Tuesday, November 10, 2009

NILAI HIDUP MENURUT ISLAM (Siri 2 - Akhir)

NILAI ALLAH

Islam telah ditetapkan oleh Allah Subhanahuwata’ala sebagai satu sistem hidup yang sempurna. Telah ditentukan bahawa penilaian yang tinggi dan keuntungan hanya diberikan kepada mereka yang beriman serta menghayati Islam dalam kehidupan mereka. Hal ini telah ditegaskan oleh Allah Subhanahuwata’ala dalam firmanNya yang bermaksud:
“Demi masa, Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran “
(Surah Al Asr : 1 – 3)

As Syahid Sayyid Qutb ketika menghuraikan ayat ini telah menjelaskan bahawa iman merupakan dasar hidup yang amat penting bagi membuahkan hasil yang baik dan bernilai dalam seluruh cabang hidup. Mana-mana amalan yang tidak lahir dari keimanan, maka ia tidak bernilai di sisi Allah Subhanahuwata’ala. Allah Subhanahuwata’ala telah membuat perbandingan di dalam firmannya yang bermaksud:
“Orang-orang yang kafir kepada Tuhannya, amalan-amalan mereka adalah seperti abu yang ditiup angin dengan keras pada suatu hari yang berangin kencang. Mereka tidak dapat mengambil manfaat sedikitpun dari apa yang telah mereka usahakan (di dunia). Yang demikian itu adalah kesesatan yang jauh “
(Surah Ibrahim : 18)

“Dan orang-orang yang kafir amal-amal mereka adalah laksana fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh orang-orang yang dahaga, tetapi bila didatanginya air itu dia tidak mendapatinya suatu apapun. Dan didapati nya (ketetapan) Allah disisinya, lalu Allah memberikan kepadanya perhitungan amal-amal dengan cukup dan Allah adalah sangat cepat perhitunganNya. “
(Surah An Nur:39)

Amalan Soleh itu adalah buah iman. Iman itu hidup dan bergerak melahirkan amalan yang soleh. Inilah iman Islam. Iman itu bergerak, bekerja dan membangun menuju kepada matlamat Ilahi. Ia tidak semata-mata tersimpan beku di lubuk hati. Ia juga bukan semata-mata angan-angan atau sekadar niat baik sahaja tanpa diamalkan.

PEMBENTUKAN JAMAAH

Untuk menyempurnakan tanggungjawab menurut Sistem Islam, maka perlulah kepada pembentukan Jamaah Ummah Islamiyyah. Yakni jamaah yang ada kesedaran untuk bangun menghayati dan menegakkan Islam. Jamaah di mana anggotanya, pimpin memimpin, bimbing membimbing antara satu sama lain dalam suasana ukhuwwah dan kasih sayang sejati kerana Allah sw.t. .

Hendaklah kita sedari bahawa memperkatakan yang haq itu adalah suatu yang wajib, namun terpaksa menghadapi berbagai-bagai kesukaran serta halangan. Din atau sistem Islam itu adalah haq (kebenaran) yang wajib dibangunkan, tetapi ia tidak dapat tertegak melainkan di dalam kawalan jamaah yang sudah terbentuk.

SABAR

Perlu juga diinsafi bahawa kerja-kerja menegakkan iman, amal soleh dan mengawal yang haq itu adalah kerja yang amat sukar bagi individu dan jamaah. Maka ia memerlukan kepada satu senjata, iaitu kesabaran. Yakni sabar dalam jihad samada jihad hawa nafsu atau lain-lainnya, sabar menanggung penderitaan dan kesukaran, sabar menghadapi kemungkaran dan kemaksiatan yang berleluasa, sabar melalui masa yang panjang dan peningkatan yang lambat dan sabar untuk menuju matlamat yang jauh di dalam perjuangan hidup ini.

Hal ini memerlukan kepada jamaah yang mana anggota-anggotanya hidup dalam ukhuwwah dan bimbing membimbing dengan kesabaran. Dalam suasana
ini barulah Sistem Islam boleh hidup subur dan menghasilkan buah-buah (natijah) yang baik lagi bernilai.

MODEL

Model jamaah yang tinggi dan agung telah lahir di zaman Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan para sahabat. Adalah perlu sekali kita mengambil contoh teladan mereka dalam usaha kita membentuk jamaah kini. Generasi pertama tersebut telah memiliki sifat-sifat dan ciri-ciri penting hingga melayakkan mereka menjadi ummat terbaik.

Berikut disenaraikan beberapa ciri yang terpenting seperti yang dijelaskan oleh Al Allamah Abu al Hasan Ali al Husni an Nadawi dalam kitabnya, Maza Khasira al ‘Alam Bi Inhitat al Muslimin. Rumusan beliau ialah:

1) Mereka berpegang teguh kepada Syariat Ilahi.Mereka sesekali tidak mencipta undang-undang menurut hawa nafsu mereka.

2) Mereka telah melalui proses Tarbiyyah (didikan) dan Tazkiyyah (pembersihan) jiwa dalam jangkamasa yang lama di bawah pimpinan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam hingga lahir sifat-sifat terpuji. Jawatan dan tugas disifatkan sebagai amanah dan ujian daripada Allah Subhanahuwata’ala , bukan kemegahan atau kebanggaan.

3) Perkhidmamatan mereka Lillah (kerana Allah Subhanahuwata’ala), tidak kerana yang lain. Mereka bekerja untuk mengeluarkan manusia daripada perhambaan sesama makhluk kepada perhambaan hanya kepada Allah Subhanahuwata’ala semata-mata. Kemuliaan hanyalah bagi orang-orang yang bertaqwa.

4) Mereka membina tamaddun yang soleh meliputi kemajuan rohani, jasmani dan aqli. Semua bidang hidup dikuasai oleh nilai dan akhlak Islam, meliputi bidang pentadbiran, ekonomi, sosial dan politik.

Sehubungan dengan itu juga Prof. Muhammad Qutb, pernah menjelaskan bahawa dasar hidup mereka dibina di atas kata-kata Allah Subhanahuwata’ala, seperti firmanNya yang bermaksud:
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahKu dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq. “
(Surah An Nur : 55)

Erti memperhambakan diri kepada Allah Subhanahuwata’ala itu menurut tafsirannya ialah tetap berjalan di atas sistem dan peraturan Allah Subhanahuwata’ala. Inilah manhaj yang digunapakai oleh mereka dalam semua bidang kehidupan.

Demikianlah gambaran umum mengenai jamaah Islam yang hidup menjunjung perintah-perintah Allah Subhanahuwata’ala yang disifatkan oleh Allah Subhanahuwata’ala sebagai umat terbaik dan menjadi model untuk seluruh manusia.

No comments:

Post a Comment