Tuesday, November 03, 2009

KESEDARAN ISLAM SEBENAR

Muqaddimah

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Dan manusia itu memohon (datangnya) bahaya, sebagaimana mereka memohon (datangnya) kebaikan dan manusia itu adalah tergesa-gesa ."
(Surah al-Isra': ayat 11 )

“Dan Kami telah tetapkan terhadap mereka di dalamnya (Taurat) bahawasanya jiwa (dibalas) dengan jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi dan luka-luka (pun) ada kisasnya. Barangsiapa yang melepaskan (hak kisas) nya, maka melepaskan hak itu (menjadi) penebus dosa baginya. Barangsiapa yang tidak menghukum dengan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. “
( Surah al Maa-idah : 45 )

Kehilangan Islam Dalam Praktik Hidup Masyarakat

Praktik hidup umat Islam kini sedang menolak keterangan al-Quran al-Karim. Ini bererti mereka menolak kekuasaan, kedaulatan dan janji-janji Allah Subhanahuwata’ala. Juga bererti menolak cara hidup yang diredhai Allah Subhanahuwata’ala untuk difahami, disedari, diyakini dan dilaksanakan.

Keyakinan umat mestilah dibina semula agar mereka merasai betapa pentingnya rahmat Allah Subhanahuwata’ala dan mempertahankannya dalam kehidupan mereka. Seterusnya, agar penolakan terhadap rahmat Allah Subhanahuwata’ala dirasakan sebagai satu ancaman keras yang sentiasa membahayakan keselamatan jiwa, fikiran dan amalan.

Kesan daripada penolakan tadi, umat kini kehilangan Daulah Islamiyyah, tamaddun Islam, Ummah Islamiyyah, hukum-hukum Islam, Tarbiyyah Islamiyyah ke arah 'Ubudiyyah, nilai hidup sebenar, akhlaq sebenar, keperibadian sebenar, pembangunan sebenar, kekuatan sebenar, pertahanan sebenar, keharmonian sebenar dan kejayaan sebenar.

Punca

Penolakan umat terhadap Islam berpunca dari 'aqidah yang lemah. 'Aqidah yang tidak berfungsi untuk kembali kepada Islam sebagai ad-Din. 'Aqidah yang sakit lantaran dipengaruhi dan diserang oleh Din atau cara hidup bukan Islam.

Berbagai-bagai penyakit menyerang jiwa, fikiran dan tingkahlaku umat hingga Islam kembali menjadi dagang. Islam sebagai ad-Din turut dagang di hati orang-orang yang mengaku beriman. Rasa cinta kepada Islam sebagai cara hidup yang Allah redhai sudah tiada. Rasa keperluan kepada pembentukan masyarakat Islam juga tiada. Yang wujud ialah realiti mempertikaikan kehendak-kehendak Allah Subhanahuwata’ala. Ini bererti mempertikaikan ketaatan yang Islam kehendaki, mempertikaikan nilai-nilai syara', mempertikaikan akhlaq dan mempertikaikan keperibadian Islam.

Suasana Kabur

Pendokong-pendokong sistem kini, yang mendaulatkan Din rekaan manusia turut menggembar-gemburkan syi'ar atau lambang Islam di waktu dan ketika tertentu. Kesungguhan mereka menonjolkan syi'ar atau lambang itu selaras dengan kesungguhan mereka mempertahankan Din rekaan manusia. Tanpa kefahaman dan kesedaran sebenar, umat Islam terpengaruh dengan syi'ar atau lambang yang dihiaskan. Semua ini menimbulkan salah faham dan prasangka pada diri umat. Yang haram telah dihalalkan dan yang salah selalu dibenarkan. Nilai syara' diketepikan. Umat tidak sedar dan larut dalam suasana perhambaan sesama manusia. Inilah satu kezaliman besar yang mesti segera disedari atau disedarkan kepada umat.

Siapakah Yang Akan Menyambut Seruan Kesedaran?

InsyaAllah di sana sini masih ada insan yang ikhlas dan merasai keperluan untuk bertindak segera. Mereka perlu dikumpulkan dan dibimbing agar keikhlasan mereka berada di bawah telunjuk syara'. Begitu juga kembali kepada Allah Subahanahuwata’ala mestilah mengikut cara yang betul dan diredhaiNya.

Da'i perlu keluar mencari jiwa-jiwa yang merasai kehilangan rahmat Allah Subahanahuwata’ala dan yang mencari serta ingin menyahut seruan Allah Subahanahuwata’ala fitrah insaniah untuk kembali kepada fungsi tauhid sebenar sememangnya ada. Ada yang sanggup melalui proses, ada yang sedang melalui proses dan ada yang telah melalui proses. Ada juga yang lambat melalui proses. Da'i atau murabbi perlulah bijaksana menggunakan teknik dan cara bertindak.

Dasarnya adalah firman Allah Subahanahuwata’ala yang bermaksud:
”Wahai Nabi cukuplah Allah bagimu dan yang mengikuti kamu terdiri dari orang-orang yang beriman. "
( Surah al Anfaal : 64 )

Juga ditegaskan bahawa da'i perlu mencari dan mengumpulkan hati-hati yang merasai kehilangan rahmat Allah Subahanahuwata’ala. Hati-hati yang merasai kehilangan neraca syara' dalam praktik hidup umat sekarang. Hati-hati yang ingin kembali kepada hakikat hidup yang memperhambakan diri hanya kepada Allah Subahanahuwata’ala dalam setiap bidang.

Hati-hati ini perlu diasuh agar menyedari kehilangan Islam sebagai ad-Din. Umat Islam bukanlah kehilangan ekonomi Islam, politik Islam atau pembangunan Islam sahaja. Umat Islam juga bukan kehilangan masjid dan rumah-rumah ibadat. Umat sebenarnya kehilangan pokok, bukan ranting-ranting. Umat kehilangan rumah, bukan bahagian-bahagian rumah. Juga, umat bukan kehilangan kuantiti tetapi kehilangan kualiti yang ingin mengambil Islam sebagai ad-Din.

Hati-hati ini perlu diasuh agar memahami bahawa penyakit sedang menyerang umat dan merosakkan 'aqidah umat. Tauhid pada hati-hati umat semakin futur (lemah) atau tidak berfungsi dengan betul.

Hati-hati ini perlu diasuh agar menyedari bahawa segala tindakan berpunca dari permasalahan aqidah yang mesti dirungkai (diselesaikan) terlebih dahulu. Juga, memahami makna dan fungsi Iman sebenar agar tindakan yang lahir selaras dengan tuntutan Iman. Iman kepada Allah Subahanahuwata’ala adalah pemancar. Dari pemancar ini lahirlah kerja-kerja Islam.

Da'i atau murabbi perlu memahami bahawa `mukmin' adalah natijah yang lahir daripada tarbiyyah yang menekankan keimanan kepada Allah Subahanahuwata’ala. Terdapat perbezaan antara tarbiyyah dan natijah tarbiyyah.

Punca Kekuatan

Iman kepada Allah Subahanahuwata’ala adalah satu kekuatan. Quwwah Imaniyyah perlu dibina sebelum Quwwah Maddiyyah. Iman akan membentuk segala dorongan atau kekuatan yang ada dalam hati. Kekuatan-kekuatan itu termasuklah: Kesedaran, Ketaatan, Keikhlasan, Kepatuhan, Keinginan, Kesabaran, Kecintaan, Ketabahan, Kemesraan, Kesyukuran, Keberanian dan Kesungguhan.

Kekuatan ilmu pengetahuan perlu dipelajari, dituntuti dan didalami. Kekuatan harta kekayaan perlu diperkukuhkan. Kekuatan tubuh badan dan ketenangan mental perlu dipelihara dan dipertingkatkan.

Semua kekuatan itu perlu diproses agar berada di bawah telunjuk Iman.

Dalam realiti kini, kekuatan-kekuatan tersebut telah dididik oleh Din bukan Islam untuk mengenepikan cara hidup Islam, menolak nilai Allah Subahanahuwata’ala, mengutamakan nilai manusia, mencemarkan kesucian Islam, menyusahkan kefahaman Islam dan merosakkan kesedaran atau keyakinan terhadap Islam.

Da'i atau murabbi perlu mencari kekuatan-kekuatan itu dan memproses dalam Manhaj Tarbiyyah agar dipandu oleh Iman kepada Allah Subahanahuwata’ala. Iman yang mengarahkan setiap kekuatan itu untuk melahirkan suatu hasil yang kena pada tempat, masa dan ketika serta selaras pula dengan kehendak Allah Subahanahuwata’ala atau syara' serta tuntutan Tarbiyyah Islamiyyah.

Dalam suasana kehilangan Islam kini, semua kekuatan itu perlu ditarbiyyah oleh jama'ah atau harakah yang bebas daripada sebarang pengaruh jahiliyyah. Hanya tarbiyyah yang betul akan membawa seseorang kepada cara hidup Islam, sepertimana yang dikehendaki Allah Subahanahuwata’ala

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk dan yang diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala. Dan (diharamkan juga) mengundi nasib dengan anak panah, (mengundi nasib dengan anak panah itu) adalah kefasikan. Pada hari ini orang-orang kafir telah berputus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada Ku. Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmat Ku dan telah Ku redhai Islam itu menjadi agama bagimu. Maka barangsiapa terpaksa kerana kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. “
( Surah al Maa-idah : 3 )

Hati juga perlu diproseskan agar bertambah benci dan marah terhadap kekufuran, kefasiqan, kezaliman, kemaksiatan dan kemungkaran. Kekufuranlah yang telah menanam neraca serong terhadap segala tuntutan Allah Subahanahuwata’ala

Tarbiyyah Islamiyyah Harakiyyah

Tarbiyyah Islamiyyah Harakiyyah adalah merujuk kepada Madrasah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Tarbiyyah berbentuk gerakan akan melaksanakan tarbiyyah yang haq tanpa mengira pertimbangan atau desakan lain. Memperkatakan yang haq tidak boleh berlembut, mengampu atau melayani hawa nafsu.

Firman Allah Subahanahuwata’ala yang bermaksud:
"Dan katakanlah kebenaran itu dari Tuhanmu, maka sesiapa yang ingin beriman dia beriman dan sesiapa yang ingkar maka dia ingkar. Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang-orang yang zalim itu neraka, yang gejolaknya mengepung mereka. Dan jika mereka meminta minum, nescaya mereka akan diberi minum dengan air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan muka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirehat yang paling jelek "
(Surah al-Kahfi: ayat 29.)

Sumber tarbiyyah dan pembentukan ummah ialah wahyu Allah Subahanahuwata’ala semata-mata agar selaras dengan tujuan untuk melahirkan anggota-anggota yang yakin kepada jalan Allah Subahanahuwata’ala.

Firman Allah Subahanahuwata’ala yang bermaksud:
"Kebenaran itu dari Tuhanmu, oleh itu janganlah kamu termasuk golongan yang ragu-ragu. “
(Surah al-Baqarah: ayat 147.)

Tegasnya, al-Quran dan as-Sunnah adalah sumber-sumber yang mendidik, mengasuh, memimpin, menerang, menjelas dan memperingat. Juga sumber perundangan dan sumber yang memberikan jaminan-jaminan tidak kedapatan sumber-sumber yang lain.

Tarbiyyah Islamiyyah mempunyai konsep Mu'alajah Syamilah atau mengubati secara menyeluruh. 'Aqidah umat yang telah diserang oleh Din bukan Islam kini mestilah diubati secara keseluruhan.

Tarbiyyah dalam sistem kini mendidik umat untuk menerima Din bukan Islam dan menentang Islam sebagai cara hidup yang menyeluruh. Tarbiyyah ini mendidik umat untuk menerima sebahagian sahaja daripada ajaran Islam. Tarbiyyah itu juga mendidik umat untuk mengambil surat khabar dan majalah-majalah yang menyokong Din bukan Islam sebagai sumber fatwa. Sumber al-Quran dan as-Sunnah diketepikan atau direndah-rendahkan.

Tarbiyyah Islamiyyah perlu membina asas baru untuk dibangunkan atasnya Islam yang merangkumi setiap bidang kehidupan. Asas untuk Islam ini mesti dibina mengikut cara yang dikehendaki Allah Subahanahuwata’ala dan tidak mengikut cara-cara yang lain, meskipun berhadapan dengan tekanan-tekanan. Tarbiyyah Islamiyyah perlu memproses Iman yang membawa kesan dalam hati serta melahirkan perubahan-perubahan selaras dengan peningkatan iman.

Hati-hati perlu dididik agar membuang kezaliman dan kebatilan yang ada padanya serta melahirkan amalan hidup mengikut syara'. Hati-hati perlu dididik agar memahami dan menyedari makna serta peranan jihad yang berterusan. Hati-hati juga perlu dididik agar memahami konsep kejayaan sebenar iaitu kejayaan di sisi Allah Subahanahuwata’ala. Didikan terhadap hatilah yang akan memudahkan itu semua.

Tarbiyyah dalam sistem kini telah mendidik hati-hati umat untuk menerima dan mengikut kaedah majoriti manusia. Kaedah ini hanya memenuhi prasangka dan kemahuan hawa nafsu majoriti manusia sahaja. Asas-asas yang dibina itu mesti dirobohkan dan di atas runtuhan itu dibina asas baru untuk menerima dan mengikut syara'.

Firman Allah Subahanahuwata’ala yang bermaksud:
"Dan jika kamu mengikuti kebanyakan orang yang di muka bumi nescaya mereka akan menyesatkan kamu daripada jalan Allah. Mereka tidak lain hanya mengikuti prasangka belaka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (kepada Allah Subahanahuwata’ala). "
(Surah al-An'am: ayat 116)

Asas keimanan yang kukuh mesti dibina semula untuk menolak semua serangan yang cuba menguasai hawa nafsu. Iman mestilah dilatih agar mengawasi hawa nafsu. Jangan biarkan hawa nafsu menguasai Iman dan menggadaikannya. Penguasaan hawa nafsu bakal membawa kepada kesesatan.

Firman Allah Subahanahuwata’ala yang bermaksud:
"Maka jika mereka tidak menjawab (tentanganmu), ketahuilah bahawa sesungguhnya mereka hanyalah mengikuti hawa nafsu mereka semata-mata. Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang mengikuti hawa nafsunya dengan tidak mendapat pertunjuk daripada Allah sedikit pun. Sesungguhnya Allah tidak memberi pertunjuk kepada orang-orang yang zalim. "
(Surah al-Qashash: ayat 50.)

Hanya mereka yang yakin dan terlibat dengan Tarbiyyah Islamiyyah sepenuhnya akan merasai setiap perkembangan atau perubahan, samada mengukuhkan harakah atau pun melemahkan harakah. Kesan tarbiyyah akan jelas kelihatan dalam persaksian anggota-anggota samada mewakili harakah atau pun tidak. Kesan tarbiyyahlah yang menyebabkan anggota-anggota merasai hubungan dengan harakah di mana sahaja dia berada.

Anggota-anggota ditarbiyyahkan agar sentiasa mewakili Islam dan menolak Din bukan Islam di mana sahaja, meskipun Din bukan Islam itu nama-nama yang baik daripada Islam.

Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam

"Kekafiran adalah Millah (jalan) yang satu."

Konsep Kejayaan Bagi Anggota-anggota Harakah Islamiyyah

Konsep kejayaan ialah mengikut apa yang ditentukan oleh Allah Subahanahuwata’ala Konsep ini berbeza dengan konsep-konsep yang sering dilaung-laungkan oleh Din bukan Islam atau oleh mereka yang terpengaruh dengan Din bukan Islam.

Firman Allah Subahanahuwata’ala yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara. Kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat. “
( Surah al Hujurat : 10 )

Kejayaan besar akan diperolehi jika Iman anggota-anggota dibentuk dengan betul hingga melahirkan ukhuwwah seperti yang dikehandaki Allah Subahanahuwata’ala.

Firman Allah Subahanahuwata’ala yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah orang yang beriman hanya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka di jalan Allah. Mereka itulah golongan yang benar. "
(Surah al-Hujurat: ayat 15. )

Kejayaan tercapai apabila anggota-anggota beriman hanya kepada Allah Subahanahuwata’ala dan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam sahaja tanpa ragu-ragu. Terbukti pula kebenaran Iman mereka dengan pengorbanan harta dan jiwa. Inilah Iman yang Allah Subahanahuwata’ala akui sebagai Iman yang benar.

Firman Allah Subahanahuwata’ala yang bermaksud:
"Katakanlah tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyak yang buruk itu menarik hatimu, maka bertaqwalah kepada Allah Subahanahuwata’ala hai orang-orang yang beraqal agar kamu mendapat keberuntungan. "
(Surah al-Maidah: 100.)

Berjayalah anggota-anggota harakah kiranya aqal mereka mengikut telunjuk taqwa. Sesungguhnya taqwa sahaja yang dapat membezakan di antara buruk dan baik. Taqwa sahaja yang dapat memperakui sesuatu itu buruk meskipun ia sangat banyak dan menarik hati.

Firman Allah Subahanahuwata’ala yang bermaksud:
"Mereka itulah orang-orang yang tetap mendapat pertunjuk dari Tuhannya dan mereka itulah orang yang beruntung "
(Surah al-Baqarah: ayat 5.)

Berjayalah anggota-anggota jika mereka Istiqamah dengan Islam dan mengambil wahyu Allah Subahanahuwata’ala untuk dihayati di tengah-tengah Din bukan Islam yang menguasai hidup masyarakat.

Firman Allah Subahanahuwata’ala yang bermaksud:
"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan di tengah umat manusia, kamu menyeru pada kema'rufan dan mencegah dari kemunkaran dan beriman dengan Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik "
(Surah 'Ali Imran: ayat 110.)

Berjayalah anggota-anggota harakah jika Iman mereka dibentuk dan melahirkan akhlak terbaik, mengajak kepada ma'ruf terutama ma'ruf Al Akbar dan mencegah munkar terutama munkar Al Akbar pada diri, keluarga dan masyarakat.

Harakah Islamiyyah berjaya bukan kerana ramai anggota dan banyak wang. Harakah Islamiyyah juga tidak kalah kerana sedikit anggota atau sedikit penyokongnya. Tetapi Harakah Islamiyyah berjaya apabila setiap anggotanya sabar dan tabah mencari redha Allah Subahanahuwata’ala, melaksanakan jihad menegakkan Din Allah Subahanahuwata’ala atau mati syahid dalam usaha membentukan Ummah Islamiyyah dan menegakkan Din Allah Subahanahuwata’ala.

ISI-ISI PENTING:

1. Di dalam Tarbiyyah Islamiyyah Harakiyyah, yang terpenting sekali ialah Kesedaran Islam.

2. Proses kita adalah untuk melahirkan keImanan yang sebenarnya. Proses ini bukan lahir dari akhbar-akhbar, media massa atau yang lain-lain, tetapi adalah lahir dari Proses Tarbiyyah Islamiyyah yang sebenarnya.

3. Tahap kita adalah tahap persediaan. Dari peringkat inilah kita menyediakan rijal-rijal ( pendokong-pendokong) Dakwah Islam yang penuh kesedaran Islam. Pembentukan ini adalah lahir dari lubuk hati. Lubuk hati yang diproses dan dibersihkan inilah yang akan melahirkan kesedaran dan kefahaman Islam yang bersih.

4. Kesemua usaha-usaha kita perlu ditumpukan kepada peringkat persediaan ini. Keadaan kita hari ini mestilah kita lihat kembali kepada zaman ketika Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam memulakan pembentukan. Dari sinilah kita akan mengkaji dan membuat perbandingan untuk kita mengambil sebagi contoh dan model kita di tahap kita sekarang.

5. Ketika Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam memulakan dakwah, baginda ditentang oleh jaguh Quraisy yang bernama Nadr bin Haris untuk mematahkan penyebaran kebenaran Islam. Beliau cuba menyelewengkan dan mendongengkan wahyu Allah Subahanahuwata’ala

6. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam membentuk jiwa para sahabat sehingga jiwa mereka benar-benar bersatu, aqidah mereka benar-benar kukuh, bersedia menghadapi segala bentuk penyelewengan dan kekeliruan. Hati mereka di awal-awal lagi sudah terpisah dan ada tamayuz (perbezaan) dengan golongan Musyrikin.

7. Pada masa dakwah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam di peringkat permulaan, masyarakat arab Quraisy terbahagi
kepada dua iaitu:

Mereka yang menjalani Tarbiyyah dan
mereka yang tidak mahu menerima kebenaran.

8. Para sahabat Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang menerima Tarbiyyah Iman dari Madrasah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah diuji keimanan mereka oleh Allah. Mereka yang menerima tarbiyyah ini terpaksa berpisah dengan keluarga. Kasih sayang kepada keimanan adalah cukup tinggi untuk disamakah dengan kasih sayang terhadap ibubapa, kasih ini mengatasi segala-galanya.

9. Dari awal-awal lagi hati ‘ assabiqun al awwalun ‘ (jenerasi awal iaitu sahabat Rasulullah) telah menjadi raja. Mereka meletakkan kasih sayang kena pada tempatnya. Biar apapun rintangan dan halangan, hati yang telah tegak ini bertambah kuat dan kukuh. Dengan kefahaman dan kesedaran bahawa kasih mereka kepada Allah Subhanahuwata’ala dapat mengatasi segala kasih sayang yang lain.

10. Untuk menerima tarbiyyah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, ada yang terpaksa datang pada malam hari dan dalam keadaan bersembunyi takut diketahui oleh para pembesar Quraisy ketika itu.

11. Diberitakan bahawa Abu Sufian, Abu Jahal dan Abu Lahab datang pada waktu malam untuk mengintip rumah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Ketika itu baginda sedang membaca ayat-ayat suci al Quran. Dengan takdir Allah Subhanahuwata’ala mereka bertiga bertemu di tengah jalan setelah kembali pulang dari rumah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Sebenarnya mereka bertiga percaya akan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w dan kebenaran al Quran. Bagaimanapun oleh kerana takut akan kedudukan mereka tergugat dan mereka tidak lagi dapat melakukan sesuatu menurut nafsu mereka, maka mereka menolak kebenaran Islam. Mereka bertiga berjanji untuk tidak menceritakan kepada pengikut-pengikut mereka.

12. Setiap orang daripada kita apabila intim mendekati Islam, mestilah mempunyai sikap yang betul. Hati ini hendaklah betul-betul sebagaimana yang dikehendaki oleh al Quran. Betul dengan tuntutan al Quran. Apabila sikap kita betul-betul sebagaimana yang dikehendaki al Quran, barulah kita dapat faedah sepenuhnya dari al Quran.

13. Pada masa ini mereka yang menentang dakwah menganggap sikap yang mereka lakukan itu adalah baik. Seolah-olah mereka berdoa untuk kejahatan. Firman Allah Subahanahuwata’ala yang bermaksud:
“Dan manusia mendo’akan untuk kejahatan sebagaimana ia mendo’a untuk kebaikan. Dan adalah manusia bersifat tergesa-gesa. “
( Surah al Israa’ : 11)

14. Orang yang menghalang tarbiyyah yang betul itu adalah seperti mereka menghalang Allah Subahanahuwata’ala. Seolah-olah mereka berdo’a itu meminta bencana dari Allah Subahanahuwata’ala

15. Akal manusia tidak dapat menilai segala kebaikan yang diberikan Allah Subahanahuwata’ala. Begitu juga akal manusia tidak dapat menilai segala keburukan yang diberikan oleh Allah Subhanahuwata’ala ke atas mereka yang menentang Allah Subahanahuwata’ala. Tidak ada bahaya yang lebih dasyat melainkan bahaya yang datang daripada Allah Subahanahuwata’ala. Penilaian bahaya dari Allah Subhanahuwata’ala sahajalah yang sebenar-benarnya.

16. Kesan daripada Tarbiyyah jahiliyyah ini hati kita tidak merasa takut pun dengan apa yang dikatakan bahaya oleh Allah Subahanahuwata’ala. Karat-karat jahiliyyah inilah yang menyebabkan penilaian kita menjadi kabur di antara hak dan batil.

17. Kadangkala kita mengambil ayat-ayat Allah Subhanahuwata’ala sebagimana masyarakat hari ini mengambilnya. Begitu juga kadang-kadang kita mendekati al Quran sebagaimana masyarakat mendekatinya. Ini kerana tarbiyyah lama masih ada lagi di dalam hati dan jiwa kita.
18. Apabila kita tegakkan siasah di tengah-tengah masyarakat hari ini (walaupun mengaku negara Islam) maka tarbiyyah kita dianggap sebagai penentang yang kuat. Dari itu kita perlu berhati-hati untuk menjaga siasah harakah kita di dalam suasana ini.

19. Masyarakat hari ini menilai orang yang mematuhi ajaran Islam sebenar-benarnya dianggap zalim. Tetapi mereka menganggap baik terhadap musik, tarian, pergaulan bebas lelaki wanita dan lain-lain maksiat. Dari itu di dalam tarbiyyah kita, kita tidak membincangkan kata-kata mereka, kata-kata mereka adalah kosong belaka. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Dan Kami telah tetapkan terhadap mereka di dalamnya (Taurat) bahawasanya jiwa (dibalas) dengan jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi dan luka-luka (pun) ada kisasnya. Barangsiapa yang melepaskan (hak kisas) nya, maka melepaskan hak itu (menjadi) penebus dosa baginya. Barangsiapa yang tidak menghukum dengan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. “
( Surah al Maa-idah : 45 )

20. Setiap dari kita mesti mengambil penilaian dari Allah Subhanahuwata’ala . Setiap kehidupan ada hukum-hukumnya sebagaimana tumbuh-tumbuhan ada hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah Subahanahuwata’ala

21. Kita mengambil Allah Subhanahuwata’ala sebagai Illah dan Rabb. Kita mesti menyedari bahawa kita diciptakan sebagai makhluk. Kita tidak ada jalan lain melainkan patuh dan tunduk kepada hukum Allah Subahanahuwata’ala. Jika kita mengambil hukum-hukum yang lain, maka kita berada di dalam salah satu dari tiga suasana iaitu kafir, zalim ataupun fasik. Kadang-kadang kita seronok dengan khayalan, hiburan ataupun sukan, tidak langsung terfikirkan tentang tiga perkara ini.

22. Kita tidak benci kepada sesiapa. Musuh kita bukan individu atau bangsa. Musuh kita adalah kesilapan menerima hukum Allah Subhanahuwata’ala, musuh kita adalah Deen yang bukan Deen Islam.

23. Apabila mereka yang memegang polisi deen yang bukan Islam ini meninggalkan deen tersebut, insya’ Allah mereka akan condong kepada Islam. Masalahnya mereka ini cintakan deen yang bukan Islam dan dalam masa yang sama mereka yang bukan Islam mempertahankan deen ini dengan ikrar yang sungguh-sungguh. Mereka ini kadangkalanya menjadi imam kita, atau satu saf solat dengan kita. Kita mestilah bersungguh-sungguh menegakkan kebaikan dan mencegah segala kemungkaran, kalau tidak solat kita tidak berfungsi.

24. Masyarakat hari ini ramai yang berkata bahawa mereka mahukan undang-undang Allah Subahanahuwata’ala. Bagaimanapun praktiknya mereka mengatakan tidak mahu. Apabila mereka menolak Islam, ini bermakna mereka menolak rahmat Allah Subhanahuwata’ala, selama itulah mereka akan berada di dalam kutukan Allah Subahanahuwata’ala (Nauzubillah).

25. Islam adalah menjadi tarbiyyah bagi kita. Penolakan Islam di dalam masyarakat hari ini mestilah benar-benar dirasai oleh hati kita. Kita mestilah merasai benar-benar akan kebenaran Islam samada di dalam hati, jiwa, fikiran dan setiap langkah kita. Kalau kemanisan Islam ini tidak dapat dirasai oleh masyarakat , maka ia akan rugi. Kesedaran dan kefahaman Islam boleh menjadi rahmat kepada masyarakat.

26. Masyarakat hari ini, Islam dijalankan hanya mengikut musim-musim tertentu sahaja. Itupun dalam bentuk serpihan-serpihan sahaja. Kalau ada sedikit kejayaan pun, adalah semata-mata dari Allah Subahanahuwata’ala. Masyarakat hari ini di antara Karamah dan Istidraj pun tidak dapat dibezakan.

27. Di kala ini orang Islam ada, tetapi tidak ada Daulah Islamiyyah. Apabila orang kafir nampak orang Islam memerintah, maka mereka menganggap inilah dia pemerintahan Islam walaupun pada hakikat sebenar bukanlah Daulah Islamiyyah. Sikap inilah yang membawa kepada kekeliruan yang paling besar sekali. Apabila undang-undang Allah tidak dijalankan, pasti undang-undang lain mengambil tempat. Undang-undang Islam tidak dapat dijalankan di dalam sistem demokrasi.

28. Kononnya sistem demokrasi boleh menjamin keselamatan. Sebenarnya hanya sistem Islam sahaja yang adil dan boleh menjamin keselamatam. Kepimpinan Islam sahaja yang boleh berlaku adil . Kehilangan sistem Islam ini adalah kerana kehilangan Aqidah. Aqidah yang sakit dan tidak sempurna.

29. Islam hari ini menjadi dagang. Kita perlu bekerja.

30. Kalau undang-undang Islam ingin dilaksanakan, ianya kena dibawa ke parlimen dahulu, samada sah atau tidak, sesuai atau tidak. Sikap ini adalah satu sikap yang ingin berkrisis dengan Allah Subahanahuwata’ala. Krisis inilah yang boleh membawa kebinasaan ke atas diri manusia sendiri. Oleh itu kita perlu ujudkan kepimpinan Islam di dalam proses Tarbiyyah Islamiyyah Harakiyyah.

31. Sesungguhnya golongan al-Mala’ bersungguh-sungguh untuk membawa deen yang bukan Islam sebagai mana kesungguhan seseorang untuk membawa deen Islam. Proses yang mereka jalankan ramai yang terpengaruh walaupun dalam bentuk-bentuk lambang seperti Musabaqah al Quran.

32. Setiap tindak tanduk kita di dalam tarbiyyah ini mestilah mengikut landasan syara’ dan mestilah mengikut keikhlasan hati semata-mata. Neraca kita mestilah neraca yang syara’.

33. Ketika menjalani tarbiyyah kita, Siasi dan Fikri mestilah berjalan serentak. Kita laksanakanlah kedua-duanya tetapi jangan lebih dari kemampuan . Teknik dan Dasar mestilah betul.

34. Di dalam tarbiyyah, ketika menjalani tarbiyyah ini, ada yang cepat dan ada yang lambat dalam proses. Mereka yang cepat kita tingkatkan, mereka yang lambat jangan ditinggalkan, kita perlu bimbing lagi sampai ke peringkat yang dikehendaki.

35. Setiap ahli kita mestilah terdiri dari orang-orang Mukmin. Untuk sampai keperingkat ini, maka kita mestilah sampaikan dulu Islam yang paling minima iaitu melaksanakan yang wajib dan meninggalkan yang haram. Setiap ahli kita hendaklah Uzlah Syu’uriyyah (pemisahan fikiran dari jahiliyyah), walaupun mereka tidak buat yang sunat tetapi ke mana sahaja mereka pergi mereka akan membawa syaksiyyah kita.

36. Natijah Mukmin bermula dari proses Iman. Tidak akan lahir mukmin tanpa ada proses dan tarbiyyah Iman.

37. Kita perlu kumpulkan hati-hati yang telah hilang neraca. Apabila mereka tidak ada neraca syara’ maka kita tidak ada pengawal hidup umpama askar tiada senjata. Syara’ ini umpama senjata. Kehilangan hari ini adalah kehilangan neraca penilaian. Apabila ada orang yang merasai kehilangan ini maka hendaklah kita hampiri mereka dan kita sampaikan fikrah kita.

38. Ada orang yang beranggapan bahawa umat Islam hari ini terlalu sedikit untuk kembali kepada ad Deen Islam. Begitu juga ada orang yang beranggapan bahawa kehilangan Islam sebagai ad Deen adalah disebabkan oleh faktor ekonomi atau politik. Sebenarnya kehilangn yang paling terbesar ialah kehilangan jiwa-jiwa yang bersedia menerima Tarbiyyah Islamiyyah Harakiyyah.

39. Kita hari ini tidak kurang masjid, tetapi kita kekurangan hati-hati yang bersedia menerima Islam sebagai pedoman hidup. Hati yang diproses ini akan melahirkan Iman yang akan menjadi pancaran utama. (Masdar Wahid)

40. Kemesraan dan kesyukuran adalah merupakan kekuatan, dari itu kita mestilah mesra dengan keperibadian jamaah.

41. Kita perlu proses kefahaman dan kesedaran kita melalui sumber-sumber masyru’ dimana kita merujuk hanya kepada al Quran dan as Sunnah. Kedua-dua sumber inilah yang mesti kita pertahankan.

42. Keinginan dan kecintaan kita kepada Islam ini mesti diproses, jika tidak ianya akan pergi ke tempat lain. Segala kerja-kerja kita adalah lahir dari kecintaan dan bukannya dari arahan. Tarbiyyah kita mestilah berjalan dahulu maka barulah lahir tidak ada paksaan kepada Islam.

43. Ketaatan kita hanyalah duduk di bawah syara’. Biarpun yang memerintah seorang budah Habsyi, yang hitam dan botak kepalanya , asalkan kebenaran yang dibawanya adalah datangnya dari kitab Allah Subahanahuwata’ala .

44. Pada hari ini kesyukuran, ketaatan , kepatuhan semuanya kepada sistem demokrasi. Tugas kita adalah mengembalikan semula sistem ini kepada Islam.

45. Kita mestilah bersabar ketika menjalani ujian-ujian untuk mempertahankan aqidah kita. Biarpun disiksa, namun kita tetap mempertahankan aqidah kita untuk Islam.

46. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar. “
( Surah al Hujurat : 15) .

No comments:

Post a Comment