Wednesday, November 11, 2009

JAHILIYYAH HARI INI (Siri 1)

Ramai di kalangan orang Islam hari ini tidak merasai kenikmatan berada dalam Islam yang sebenarnya sepertimana yang dirasai oleh sahabat-sahabat di zaman Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Dalam rangka inilah kita perlu mendekati sumber-sumber yang boleh memberi gambaran Islam (fikrah Islamiyyah) yang betul dan tepat dengan berpandukan al-Quran al-Karim dan as-Sunnah an-Nabawiyyah. Di samping itu kita juga perlu mengenali jahiliyyah hari ini.

Mengetahui jahiliyyah bererti kita mengetahui musuh ketat kepada Islam dan iman itu sendiri yang mana penyerapan unsur-unsur atau anasir-anasir jahiliyyah inilah yang sebenarnya telah menghalang kita dari dapat menikmati kemanisan hidup dalam Islam.

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Apakah hukum jahiliyyah yang mereka kehendaki dan hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang-orang yang yakin (beriman)."
(Surah al-Maidah: ayat 50.)

Bagi orang-orang yang beriman tiada hukum yang lebih baik melainkan hukum yang telah diturunkan oleh Allah Subhanahuwata’ala. Ini adalah tegasan dari al-Quran. Tetapi mengapa ramai orang Islam hari ini menolak hukum Allah Subhanahuwata’ala dalam praktiknya? Bagaimanakah untuk menilai keadaan ini?

Islam yang kita kehendaki ialah Islam yang Kamil lagi Syamil (lengkap lagi menyeluruh). Al-Quran memberi gambaran yang betul dan tepat mengenai Jahiliyyah yang sebenarnya. Menurut Muhammad Qutb, jahiliyyah yang ditentukan oleh al-Quran adalah:

1) Satu keadaan jiwa yang menolak hidayah Allah Subhanahuwata’ala.

2) Satu penyusunan masyarakat yang menolak hukum-hukum Allah Subhanahuwata’ala.

3) Jahiliyyah itu adalah lawan bagi ma'rifat (kenal) kepada Allah Subhanahuwata’ala. walaupun ia mempunyai ilmu tentang sifat dan kekuasaan Allah Subhanahuwata’ala di mana jika ditanya kepada mereka: Siapakah yang menjadikan langit dan bumi? Nescaya mereka akan menjawab: Allah. Jahiliyyah adalah lawan petunjuk Allah Subhanahuwata’ala dan tidak menghukum dengan hukum Allah Subhanahuwata’ala.

4) Jahiliyyah itu sebenarnya melawan Islam dan Iman.

Jahiliyyah bukan bermakna melawan sains dan kemajuan harta benda atau penghasilan yang banyak. Inilah yang perlu difahami kerana masyarakat hari ini tidak diberi gambaran atau hakikat yang sebenarnya. Selagi Iman tidak melahirkan amalan-amalan Islam dalam hidup kita maka ini bermakna jahiliyyah sedang mengawal dan menguasai semua aktiviti hidup kita. Ini adalah merupakan satu hakikat yang wajar disedari oleh setiap dari kita.

Kita tidak boleh mengatakan bahawa seseorang yang tidak berilmu (yang bodoh) sebagai jahiliyyah. Konsep kefahaman terhadap jahiliyyah adalah sebenarnya diukur dari penerimaan dan penolakan terhadap Islam itu sendiri di mana perbezaan antara dua hakikat ini adalah terletak pada Islam itu sendiri.

Apabila Islam yang ditolak maka hiduplah ia di dalam jahiliyyah seperti contoh yang berlaku pada mula-mula Islam yang dida'wahkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam di Makkah oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam kepada orang-orang Quraisy.

Walaupun orang-orang Quraisy Makkah terkenal dengan kemajuan dan kepintaran namun mereka tetap dipanggil jahiliyyah kerana mereka menolak Islam sebagai satu-satunya cara hidup yang perlu diikuti. Tetapi dunia kini menganggap umat Islam adalah jahiliyyah kerana tiada kemajuan. Ini adalah fahaman yang telah menyimpang jauh dari hakikat sebenarnya.

Jahiliyyah 'Arabiyyah dan jahiliyyah zaman ini sebenarnya mempunyai hakikat yang sama, cuma keadaan jahiliyyah hari ini ialah jahiliyyah yang lebih canggih (sophisticated). Jahiliyyah dahulu senang dikenali dan dikesan, tetapi jahiliyyah kini sukar untuk diketahui kerana mereka bersembunyi dalam kemajuan.

Jahiliyyah sekarang ini, malah jahiliyyah setiap zaman tetap akan menolak hukum Allah Subhanahuwata’ala. Mereka boleh dicap atau dikenali sebagai jahiliyyah di mana-mana sahaja di dunia ini di segenap lapisan masyarakat dan segenap keadaan.

Sesungguhnya kita dewasa ini telah dikongkongi oleh jahiliyyah yang amat teruk sehingga apa yang kita anggap Islam telah pun diasaskan atas jahiliyyah.

Jahiliyyah dan hawa nafsu mempunyai nilai dan hakikat yang sama. Apabila seseorang itu mengikuti hawa nafsu, maka bermakna ia telah mengikut jahiliyyah. Mereka yang mengikut hawa nafsu enggan mengikut perintah Allah Subhanahuwata’ala, maka kedapatanlah jahiliyyah. Hawa nafsu tidak boleh membawa kepada iman dan Islam. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Apakah kamu tidak melihat orang-orang yang telah diberi sebahagian dari al Kitab (Taurat)?. Mereka membeli (memilih) kesesatan (dengan petunjuk) dan mereka bermaksud supaya kamu tersesat (menyimpang) dari jalan (yang benar). “
( Surah an Nisaa’ : 44 )

Dewasa ini kita tidak nampak jahiliyyah kerana kita tidak sedar dan tidak boleh bertindak ke arah penghapusan nilai jahiliyyah. Kita telah tidak disedarkan dengan perancangan rapi oleh musuh Islam. Satu perancangan yang teratur dan rapi telah dibuat oleh musuh-musuh Islam untuk menghapuskan Islam yang sebenarnya. Tetapi kita masih tidak sedar akan keadaan ini kerana semuanya telah dimanglikan (dibiuskan) oleh musuh-musuh dengan pelbagai cara yang mereka dapat lakukan.

Jadi sudah jelas kepada kita bahawa masalah penyakit jahiliyyah ini ialah mengingkari dan menolak petunjuk Allah Subhanahuwata’ala dan suka kepada yang tidak baik dan jujur.

Orang-orang jahiliyyah ingin kepada kegelapan dan mereka tidak sedar bahawa mereka sedang berada dalam kegelapan (tidak tenang, kucar-kacir, penyesatan, penyelewengan dan sebagainya). Setelah mereka keluar dari jahiliyyah, barulah mereka sedar bahawa mereka selama ini telah berada dalam kegelapan jahiliyyah.

Saidina Umar Radhiallahu’anhu biasa menangis dan ketawa apabila memikirkan tentang keadaan beliau ketika jahiliyyah. Beliau menangis kerana beliau terkenangkan perbuatan kejamnya menanam anak perempuannya hidup-hidup ketika jahiliyyah. Beliau ketawa kerana pernah satu ketika beliau dalam keadaan bermusafir, telah memakan tuhannya yang dibuat dari buah tamar kerana kehabisan bekalan. Akhirnya habis berhala sembahan beliau itu dimakan.

Penyelewengan, kucar-kacir dan sebagainya dalam kehidupan hari ini berlaku kerana ada kehidupan jahiliyyah. Manusia sekarang bermusuhan di antara golongan miskin dan kaya. Tetapi mengikut jahiliyyah sebab kelahiran kekucar-kaciran masyarakat adalah berpunca dari modal atau pergaduhan yang berlaku di kalangan manusia yang berkasta atau tekanan ekonomi. Tiada yang berpendapat bahawa yang berlaku demikian adalah kerana tidak ada hubungan dengan sistem Allah Subhanahuwata’ala. Untuk menyelesaikan sesuatu masalah hari ini mereka gunakan aqal sendiri dan bukan dengan sistem Allah Subhanahuwata’ala.

Masyarakat (negara) boleh menentukan samada masyarakat negara itu berada dalam keadaan jahiliyyah atau tidak. Seseorang yang benar-benar beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala akan terus memutuskan hubungan dengan jahiliyyah pada saat mula Islamnya.

Akibat dari keengganan menolak jahiliyyah ini adalah amat besar sekali. Sesiapa sahaja yang bertindak dengan tidak mengikut apa yang telah ditentukan oleh Allah Subhanahuwata’ala maka ia adalah Kafirun, Zalimun dan Fasiqun. Firman-firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan kitab Taurat di dalamnya (ada) petunjuk dan cahaya (yang terang), yang dengan Kitab itu diputuskan perkara orang-orang Yahudi oleh nabi-nabi yang menyerah diri kepada Allah , oleh orang-orang alim mereka dan pendita-pendita mereka, disebabkan mereka diperintahkan memelihara kitab-kitab Allah dan mereka menjadi saksi terhadapnya. Kerana itu janganlah kamu takut kepada manusia, (tetapi) takutlah kepada Ku. Dan janganlah kamu menukar ayat-ayat Ku dengan harga yang sedikit. Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir. “
( Surah al Maa-idah : 44)

“Dan Kami telah tetapkan terhadap mereka di dalamnya ( At Taurat ) bahawasanya jiwa (dibalas) dengan jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi dan luka-luka (pun) ada kisasnya. Barangsiapa yang melepaskan (hak kisas) nya, maka melepaskan hak itu (menjadi) penebus dosa baginya. Barangsiapa yang tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim. “
( Surah al Maa-idah : 45 )

“ Dan hendaklah orang-orang pengikut Injil, memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah di dalamnya. Barangsiapa yang tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik. “
( Surah al Maa-idah : 47 )

No comments:

Post a Comment