Tuesday, January 18, 2011

Mengapa kita mengulangi kesilapan yang sama?


Sabda Rasulullah:
“Seandai kamu tidak berbuat dosa, maka aku khuatir akan terjadi padamu sesuatu yang lebih parah dari dosa, iaitu bangga diri (sombong)".

Tetapi yang menjadi masalahnya ialah apabila melakukan dosa kita tidak insaf dan bertaubat. Di samping itu apabila kita melakukan dosa ia ada kesan yang sangat besar kepada diri kita. Antara akibat melakukan dosa adalah:

a. Seseorang akan mudah mengulang kesalahan dan dosa yang sama sebagai suatu hukuman daripada Allah.

Ulamak salaf berkata : Sesungguhnya di antara hukuman atas sesuatu keburukan ialah cendorong untuk melakukan keburukan selepas membuat keburukan yang sama. Begitu juga dengan kebaikan, di mana balasan atas kebaikan itu ialah kecenderungan untuk melakukan kebaikan yang sama.

Firman Allah dalam surah Asy Syura ayat 40

وَجَزَٲٓؤُاْ سَيِّئَةٍ۬ سَيِّئَةٌ۬ مِّثۡلُهَا‌ۖ فَمَنۡ عَفَا وَأَصۡلَحَ فَأَجۡرُهُ ۥ عَلَى ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّهُ ۥ لَا يُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِينَ (٤٠)

“Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, Maka barang siapa memaafkan dan berbuat baik [berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepadanya] Maka pahalanya atas (tanggungan) Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim.”

b. Di antara tabiat dari kesalahan dan dosa adalah adanya tarik menarik antara satu dosa dengan yang sejenisnya. Apabila seorang hamba melakukan sesuatu dosa, maka ia akan melakukan dosa yang kedua dan seterusnya.

Ibnu Qayyim berkata: “Kemaksiatan akan menanamkan kemaksiatan yang sejenisnya, sebahagiannya akan melahirkan sebahagian yang lain sehingga sangat sulit bagi seorang hamba untuk meninggalkannya. Apabila seorang hamba melakukan suatu dosa, maka dosa yang lainnya akan berkata, “Lakukanlah aku juga.” Apabila ia melakukannya, dosa yang ketiga akan berkata, “Lakukanlah aku juga.” Begitulah seterusnya sehingga kerugian akan berlipat ganda dan dosa-dosa semakin bertambah. (Al Jawabul Kafi: 61)

c. Dengan kesalahan yang pernah dilakukan bererti syaitan telah mengetahui kelemahan dan celah untuk menggoda dan memperdayainya. Akibatnya syaitan akan lebih seronok menggodanya agar mengulangi kesalahan yang sama untuk kedua kali, ketiga dan seterusnya.

Rasulullah s,a,w bersabda:

“Dosa itu mengelilingi hati, tidak ada suatu pandangan melainkan syaitan akan berusaha untuk memanfaatkannya.”

(Ash Shahihah: 3660)

Orang yang melakukan dosa, hatinya akan dikelilingi oleh lingkaran kejahatan yang sama. Ia akan ditarik untuk melakukan kesalahan yang sama.

Syaitan akan mengetahui jalan untuk menggoda manusia supaya mengulangi kejahatan dan dosa yang sama. Syaitan suatu makhluk yang cerdik dan mengetahui jalan dan lorong yang boleh dimasukinya.

d. Nafsu syahwat akan menuntut sesuatu yang lebih daripada apa yang diikutinya. Sebab itu dalam kata-kata Saidina Ali: “Nafsu itu bagai api yang disimbah dengan minyak.”

Nafsu ibarat seorang bayi jika dibiarkan terus menyusu sehingga membesar ke usia tamyiz.

Apabila sering melakukan dosa manusia tidak nampak dosa itu sebagai suatu beban.

Jika engkau tidak tahu bahawa itu adalah dosa dan engkau melakukannya maka ia adalah bencana tetapi Jika engkau tahu bahawa itu adalah dosa dan engkau melakukannya maka ia adalah bencana yang lebih besar.

Kesalahan yang berulang-ulang akan menyebabkan ia menjadi kebiasaan dan sangat sulit untuk meninggalkannya.

Pandangan adalah awal kemaksiatan untuk melakukan kesalahan. Pandangan akan melahirkan lintasan fikiran dan lintasan fikiran akan melahirkan gagasan dan gagasan akan melahirkan tindakan dan tindakan dosa akan menjadikan seorang terbiasa melakukan dosa serta sukar untuk meninggalkannya.

Mengelakkan daripada melakukan kesalahan lebih mudah daripada untuk meninggalkan sesuatu kesalahan yang telah dilakukan.

Seringkali berlaku orang meninggal dunia dalam keadaan sedang melakukan sesuatu maksiat yang sudah biasa dilakukan. Barangsiapa yang biasa melakukan sesuatu maka ia akan mati dalam keadaan ia melakukan perkara tersebut.

Ruhiyah yang cergas akan nampak gambaran yang jelas perjalanan yang bengkang bengkok dan perjalanan yang lurus. Orang yang suka melakukan dosa tidak ada kecergasan ruhiyah. Tidak ada suatu yang ada padanya untuk memilih jalan kebenaran.

Rujukan:

Syarah Lengkap Arba’in Ruhiyah, Refleksi 40 Hadis Ruhiyah Rasulullah, Fakhruddin Nursyam, Lc, Bina Insani Press Solo, Solo, 2007.

No comments:

Post a Comment