Tuesday, January 18, 2011

Ciri-ciri orang yang mempunyai kecergasan ruhiyah

Antara ciri-ciri orang yang mempunyai kecergasan ruhiyah ialah:

i. Ia memandang segala hal sebagai peluang untuk memperoleh dan menambahkan pahala. Ia sentiasa melihat peluang untuk mendahului dalam berbuat segala kebaikan. Sentiasa merasa ringan tangan untuk melakukan kebaikan walaupun sekecil membuang sampah dan duri di jalanan.

Dia bersaing untuk melakukan dahulu segala kebaikan dan memberi manfaat kepada orang lain. Ia sentiasa berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan seperti Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar dalam kisah di bawah:

Pada suatu malam Umar melihat seorang nenek tua yang buta di kota Madinah. Dia berniat untuk melakukan kebaikan seperti memberi minum dan keperluan lain lebih dahulu daripada orang lain, tetapi apabila dia sampai ke rumah nenek tua itu dia dapati Khalifah Abu Bakar sudah sampai terlebih dahulu dan sedang membantu nenek tua berkenaan. Umar menyatakan bahawa dia memang sudah menjangka bahawa Saidina Abu Bakar akan mendahuluinya dalam perkara kebaikan.

Begitu juga ketika Rasulullah mengatakan: “Barangsiapa ingin membaca al Quran dengan sejuk dan segar, maka hendaknya ia membaca dengan bacaan Ibnu Ummi Abd (Abdullah bin Mas’ud). Abu Bakar terus mengunjungi rumah Abdullah bin Mas’ud untuk menyemak bacaannya. Ketika Umar sampai dia mendapati Saidina Abu Bakar sudah mendahului dirinya dan berkata: “Sungguh engkau adalah orang yang selalu terkehadapan dalam berbagai kebaikan.”

Umar memang gagal mengatasi Abu Bakar dalam berlumba melakukan kebaikan tetapi beliau berjaya menjadi orang yang terbaik selepas Abu Bakar. Subhanallah!

Menjadi pelopor atau perintis dalam mengutarakan ide dan atau melakukan perkara kebaikan.

“Barangsiapa memberi teladan sunnah kebaikan dalam Islam, maka ia akan mendapatkan pahalanya dan pahala orang-orang yang mengamalkannya tanpa mengurangkan pahala mereka sedikitpun.” (HR Bukhari)

Orang yang bijak akan mencari ide baru dalam perkara kebaikan agar orang lain dapat mengikutinya dan dia akan mendapat pahala yang berterusan hasil ikutan orang lain yang melakukan kebaikan yang sama.

ii. Dia mengutamakan amal yang paling bermanfaat dan besar pahala.

Orang yang cerdas ruhiyah mengutamakan perkara yang besar pahala kerana masa yang ada adalah terhad. Oleh itu utamakan yang terbesar dan paling memberi manfaat kepada orang lain.

Juwairiyah berzikir selepas subuh hingga selepas solat Dzuha lalu Rasulullah bersabda: “Aku telah mengucapkan 4 kalimat setelahmu sebanyak 3 kali. Seandainya dibandingkan dengan apa yang kamu ucapkan sejak pagi tadi, nescaya ia lebih berat daripadanya. Yakni subhanallahi wabihamdihi ‘adada khalqihi wa ridha nafsihi, wazinata ‘arsyihi wa midaada kalimatihi.” (HR Muslim).

Meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat seperti sabda Rasulullah: “ Di antara tanda kebaikan Islam seseorang adalah meninggalkan hal-hal yang tidak bermanfaat baginya.” (HR Tarmizi).

iii. Beribadah dengan cara yang boleh melipatgandakan pahala. Berusaha menunaikan solat pada awal waktu di masjid secara berjamaah kerana ini akan menambah pahala.

Saiyidatina Fatimah meletakkan minyak wangi pada wang yang disedeqahkan supaya Allah dapat merasai bau wangi wang berkenaan dan mencetuskan rasa gembira orang yang menerimanya.

iv. Melakukan amalan yang dipandang kecil dan remeh pada pandangan orang lain seperti solat sunat selepas wudhu’ dan sentiasa dalam keadaan berwuduk.

“Apabila seorang lelaki bangun pada sebahagian malam dan menggerak isteri serta melakukan solat sunat dua rakaat maka dicatatkan sebagai golongan yang banyak mengingati Allah.” (HR Abu Daud).

Pahala sangat besar mengerjakan solat malam kerana pada waktu itu semua orang memilih untuk tidur pulas menongkol.

v. Menjaga kelestarian @ keistiqamahan amal

Kita perlu meneruskan perkara-perkara baik sampai ke akhir hayat.

vi. Segera bertaubat dan tidak mengulangi kesilapan.

Seorang mukmin tidak boleh tersengat di dalam lubang yang sama dua kali.

“Tidak ada yang lebih santun kecuali orang pernah membuat kesalahan, dan tidak ada orang bijak kecuali yang memiliki pengalaman.” (HR Tarmizi).

“Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui. “ (Ali Imran ayat 135).

Yang dimaksud perbuatan keji (faahisyah) ialah dosa besar yang mana mudharatnya tidak hanya menimpa diri sendiri tetapi juga orang lain, seperti zina dan riba. Menganiaya diri sendiri adalah melakukan dosa yang mana mudharatnya hanya menimpa diri sendiri baik yang besar atau kecil.

Rujukan:

Syarah Lengkap Arba’in Ruhiyah, Refleksi 40 Hadis Ruhiyah Rasulullah, Fakhruddin Nursyam, Lc, Bina Insani Press Solo, Solo, 2007.

No comments:

Post a Comment