Monday, January 31, 2011

Kesan Kalimah Syahadah Dalam Kehidupan

Syahadaatain (dua kalimah syahadah) begitu berat diperjuangkan oleh para sahabat dan Nabi S.A.W, bahkan mereka bersiap dan tidak takut terhadap segala ancaman orang kafir.

Sahabat Nabi misalnya Habib berani menghadapi siksaan dipotong tubuhnya satu persatu oleh Musailamah (mengaku menjadi nabi). Manakala Bilal bin Rabah tahan menerima himpitan batu besar di siang hari yang panas.

Mereka bersedia dan berani mempertahankan kalimah syahadah kerana ia mengandungi makna yang mendalam bagi mereka. Syahadah bagi mereka difahami dengan erti yang sebenarnya meliputi pengertian ikrar, sumpah dan janji.

Firman Allah dalam Surah Al Hujurat ayat 15:

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ثُمَّ لَمۡ يَرۡتَابُواْ وَجَـٰهَدُواْ بِأَمۡوَٲلِهِمۡ وَأَنفُسِهِمۡ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلصَّـٰدِقُونَ

“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).

Majoriti umat Islam memahami syahadah hanya sebagai ikrar sahaja. Apabila mereka tahu bahawa syahadah juga mengandungi erti sumpah dan janji, serta tahu bahawa akibat janji dan sumpah maka mereka akan benar-benar mengamalkan Islam dan beriman.

Iman sebagai dasar dan juga hasil dari penyataan syahadah yang betul. Iman merupakan penyataan yang keluar dari mulut, juga diyakini oleh hati dan diamalkan oleh perbuatan sebagai pengertian yang sebenarnya dari iman.

Apabila kita mengamalkan syahadah dan diasaskan dengan iman yang konsisten dan istiqamah, maka beberapa hasil akan dirasakan seperti keberanian, ketenangan dan optimis menjalani kehidupan. Kemudian Allah akan memberikan kebahagiaan kepada kita di dunia dan akhirat.

Rujukan:

Dr Irwan Prayitno, Msc, Keperibadian Muslim, Pustaka Tarbiatuna, Jakarta, Jun 2010.

No comments:

Post a Comment