Monday, January 31, 2011

Sumber Ketenangan

Ketenangan merupakan anugerah Allah kepada orang-orang mukmin. Ketenangan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit atau kekayaan harta benda.

Ramai orang ingin mendapatkan ketenangan dengan pelbagai cara. Ada yang menghabiskan jutaan ringgit untuk mencari ketenangan. Ada yang mengambil jalan singkat dengan menggunakan dadah, minum arak atau pil penenang. Namun mereka gagal mendapat ketenangan yang berpanjangan.

Ketenangan yang hakiki hanya akan diperolehi melalui:

i. keyakinan terhadap perlindungan Allah SWT yang memelihara orang-orang mukmin secara lahir dan batin.

Dengan sentiasa ingat pada Allah dan selalu mengikut petunjukNya (Al Quran dan Sunnah) maka ketenangan akan selalu hidup di dalam hatinya.

Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 173:

ٱلَّذِينَ قَالَ لَهُمُ ٱلنَّاسُ إِنَّ ٱلنَّاسَ قَدۡ جَمَعُواْ لَكُمۡ فَٱخۡشَوۡهُمۡ فَزَادَهُمۡ إِيمَـٰنً۬ا وَقَالُواْ حَسۡبُنَا ٱللَّهُ وَنِعۡمَ ٱلۡوَڪِيلُ (١٧٣)

“Mereka (yang mentaati Allah dan Rasul) diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: Cukuplah Allah untuk (menolong) kami dan Dia sebaik-baik penolong (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)”

ii. Mengingat Allah

Hanya dengan mengingat Allah sahaja hati akan menjadi tenang sedangkan mengingat yang selain Allah hanya memperolehi ketenangan pada zahirnya sahaja.

Firman Allah dalam Surah Ar Ra’ad ayat 28

ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَتَطۡمَٮِٕنُّ قُلُوبُهُم بِذِكۡرِ ٱللَّهِ‌ۗ أَلَا بِذِڪۡرِ ٱللَّهِ تَطۡمَٮِٕنُّ ٱلۡقُلُوبُ

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan "zikrullah" (mengingat Allah). Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

iii. Tawakal terhadap janji Allah untuk melindungi hambaNya (serta memberi ganjaran syurga) menyebabkan timbul keberanian untuk menghadapi musuh.

Ibnu Taimiyah berkata: “Apa yang hendak dilakukan musuh-musuhku terhadapku? Sesungguhnya syurgaku terletak di hatiku. Di manapun aku berada ia selalu bersamaku. Sesungguhnya kematianku adalah syahid. Penjaraku adalah rasa manis, sedangkan mengusirku bagiku adalah pengembaraan (perjalanan).”

Firman Allah dalam Surah Al Ahzab ayat 23:

مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ رِجَالٌ۬ صَدَقُواْ مَا عَـٰهَدُواْ ٱللَّهَ عَلَيۡهِ‌ۖ فَمِنۡهُم مَّن قَضَىٰ نَحۡبَهُ ۥ وَمِنۡہُم مَّن يَنتَظِرُ‌ۖ وَمَا بَدَّلُواْ تَبۡدِيلاً۬ (٢٣)

“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.”

Orang mukmin menyedari bahawa amal perbuatan yang dilakukan tidak akan sia-sia, melainkan pasti dibalas Allah SWT dengan pembalasan yang sempurna.

Rujukan:

Dr Irwan Prayitno, Msc, Keperibadian Muslim, Pustaka Tarbiatuna, Jakarta, Jun 2010.

No comments:

Post a Comment