Thursday, February 10, 2011

Cinta kepada Allah

Hubungan seorang mukmin dengan Allah merupakan hubungan ubudiyah (pengabdian). Hubungan ini mengandungi tiga unsur iaitu cinta, perniagaan dan amal atau jihad.

Orang yang hatinya berpaut kuat dengan Allah tidak akan ada lagi ruang di sudut hatinya untuk mencintai yang lain lebih dari Allah sendiri. Kalaupun ia cinta kepada sesiapa maka cintanya itu adalah kerana Allah sama ada kasih kepada saudara, isteri, anak atau sesiapa sahaja.

Firman Allah dalam surah At Taubah ayat 24:


قُلۡ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمۡ وَأَبۡنَآؤُڪُمۡ وَإِخۡوَٲنُكُمۡ وَأَزۡوَٲجُكُمۡ وَعَشِيرَتُكُمۡ وَأَمۡوَٲلٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا وَتِجَـٰرَةٌ۬ تَخۡشَوۡنَ كَسَادَهَا وَمَسَـٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَآ أَحَبَّ إِلَيۡڪُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٍ۬ فِى سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِىَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦ‌ۗ وَٱللَّهُ لَا يَہۡدِى ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَـٰسِقِينَ (
٢٤)

“Katakanlah: "Jika bapa-bapa , anak-anak , saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan RasulNya dan dari berjihad di jalan nya, Maka tunggulah sampai Allah mendatangkan KeputusanNya". dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

Kesan daripada persaksian kalimah syahadah akan lahir dalam bentuk amalan dalam kehidupan seharian. Antaranya adalah seperti bertaubat, mengabdikan diri semata-mata kepada Allah, sujud, patuh kepada segala perintah Allah, menyuruh kepada makruf dan mencegah mungkar serta memelihara hukum Allah.

Cinta kepada Allah akan melahirkan rasa kecintaan kepada apa sahaja yang dicintai oleh Allah. Di samping itu ia membuat orang mukmin redha atas apa sahaja ketentuan Allah.

Antara tanda cinta kepada Allah ialah rasa seronok untuk membaca Al Quran dan hati rasa gementar tatkala nama Allah disebut. Ibarat orang yang bercinta akan merasa seronok untuk membaca surat yang dikirim oleh kekasihnya secara berulang kali.

Firman Allah dalam Surah Al Anfal ayat 2:

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَجِلَتۡ قُلُوبُہُمۡ وَإِذَا تُلِيَتۡ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتُهُ ۥ زَادَتۡہُمۡ إِيمَـٰنً۬ا وَعَلَىٰ رَبِّهِمۡ يَتَوَكَّلُونَ (٢)

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.”

Pada hakikatnya semua manusia miskin dan faqir, tidak memiliki sesuatupun termasuk dirinya sendiri. Semua yang ada adalah milik Allah SWT. Allah menawarkan kepada orang mukmin suatu perniagaan yang melibatkan jualan apa-apa yang bukan dimilikinya kepada Allah. Perniagaan ini memberikan keuntungan yang sangat besar di pihak orang mukmin.

Penawaran Allah SWT untuk berjual beli kepada orang mukmin baik harta atau jiwanya dengan syurga yang dimiliki Allah merupakan suatu keuntungan besar yang dapat membawa kebebasan dari neraka. Suatu perniagaan yang tidak akan merugikan. Perniagaan yang tiada unsur penipuan atau manupulasi.

Firman Allah dalam surah As Saff ayat 10 - 12


يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ هَلۡ أَدُلُّكُمۡ عَلَىٰ تِجَـٰرَةٍ۬ تُنجِيكُم مِّنۡ عَذَابٍ أَلِيمٍ۬ (
١٠) تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٲلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡ‌ۚ ذَٲلِكُمۡ خَيۡرٌ۬ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ (١١) يَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡ وَيُدۡخِلۡكُمۡ جَنَّـٰتٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِہَا ٱلۡأَنۡہَـٰرُ وَمَسَـٰكِنَ طَيِّبَةً۬ فِى جَنَّـٰتِ عَدۡنٍ۬‌ۚ ذَٲلِكَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ (١٢)

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? (10) Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (11) (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga "Adn". Itulah kemenangan yang besar

Firman Allah dalam surah Fatir ayat 29:


إِنَّ ٱلَّذِينَ يَتۡلُونَ كِتَـٰبَ ٱللَّهِ وَأَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَنفَقُواْ مِمَّا رَزَقۡنَـٰهُمۡ سِرًّ۬ا وَعَلَانِيَةً۬ يَرۡجُونَ تِجَـٰرَةً۬ لَّن تَبُورَ (
٢٩)

Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian.”

Rujukan:

Dr Irwan Prayitno, Msc, Keperibadian Muslim, Pustaka Tarbiatuna, Jakarta, Jun 2010.

No comments:

Post a Comment