Monday, January 31, 2011

Cinta Sejati

Cinta akan mempengaruhi kehidupan seseorang, sama ada cinta kepada Allah atau bukan kepada Allah. Cinta bukan kepada Allah sering membawa kepada cinta buta yang sukar untuk dikendali sedangkan cinta kepada Allah akan membawa kedamaian dan ketenangan.

Cinta kepada makhluk membawa kepada rasa tidak pasti, perasaan ingin tahu dan kelihatan bersukacita. Cinta kepada benda akan hapus apabila benda itu hilang atau rosak, manaka cinta kepada Allah kekal dan abadi.

Cinta kepada seseorang membawa kepada kehanyutan perasaan yang kadangkala membawa kepada emotional manakala cinta kepada Allah akan membawa kepada ketenteraman jiwa.

Kita boleh mencintai sesama manusia (anak, isteri, ibu dan bapa dan sebagainya) tetapi tidak boleh melebihi cinta kepada Allah sepertimana firman Allah dalam surah at Taubah ayat 24:

قُلۡ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمۡ وَأَبۡنَآؤُڪُمۡ وَإِخۡوَٲنُكُمۡ وَأَزۡوَٲجُكُمۡ وَعَشِيرَتُكُمۡ وَأَمۡوَٲلٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا وَتِجَـٰرَةٌ۬ تَخۡشَوۡنَ كَسَادَهَا وَمَسَـٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَآ أَحَبَّ إِلَيۡڪُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٍ۬ فِى سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِىَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦ‌ۗ وَٱللَّهُ لَا يَہۡدِى ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَـٰسِقِينَ (٢٤)

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).

Cinta yang bukan kepada Allah biasanya berdasarkan syahwat sedangkan cinta kepada Allah adalah berteraskan iman. Syahwat akan mengendalikan diri kita. Bahkan kita akan menuruti syahwat yang dapat membahayakan diri kita. Manakala iman akan membawa kepada kebaikan.

Cinta mempunyai beberapa ciri di antaranya adalah selalu ingat, mengagumi, rela, sedia berkorban, takut, mengharap dan mentaati.

Cinta boleh menjadi racun atau madu. Cinta akan menjadi racun apabila didasari oleh syahwat. Manakala cinta menjadi sebagai madu apabila didasari dengan iman.

Dalam realiti kehidupan hari ini banyak manusia yang bercinta hingga mengakibatkan berlakunya kejadian bunuh diri, kecewa, stress, sakit jiwa, tercicir sekolah, tidak berprestasi dalam kerja, hamil di luar nikah, perbuatan maksiat, tingkah laku tidak bermoral dan lain-lain.

Tentunya cinta yang sedemikian perlu dihindari oleh kita. Tidak ada manusia yang normal mahu membunuh diri, kecewa, stress, sakit jiwa, tercicir sekolah, gagal dalam pekerjaan atau hamil di luar nikah. Namun hal ini dengan mudah berlaku kepada manusia yang bercinta.

Cinta bukan kepada Allah boleh menjadikan manusia lupa diri dan dunia. Sebaliknya cinta manusia kepada Allah dan Rasul membawa kepada kebaikan dan kejayaan.

Cinta seorang mukmin lahir daripada ketulusan iman kepada Allah bukan semata-mata memenuhi kehendak nafsu dan iblis. Iblis membawa manusia kepada kehancuran sedang Allah mengajak manusia kepada syurga dan jalan yang lurus.

Cinta kepada Allah dan RasulNya mesti diiringi nilai Islam yang benar. Kesalahan dalam mencintai Rasul akan membawa kepada taklid yang membabi buta dan pemujaan yang berlebihan. Kasih sayang sesama manusia tanda wujudnya perasaan cinta perlu tunjukkan sesama muslim sebagaimana firman Allah dalam Surah al Fath ayat 29:

مُّحَمَّدٌ۬ رَّسُولُ ٱللَّهِ‌ۚ وَٱلَّذِينَ مَعَهُ ۥۤ أَشِدَّآءُ عَلَى ٱلۡكُفَّارِ رُحَمَآءُ بَيۡنَہُمۡ‌ۖ

“Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam) dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam)”

Cinta berdasarkan syariat akan kekal tidak sahaja di dunia tetapi akan berlanjutan sehingga ke akhirat. Cinta kepada Allah, Rasul dan orang yang beriman mesti berdasarkan iman sehingga cinta dapat berjalan secara yang benar. Cinta para sahabat Rasulullah kepada baginda Nabi menyebabkan mereka senang untuk mengamalkan segala suruhan Rasulullah. Bahkan para sahabat bersedia untuk berkorban demi kepentingan Rasulullah dan Islam.

وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَٱتَّبَعَتۡہُمۡ ذُرِّيَّتُہُم بِإِيمَـٰنٍ أَلۡحَقۡنَا بِہِمۡ ذُرِّيَّتَہُمۡ وَمَآ أَلَتۡنَـٰهُم مِّنۡ عَمَلِهِم مِّن شَىۡءٍ۬‌ۚ كُلُّ ٱمۡرِىِٕۭ بِمَا كَسَبَ رَهِينٌ۬ (٢١)

“Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.”

(Surah At Tur ayat 21)

Sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Barangsiapa yang mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah dan memberi kerana Allah, maka sungguh telah sempurna imannya” (HR Abu Daud).

Rujukan:

Dr Irwan Prayitno, Msc, Keperibadian Muslim, Pustaka Tarbiatuna, Jakarta, Jun 2010.

No comments:

Post a Comment