Saturday, November 07, 2009

ISLAM DAGANG (Siri 1)

ISLAM DAGANG KALI KEDUA DAN CARA MENGATASINYA

Muqaddimah

Rasulullah Sallallahu’alihiwasallam bersabda yang bermaksud:
"Islam telah bermula dengan dagang dan ia akan kembali dagang, maka berbahagialah mereka bersama Islam di waktu ia dagang. "
(Hadith Riwayat Muslim )

Islam dan da'wahnya bermula dalam keadaan dagang. Islam sewaktu mula didatangkan di Makkah Al Mukarramah, asing dan tidak dikenali oleh masyarakat. Oleh kerana Islam ghurbah (dagang) dan unik maka Islam dibenci dan dimusuhi. Pembawa dan pendokong-pendokongnya dizalimi dan dihadapkan dengan berbagai-bagai mehnah dan tribulasi.

Akibatnya, ada yang kehilangan penglihatan, ada yang gugur syahid, yang terpaksa berhijrah ke Habsyah dan akhirnya pendokong-pendokong Islam berhijrah ke Madinah demi mencari keredhaan Allah Subhanahuwata’ala dan merealisasikan Islam di dalam wajahnya yang murni sebagai ad-Din. Hal ini telah dinyatakan oleh Allah Subhanahuwata’ala di dalam Firman-Nya yang bermaksud:
"Bagi orang-orang fakir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan daripada harta benda mereka kerana mencari kurnia daripada Allah dan Rasul-Nya, mereka itulah orang-orang yang benar ." (Surah al-Hasyr: ayat 8 )

Faktor Dagang Pertama

Terdapat pelbagai faktor Islam dagang kali pertama yang dikemukakan oleh pihak tertentu seperti faktor politik, sosial, ekonomi dan sebagainya.

Namun, di sana terdapat satu faktor terbesar yang menyebabkan Islam dagang iaitu faktor aqidah Islam yang berlawanan dengan Jahiliyyah atau kufur. Islam mengajak kepada aqidah yang sohih, serta realiti hidup salimah, syamilah dan kamilah yang mana bertentangan dengan kekufuran. Islam dan kekufuran sentiasa dalam keadaan harb (peperangan). Kekufuran tidak dapat menerima Rububiyyah dan Uluhiyyah Allah Subhanahuwata’ala. Kekufuran tidak menerima hukum-hukum dan undang-undang Allah Subhanahuwata’ala berjalan dan berkuasa di bumi.

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Kamu tidak menyembah yang selain Allah kecuali hanya (menyembah) nama-nama yang kamu dan nenek moyangmu membuatnya. Allah tidak menurunkan suatu keteranganpun tentang nama-nama itu. Keputusan itu hanyalah kepunyaan Allah. Dia telah memerintahkan agar kamu tidak menyembah selain Dia. Itulah agama yang lurus tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. “
(Surah Yusuf : ayat 40)

Inilah faktor terbesar. Faktor ini wujud di setiap zaman, hatta di zaman sekarang walau pun tersembunyi di sebalik faktor-faktor lain.

Dengan ketentuan Allah Subhanahuwata’ala dan pertolongan-Nya serta berkat usaha, pengorbanan dan jihad Rasulullah Sallallahu’alihiwasallam bersama-sama para sahabat r.a. yang sabar dan ikhlas, maka ghurbah (dagang) tersebut telah hilang. Akhirnya petunjuk dan rahmat Allah Subhanahuwata’ala diterima, dihayati dan didaulatkan sepenuhnya di Madinah al-Munawwarah.

Pengorbanan dan jihad Rasulullah Sallallahu’alihiwasallam dan sahabat-sahabat baginda telah diterima dan diredhai Allah Subhanahuwata’ala. Mereka adalah contoh ikutan bagi kerja-kerja da'wah untuk mendaulatkan din Allah. Allah Subhanahuwata’ala telah mengabadikan pengorbanan mereka dalam firman-Nya yang bermaksud:
"Golongan terdahulu dan awal di kalangan Muhajirin dan Ansar serta orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lama. Itulah kemenangan yang besar. "
(Surah at-Taubah: ayat 100 )

Ghurbah Ath-Thaniyah (Dagang Kedua)

Generasi pertama iaitu Generasi Al-Quran yang dididik oleh Rasulullah Sallallahu’alihiwasallam telah berlalu. Kerja-kerja mereka telah selesai. Kelemahan umat Islam dan kelemahan pimpinan dalam generasi-generasi selepas mereka telah berlaku. Daulah Islamiyyah telah jatuh satu persatu dan yang terakhir ialah kejatuhan Daulah Othamaniyyah di Turki. Serentak dengan itu pengaruh sekularisma yang ditaja oleh penjajah telah bertapak, menular dan berkembang pesat di seluruh negara yang diperintah oleh umat Islam. Pengaruh itu terus berakar umbi hingga kini di negara-negara Islam tanpa kecuali. Akibatnya Islam kembali ghurbah untuk kali kedua. Kini realiti menunggu rijal-rijal untuk menghilangkan Ghurbah Ath-Thaniyah.

Benarlah sabda Rasulullah Sallallahu’alihiwasallam yang bermaksud:
"Islam bermula dalam keadaan dagang, ia akan kembali dagang. Beruntunglah orang yang berpegang dengan Islam ketika ia dagang ."
( Hadith Riwayat Muslim )

Dalam sabda baginda yang lain: (bermaksud) : "Beruntunglah sesiapa yang beriman denganku walaupun tidak melihatku (bersamaku) ".

Sebab-Sebab Ghurbah Masa Kini

1) 'Aqidah umat Islam tidak lagi berfungsi akibat pengaruh din bukan Islam. Sedangkan da'wah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam mengajak kepada aqidah yang soheh, hidup dan berfungsi. 'Aqidah yang menerima Allah Subhanahuwata’ala sebagai Ilah dan Rabb. Menerima HakimiyyahNya. Menerima Din-Nya serta mendaulat dan mempertahankannya di sepanjang hayat. Ini kerana Islam sahaja yang diterima oleh Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk dan yang diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala. Dan (diharamkan juga) mengundi nasib dengan anak panah, (mengundi nasib dengan anak panah itu) adalah kefasikan. Pada hari ini orang-orang kafir telah berputus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada Ku. Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku cukupkan kepadamu nekmat Ku dan telah Ku redhai Islam itu menjadi agama bagimu. Maka barangsiapa terpaksa kerana kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. “
( Surah al Maa-idah : 3 )

Dengan Islam sahajalah manusia dimuliakan. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia, menyeru pada kema'rufan dan mencegah daripada kemungkaran serta kamu beriman dengan Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik "
( Surah 'Ali Imran: ayat 110 )

Inilah sebab terbesar yang menjadikan Islam ghurbah. Sebab ini mengatasi sebab-sebab sosial, politik, ekonomi dan sebagainya.

2) Kejahilan umat tentang Islam baik dari segi tasawwur, tuntutan mahupun penghayatannya. Begitu juga kejahilan tentang sifat-sifat Allah Subhanahuwata’ala, sifat-sifat Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, Hari Pembalasan dan perkara-perkara yang bersangkutan.

3) Sikap umat yang melupai dan mengabaikan ingatan-ingatan Allah Subhanahuwata’ala.
Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
”Dan di antara orang-orang yang mengatakan: Sesungguhnya kami ini orang-orang Nasrani, ada yang telah Kami ambil perjanjian mereka, tetapi mereka sengaja melupakan sebahagian dari apa yang mereka telah diberi peringatan dengannya , maka Kami timbulkan di antara mereka permusuhan dan kebencian sampai hari kiamat. Dan kelak Allah akan memberitakan kepada mereka apa yang selalu mereka kerjakan. “
( Surah al Maa-idah : 14 )

4) Realiti umat yang beriman dengan sebahagian daripada kandungan al-Kitab (al-Quran) sahaja.
Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Kemudian kamu (Bani Israil ) membunuh dirimu (saudaramu sebangsa ) dan mengusir segolongan daripada kamu dari kampung halamannya, kamu bantu membantu terhadap mereka dengan membuat dosa dan permusuhan, tetapi jika mereka datang kepadamu sebagai tawanan, kamu tebus mereka, padahal mengusir mereka itu (juga) terlarang bagimu. Apakah kamu beriman dengan sebahagian al-Kitab dan ingkar dengan sebahagian yang lain? Tiadalah balasan orang yang berbuat demikian daripada kamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia dan di Hari Akhirat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lengah daripada apa yang kamu perbuat. "
( Surah al-Baqarah: ayat 85 )

5) Dunia menguasai hati dan kehidupan umat Islam. Umat Islam kasihkan dunia dan bencikan kematian.

Apabila 'aqidah umat telah sakit dan tidak berfungsi, kejahilan menyelubungi kehidupan, ingatan-ingatan Allah Subhanahuwata’ala diabaikan, dunia menguasai kehidupan dan jihad ditinggalkan, maka Islam menjadi Ghurbah.

Realiti kini, Islam berada di suatu lembah manakala umat Islam berada di suatu lembah yang lain. Islam menjadi sasaran musuh. Ustaz Sa'id Hawwa ada menyatakan: "Kita dapati Islam dan kaum Muslimin menjadi sasaran musuh luar dan dalam..."

Walaupun musuh pada zahirnya kelihatan bergeseran di kalangan mereka, namun mereka semua akan bersatu apabila menghala dan menghentam Islam. Sabda Rasulullah Sallallahu’alihiwasallam: (bermaksud) " Kekufuran mempunyai satu millah (jalan). "

6) Penyakit perpecahan dan kedengkian yang menyerang hati-hati orang Islam.
Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Dan mereka (ahli kitab) tidak berpecah belah melainkan sesudah datangnya pengetahuan kepada mereka kerana kedengkian antara mereka. Kalau tidaklah kerana sesuatu ketetapan yang telah ada dari Tuhanmu dahulunya (untuk menangguhkan azab) sampai kepada waktu yang ditentukan, pastilah mereka telah dibinasakan. Dan sesungguhnya orang-orang yang diwariskan kepada mereka al Kitab (Taurat dan Injil) sesudah mereka, benar-benar berada dalam keraguan yang menggoncangkan tentang kitab itu. “
( Surah asy Syuura : 14 )

Firman Allah Subahanahuwata’ala yang bermaksud:
"Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Janganlah kamu berbantah-bantah menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatan kamu dan bersabarlah, Sesungguhnya Allah berserta dengan orang-orang yang sabar"
(Surah al-Anfal: ayat 46.)

1 comment: