Wednesday, November 11, 2009

KE ARAH MEMPEROLEHI NI’MAT ALLAH SWT

Dasar kita

Tarbiyyah Islamiyyah yang sahih akan menentukan samada kita akan dapat atau tidak kenikmatan yang telah Allah Subhanahuwata’ala sempurnakan. Kita perlu mentarbiyyah apa yang ada dalam jiwa kita untuk layak memperolehi kenikmatan yang hakiki. Hakikat ini telah dibuktikan 14 abad yang lalu. Ia akan tetap hingga hari Qiamat. Ia tidak akan berubah.

Dasar yang kita hayati di mana-mana sahaja ialah bahawa kita tidak akan mengabdikan diri kepada ilah-iLah yang lain selain daripada Allah Subhanahuwata’ala. Dasar atau hakikat ini telah kabur dalam masyarakat kita. Dasar ini perlulah diketengahkan untuk melahirkan pengabdian yang sebenar.

Bersih dan sabar

Dengan jiwa yang bersih barulah ni’mat Allah Subhanahuwata’ala dapat dirasai. Barulah dapat disedari bahawa nikmat Allah Subhanahuwata’ala itu tidak terkira. Ini kerana ni’mat Allah Subhanahuwata’ala yang sebenar diberikan kepada hamba-hambaNya yang patuh kepada-Nya semata-mata di setiap masa dan tempat. Sesungguhnya Allah Subhanahuwata’ala adalah sebesar-besar punca kenikmatan.

Kita juga perlukan manusia yang berjiwa bersih sebagai tenaga penggerak di dalam satu jamaah yang padu. Tenaga-tenaga penggerak yang berjiwa bersih akan dapat melaksanakan program da’wah dan tarbiyyah (pendidikan) ‘aqidah yang sebenarnya.

Juga, bersama-sama dengan kekuatan persaudaraan, mereka berusaha menegakkan Islam di tengah-tengah masyarakat yang leka dengan kemungkaran. Tertegaknya Islam merupakan obor kepada seluruh ummat. Keadilan akan tercapai. Kezaliman, kemungkaran dan kedurhakaan kepada Allah Subhanahuwata’ala akan dibenteras.

Kita juga perlu kepada kesabaran. Kita, sebagai tenaga penggerak Islam, perlulah bersikap sabar. Kita perlu bersabar dalam usaha untuk mewujudkan masyarakat Islam. Sikap sabar yang sebenar hanya akan lahir melalui tarbiyyah imaniyyah yang jelas.

Melihat masyarakat dengan kasihan belas

Untuk mengembalikan ni’mat Allah Subhanahuwata’ala, kita perlu ada sikap kasihan belas. Kita kasihan melihat fitrah manusia yang melakukan mungkar, mendewa-dewakan makhluk dan meninggalkan apa yang Allah Subhanahuwata’ala perintahkan.

Justeru itu kita perlu bertindak merubah dan menolong mereka agar meninggalkan kemungkaran. Punca kemungkaran perlu dihapuskan. Perlu kita jelaskan kepada mereka tentang pengertian atau konsep ‘makhluk’. Bahawa makhluk sama sekali tidak boleh didewa-dewakan.

Mengadakan persediaan

Penentangan daripada pendokong-pendokong kemungkaran kita hadapi dengan penuh persediaan. Antara persediaan yang perlu ialah memahami realiti musuh dengan sebenar-benarnya. Sekaligus membina kita seperti kekuatan iman, ukhuwwah dan persaudaraan.

Persediaan iman yang kuat tidaklah boleh didapati semata-mata melalui ceramah yang bersemangat. Ia juga tidak boleh didapati melalui ilmu yang banyak tanpa amal. Iman yang kuat akan lahir melalui satu program tarbiyyah Islamiyyah yang bersih, lengkap dan teratur. Juga melalui tarbiyyah Islamiyyah yang merujuk kepada sumber-sumber al-Quran, as-Sunnah dan sejarah para sahabat. Sumber-sumber yang bersih tanpa campur aduk.

Setelah kita dilatih dengan program tarbiyyah Islamiyyah yang betul dan dengan bahan-bahan yang jelas, maka barulah boleh kita dikatakan bersedia untuk mengatur langkah penyeruan Islam dan menghadapi rintangan-rintangan.

Tidak ada kerehatan dalam memperkata dan menegakkan Islam. Kita mesti terus mengenengahkan perintah Allah Subhanahuwata’ala sambil meninggalkan larangan-Nya.

Renungan

Renungilah sebagai panduan firman-firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum itu sehinggalah mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka.”
-Surah ar-Ra’d: ayat 11.

“Ya Tuhan kami, limpahlah kesabaran kepada kami dan matikanlah kami dalam keadaan kami menyerah diri (kepada-Mu).”
-Surah al-’Araf: ayat 126.

“Ya Tuhan kami, limpahlah kesabaran kepada kami dan kukuhlah pendirian kami serta tolonglah kami terhadap orang-orang kafir.”
-Surah al-Baqarah: ayat 250.

“Bahawa sesungguhnya ia tidak berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir.”
-Surah Yusuf: ayat 87.

“(Ibrahim) berkata: "Tidak ada orang yang berputus asa dari rahmat Tuhan-nya, kecuali orang-orang yang sesat". -Surah al-Hijr: ayat 56.

No comments:

Post a Comment