Wednesday, November 11, 2009

JAHILIYYAH HARI INI (Siri 2 - Akhir)

Jahiliyyah terdapat ciri-cirinya dan boleh dilihat dari sifat-sifat berikut:

1) Tidak beriman sebenarnya dengan Allah Subhanahuwata’ala.
Jahiliyyah itu kelihatan dalam macam-macam keadaan, tindakan dan aktiviti. Mereka tidak menyerahkan semua urusan mereka kepada Allah Subhanahuwata’ala dan tidak beriman sepenuhnya kepada Allah Subhanahuwata’ala. Iman yang sebenarnya ialah dengan menjadikan Allah Subhanahuwata’ala sahaja sebagai Ilah. Hanya perintah dan undang-undang Allah Subhanahuwata’ala sahaja yang diterima dan patuh. Jika tidak demikian maka Uluhiyyah kepada Allah Subhanahuwata’ala kita masih tidak sempurna.

2) Mengikut hawa nafsu.
Jahiliyyah dan hawa nafsu adalah seiringan. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik. “
( Surah al Maa-idah : 49 )

Hendaklah kamu berjaga-jaga kerana mereka memutar belitkan kamu dengan apa yang diturunkan oleh Allah Subhanahuwata’ala. Jangan biarkan mereka mengelirukan kita. Sebahagian dari hukum Allah Subhanahuwata’ala telah dikelirukan oleh jahiliyyah. Sekiranya hawa nafsu menghukum walaupun mengikut syara' maka masih dikira sebagai jahiliyyah. Sekiranya Iman dan Islam menghukum maka hukuman adalah sebenarnya menurut apa yang dikehendaki oleh Allah Subhanahuwata’ala. Hakikat hawa nafsu sebenarnya berbeza mengikut keadaan dan masa.

3) Taghut.

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Allah pelindung bagi orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (jahiliyyah) kepada cahaya (keimanan). dan orang-orang kafir, pelindung-pelindungnya adalah taghut, yang mengeluarkan mereka dari cahaya kepada kegelapan. mereka itu adalah penghuni neraka, kekal mereka di dalamnya. "
(Surah al-Baqarah: ayat 257.)

Orang-orang beriman dan berjuang (berperang) kepada Allah Subhanahuwata’ala tetapi orang-orang jahiliyyah berjuang bermati-matian mengikut perintah taghut.

No comments:

Post a Comment