada satu kelompok (thaifah) di kalangan umatku ini yang sentiasa lahir membawa kebenaran sehingga datang perintah Allah Subhanahuwata’ala, iaitu Hari Qiamat. Kumpulan ini akan ada bila-bila masa sehingga Allah Subhanahuwata’ala memusnahkan alam ini.”

Kumpulan ini tetap ada. Kita perlu mencari untuk menyertainya. Apabila kita bersama-sama kumpulan ini, barulah kita dapat melaksanakan Islam secara syumul. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Mereka itulah orang-orang yang telah Kami berikan kepada mereka kitab, hikmah dan kenabian. Jika orang-orang (Quraisy) itu mengingkarinya, maka sesungguhnya Kami akan menyerahkannya kepada kaum yang sesekali tidak mengingkarinya.”
-Surah al-An’am: ayat 89

“Mereka itulah orang-orang yang telah diberi pertunjuk oleh Allah, maka ikutilah mereka. Katakanlah: Aku tidak meminta upah kepadamu dalam menyampaikan da’wah ini. Al Quran itu tidak lain hanyalah peringatan untuk seluruh alam.”
-Surah al-An’am: ayat 90

Akan kedapatan kumpulan yang ingin menyambung risalah Islam ini. Sekiranya da’wah ditolak di suatu tempat maka di tempat lain da’wah itu diterima. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam adalah contoh terbaik. Baginda ditolak di Makkah tetapi diterima di Madinah. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah menunjukkan bahawa inilah jalan yang perlu dilalui. Kita akan menurutinya tanpa banyak soal dan bicara. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam adalah utusan Allah Subhanahuwata’ala. Kita yakin dengan penuh terhadap baginda.

Jamaah yang menjaga, iltizam dan intizam dengan Islam itulah yang perlu kita berada di dalamnya. Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang bermaksud:
“Umat Nasrani akan berpecah kepada 71 puak, umat Yahudi akan berpecah kepada 72 puak dan umatku akan berpecah kepada 73 puak. Hanya satu puak sahaja yang akan selamat.” Tanya para sahabat, “Puak yang manakah yang akan berjaya ya Rasulullah?” Baginda menjawab, “Kumpulan yang mana aku dan sahabat-sahabatku berada di atasnya.”

Hadith ini menjelaskan bahawa kumpulan yang berjaya ialah kumpulan yang benar-benar mengikut Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan sahabat-sahabat baginda. Kumpulan yang lain tidak akan berjaya. Kejayaan sebenarnya hanya ditentukan oleh Allah Subhanahuwata’ala. Manusia hanya berkewajipan berusaha dan Allah yang menentukan natijah.

Kita hanya berusaha dan bertawakkal

Generasi Al Qur’an pertama, iaitu para sahabat RA, ada antara mereka yang belum sempat melihat natijah Islam tetapi telah sanggup disiksa dan dibunuh. Mereka sanggup berkorban apa sahaja demi menegakkan Islam dan mewujudkan masyarakat yang menepati kehendak Allah Subhanahuwata’ala. Mereka bersabar dalam melaksanakan tuntutan aqidah. Apabila keluarga Yasir telah disiksa maka Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang melalui tempat dia disiksa berkata:
“Bersabarlah wahai keluarga Yasir, sesungguhnya tempat kembali kamu adalah Jannah (syurga).”

Yang paling baik bagi kita ialah terus berusaha, bekerja dan berkorban untuk mengajak masyarakat kembali kepada al-Islam. Kita berdoa kepada Allah Subhanahuwata’ala agar kita digolongkan di dalam Kafilah Da’wah atau Kafilah Mujahidin. Sekiranya kita tidak mahu melakukan kerja-kerja ini maka bermakna kita menolak kurniaan Allah Subhanahuwata’ala. Balasan yang baik hanyalah ketentuanNya. Kita perlu sentiasa berdo’a agar kita sentiasa berada dalam rahmat dan redha-Nya.

No comments:

Post a Comment