Monday, January 31, 2011

Menjana Sifat Berani

Keberanian merupakan anugerah Allah kepada hambanya yang beriman. Keberanian yang bermanfaat kepada kita ialah keberanian yang membawa kita taat kepada perintah Allah. Keberanian dalam melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan segala larangan Allah. Bukannya berani dalam menderhaka perintah Allah.

Pada hari ini ramai orang yang berani melakukan kemungkaran. Berani mencabar hukum Allah. Tetapi takut untuk menyatakan kebenaran. Takut untuk menyampai risalah Islam kepada masyarakat. Takut kehilangan jawatan. Takut hilang populariti atau sokongan. Dan pelbagai jenis takut lagi.

Keberanian dijanakan melalui beberapa sumber:

i. Keberanian yang sebenar muncul kepada seseorang yang meyakini bahawa Allah selalu membela dan memberi pertolongan kepada hambaNya yang berjuang di atas jalan kebenaran. Ia tidak takut menghadapi tentangan atau halangan hidup, bersiap sedia untuk berjuang menegakkan yang haq (kebenaran).

Firman Allah di dalam Surah Al Ankabut ayat 69:

وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُواْ فِينَا لَنَہۡدِيَنَّہُمۡ سُبُلَنَا‌ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”

ii. Keberanian juga bersumber kepada keyakinan terhadap qadha’ dan qadar Allah SWT yang telah ditentukan. Ia tidak takut kepada kematian kerana kematian di jalan Allah SWT merupakan anugerah yang selalu dirinduinya. Mereka yakin bahawa segala kemudaratan atau bencana hanyalah ketentuan Allah SWT belaka.

Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 157 -158

وَلَٮِٕن قُتِلۡتُمۡ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ أَوۡ مُتُّمۡ لَمَغۡفِرَةٌ۬ مِّنَ ٱللَّهِ وَرَحۡمَةٌ خَيۡرٌ۬ مِّمَّا يَجۡمَعُونَ (١٥٧) وَلَٮِٕن مُّتُّمۡ أَوۡ قُتِلۡتُمۡ لَإِلَى ٱللَّهِ تُحۡشَرُونَ (١٥٨)

“Demi sesungguhnya! Jika kamu terbunuh pada jalan Allah (dalam perang Sabil), atau kamu mati (mati biasa semasa mengerjakan kebajikan umum), sesungguhnya keampunan dari Allah dan rahmatNya adalah lebih baik (bagi kamu) dari apa yang mereka (orang-orang kafir dan munafik) itu himpunkan (meliputi segala jenis kesenangan hidup). (157) Demi sesungguhnya! Jika kamu mati atau terbunuh, sudah tentu kepada Allah jualah kamu akan dihimpunkan (untuk menerima balasan). (158)”

iii. Orang yang beristiqamah didukung malaikat yang akan menjadikannya berani, tenang dan optimis.

Firman Allah dalam surah Fussilat ayat 31 - 32

إِنَّ ٱلَّذِينَ قَالُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُ ثُمَّ ٱسۡتَقَـٰمُواْ تَتَنَزَّلُ عَلَيۡهِمُ ٱلۡمَلَـٰٓٮِٕڪَةُ أَلَّا تَخَافُواْ وَلَا تَحۡزَنُواْ وَأَبۡشِرُواْ بِٱلۡجَنَّةِ ٱلَّتِى كُنتُمۡ تُوعَدُونَ (٣٠) نَحۡنُ أَوۡلِيَآؤُكُمۡ فِى ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَفِى ٱلۡأَخِرَةِ‌ۖ وَلَكُمۡ فِيهَا مَا تَشۡتَهِىٓ أَنفُسُكُمۡ وَلَكُمۡ فِيهَا مَا تَدَّعُونَ (٣١) نُزُلاً۬ مِّنۡ غَفُورٍ۬ رَّحِيمٍ۬ (٣٢)

“Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh Syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. (30) Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat dan kamu akan beroleh pada hari akhirat apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh pada hari itu apa yang kamu cita-citakan mendapatnya. (31) (Pemberian-pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan dari Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani! (32)”

iii. Kemuliaan merupakan anugerah Allah SWT bagi orang-orang mukmin sehingga mereka tidak takut menyampaikan risalah kebenaran.

Firman Allah dalam Surah Al Ahzab ayat 39:

ٱلَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَـٰلَـٰتِ ٱللَّهِ وَيَخۡشَوۡنَهُ ۥ وَلَا يَخۡشَوۡنَ أَحَدًا إِلَّا ٱللَّهَۗ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ حَسِيبً۬ا (٣٩)

“(Nabi-nabi yang telah lalu itu) ialah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah serta mereka takut melanggar perintahNya dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah dan cukuplah Allah menjadi Penghitung (segala yang dilakukan oleh makhluk-makhlukNya untuk membalas mereka).”

Rujukan:

Dr Irwan Prayitno, Msc, Keperibadian Muslim, Pustaka Tarbiatuna, Jakarta, Jun 2010.

1 comment: